AL-MUBARAK BIN WADHIH adalah ayahanda dari ulama besar bernama Abdullah bin al-Mubarak, yang lebih dikenali dengan Ibn al-Mubarak.
Al-Mubarak bin Wadhih dahulunya hanyalah seorang mawla (pelayan) dari seorang saudagar besar. Beliau bekerja dalam tempoh yang lama di perkebunan saudagar itu.
Pada suatu hari, datanglah saudagar tersebut ke perkebunannya. Dia menyuruh al-Mubarak mengambilkan buah delima yang manis dari kebunnya. Al-Mubarak pun bergegas mencari pohon delima dan memetik buahnya. Kemudian dia menyerahkan buah itu kepada tuannya.
Setelah tuannya membelah dan memakan delima itu, ternyata rasanya kecut. Tuannya kesal sambil berkata, “Aku minta yang manis. Kamu bagi yang kecut. Ambilkan yang manis!”
Al-Mubarak segera bergegas kembali dan memetik delima dari pohon yang lain. Buah delima itu lalu diberikan kepada tuannya. Namun, sekali lagi buah itu rasanya kecut. Tuannya makin kesal kepada al-Mubarak. Hal itu berulang sehingga tiga kali.
Akhirnya, tuannya bertanya, “Setelah begitu lama kamu menjaga kebun ini, kamu tidak boleh membezakan yang manis dan yang kecut?”
Al-Mubarak menjawab, “Tidak, Tuan.”
Tuannya bertanya lagi, “Mengapa?”
Al-Mubarak menjawab, “Kerana saya belum pernah sekalipun cuba merasa buah yang ada di kebun ini.”
Tuannya bertanya lagi, “Mengapa begitu?”
Al-Mubarak menjawab, “Kerana selama saya bekerja di sini, Tuan belum pernah mengizinkan saya untuk merasa buah di kebun ini.”
Mendengar jawapan itu, tuannya merasa takjub. Dia begitu takjub atas sikap amanah al-Mubarak. Al-Mubarak pun mendapat tempat di hati tuannya. Tuannya lalu menikahkan al-Mubarak dengan puterinya.
Dari pernikahan keduanya lalu lahir seorang bayi lelaki yang diberi nama Abdullah. Dialah yang kelak kemudian menjadi ulama besar dan terkemuka: Abdullah ibn al-Mubarak.
(Lihat: Ibnu Khalikan, Wafayat al-A’yan, 3/32).*
Begitulah kisahnya. Wajar sahaja Abdullah bin al-Mubarak menjadi ulama besar. Salah satu sebabnya boleh jadi kerana ibu ayahnya yang memiliki akhlak dan keperibadian besar/luhur.
Semoga kita dapat memiliki akhlak dan keperibadian yang luhur. Salah satunya dicirikan dengan selalu memiliki sifat amanah.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi uniib.
Hikmah Ramadhan:
قال *ابن القيـم* رحمـه الله : *فأفضل الصائمين أكثرهــم ذكراً لله عز وجل في صومهـم* (إبن القيم، الوابل الصيب، ص ١٥٣).
Ibnu al-Qayyim rahimahulLaah berkata: Orang yang menunaikan shaum yang paling utama adalah yang paling banyak berzikir (mengingat) Allah ‘Azza wa Jalla dalam shaum-shaum mereka.” (Ibnu al-Qayyim, Al-Waabil ash-Shayb, hlm. 153).
– Arief B. Iskandar