Penulis: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Seorang pemuda pernah bertanya kepada al-Syaikh al-Qadhi Taqiyyuddin an-Nabhani rahimahullah terkait dengan kunci kejayaan dalam sebuah aktiviti. Kemudian beliau memberikan tiga pesanan: (1) al-iman/al-tsiqah bil fikrah (keyakinan kepada fikrah/gagasan); (2) al-jiddiyyah (keseriusan dan kesungguhan mewujudkan gagasan); dan (3) al-mutaba’ah (monitoring/pemantauan terhadap aktiviti sehingga terealisasi dengan benar).
Keyakinan pada gagasan yang dibawa adalah perkara yang amat penting. Contoh terbaik dalam hal ini adalah Rasulullah dan para sahabatnya. Mereka begitu yakin atas ajaran baru yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.
Sayyiduna Ali, misalnya, ketika berhadapan dengan kafir Quraisy menyimpan satu keyakinan bahawa “saya akan mengalahkan kamu.” Pun, mentransfer keyakinan tersebut kepada pihak lawan bahawa “kamu akan saya kalahkan.” Kepercayaan diri ini akan terefleksi dalam tindakan.
Kesungguhan dalam mewujudkan fikrah juga boleh kita lihat dalam diri para sahabat Nabi. Termasuk di antaranya adalah Tsumamah bin Utsal al-Hanafi. Tulisan ini akan mengisahkan tentang kesungguhan beliau dalam mewujudkan keyakinannya. Adapun monitoring terhadap aktiviti sehingga benar-benar terwujud (direalisasikan), tampak jelas sekali dari cara para sahabat memastikan setiap amanah boleh dilaksanakan, termasuk ketika menugaskan yang lain.
Adalah Sayyiduna Umar bin Khattab رضي الله عنه yang benar-benar memantau pelaksanaan tanggungjawab oleh para pegawai negara yang diangkatnya. Berikut adalah kisah tentang kesungguhan Tsumamah bin Utsal al-Hanafi رضي الله عنه.
***
Pada tahun ke-6 hijriah, Rasulullah ﷺ berniat memperluaskan wilayah cakupan dakwah. Beliau menulis lapan surat kepada raja-raja Arab dan Ajam. Nabi ﷺ mengirimkannya kepada mereka untuk menyeru mereka kepada Islam. Di antara orang yang mendapat surat Rasulullah ﷺ adalah Tsumamah bin Utsal al-Hanafi.
Tidak menghairankan, kerana Tsumamah adalah salah seorang pembesar orang-orang Arab di zaman jahiliah. Salah seorang pemuka Bani Hanifah yang terpandang. Salah seorang raja Yamamah yang perintahnya senantiasa ditaati.
Tsumamah menerima surat Nabi ﷺ dengan sikap angkuh dan melecehkan. Dia menutup kedua telinganya rapat-rapat agar tidak mendengar dakwah kepada kebaikan dan kebenaran itu. Dia bertekad membunuh Rasulullah ﷺ dan menguburkan dakwahnya. Dia mula mencari peluang untuk membunuh Nabi ﷺ sehinggalah dia mendapat peluang tersebut. Namun, setelah gagal membunuh Rasulullah, Tsumamah mensasarkan para sahabat sehingga dia berjaya menangkap beberapa orang dari mereka dan membunuh mereka secara kejam. Atas dasar itu, Nabi ﷺ menghalalkan darahnya dan mengumumkannya di hadapan para sahabat baginda.
Tidak lama setelah itu Tsumamah berniat untuk menunaikan ibadah umrah maka dia pun berangkat meninggalkan bumi Yamamah menuju Mekah. Dia sudah pun membayangkan akan melaksanakan tawaf dan menyembelih korban untuk berhalanya. Ketika Tsumamah dalam perjalanan menuju ke Mekah, berhampiran dengan kota Madinah, pasukan Rasulullah ﷺ yang sedang melakukan patrol di sekeliling Madinah, menyerang hendap Tsumamah. Pasukan ini menawannya, tanpa mengenali siapakah dia. Pasukan ini kemudian membawanya ke Madinah, mengikatnya di salah satu tiang masjid, sementara menunggu Nabi ﷺ yang akan melihat perkara tawanan ini dan menetapkan perintah padanya.
Ketika Nabi ﷺ pergi ke masjid, dan hampir masuk ke dalamnya, beliau melihat Tsumamah terikat di sebuah tiang, maka beliau bersabda, “Apakah kalian tahu siapa dia?” Mereka menjawab, “Tidak, ya Rasulullah.” Beliau berkata, “Ini Tsumamah bin Utsal al-Hanafi, tawanlah dia dengan baik.” Kemudian Rasulullah ﷺ pulang kepada keluarga beliau dan bersabda, “Kumpulkanlah makanan lazat yang kalian miliki dan hidangkalah kepada Tsumamah bin Utsal.”
Kemudian Nabi ﷺ memerintahkan agar unta beliau diperah di pagi dan petang hari lalu susunya dihidangkan kepada Tsumamah. Semua itu dilakukan kepada Tsumamah sebelum Rasulullah ﷺ bertemu dengannya dan sebelum beliau berbicara kepadanya. Selanjutnya Nabi ﷺ menemui Tsumamah. Beliau ingin menyerunya kepada Islam secara perlahan.
Beliau bertanya kepadanya, “Apa yang kamu miliki wahai Tsumamah?” Dia menjawab, “Aku mempunyai kebaikan wahai Muhammad, jika kamu membunuh, maka kamu membunuh pemilik darah (orang yang akan dituntut bela atas kematiannya). Namun, jika kamu memberi maaf, maka kamu memberi maaf kepada orang yang tahu berterima kasih. Jika kamu ingin harta, maka katakan saja nescaya kamu akan kami berikan apa yang kamu inginkan.”
Nabi ﷺ membiarkannya dalam keadaan demikian selama dua hari. Makanan dan minuman lazat selalu dihidangkan kepadanya, susu unta tetap diperah untuknya. Kemudian Nabi ﷺ menemuinya kembali, beliau bertanya, “Apa yang kamu miliki wahai Tsumamah?” Tsumamah menjawab, “Aku hanya mempunyai apa yang aku katakan sebelumnya. Jika kamu memberi maaf, maka kamu memberi maaf kepada orang yang tahu berterima kasih. Jika kamu membunuh, maka kamu membunuh pemilik darah (orang yang dituntut bela kematiannya). Jika kamu menginginkan harta, maka mintalah nescaya akan kami beri seberapa pun yang kamu mahu.”
Nabi ﷺ meninggalkannya, di hari berikutnya Nabi ﷺ datang lagi kepadanya, beliau bertanya kepadanya, “Apa yang kamu miliki wahai Tsumamah?” Dia menjawab, “Aku mempunyai apa yang telah aku katakan kepadamu. Jika kamu memberi maaf, maka kamu memberi maaf kepada orang yang tahu berterima kasih. Jika kamu membunuh, maka kamu membunuh pemilik darah (orang yang dituntut bela atas kematiannya). Jika kamu menginginkan harta, maka mintalah nescaya kami akan memberi seberapa saja yang kamu mahu.”
Lalu Rasulullah ﷺ melihat para sahabatnya dan bersabda, “Lepaskan Tsumamah.” Maka mereka membuka ikatannya dan melepaskannya. Tsumamah meninggalkan masjid Rasulullah ﷺ, dia berlalu sampai tiba di sebuah kebun kurma di pinggir Madinah dekat Al-Baqi’ yang ada mata airnya. Tsumamah menghentikan tunggangannya di sana. Dia bersuci dengan menggunakan airnya secara baik, kemudian kembali menukar langkahnya menuju ke masjid.
Sebaik saja dia tiba di masjid, dia berdiri di hadapan sekumpulan orang dari kaum Muslim dan berkata, “Aku bersaksi bahawa tidak ada Ilah yang berhak di sembah selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan Allah.” Selanjutnya Tsumamah menemui Nabi ﷺ dan berkata, “Wahai Muhammad, demi Allah di muka bumi ini tidak ada wajah yang paling aku benci melebihi wajahmu, tetapi sekarang wajahmu menjadi wajah yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada agama yang paling aku benci melebihi agamamu, tetapi saat ini agamamu menjadi agama yang paling aku cintai. Demi Allah tidak ada negeri yang paling aku benci melebihi negerimu, tetapi saat ini ia menjadi negeri yang paing aku cintai.”
Kemudian dia menambahkan, “Dulu aku pernah membunuh beberapa orang dari sahabat-sahabatmu, apa yang perlu aku pikul kerananya?” Nabi ﷺ menjawab, “Tidak ada dosa atasmu wahai Tsumamah, kerana Islam menghapus apa yang sebelumnya.” Maka wajah Tsumamah berbinar, dia berkata, “Demi Allah, aku akan melakukan terhadap orang-orang musyrikin sesuatu yang jauh lebih berat daripada apa yang telah aku lakukan terhadap sahabat-sahabatmu. Aku meletakkan pedangku, jiwaku, dan orang-orangku demi membelamu dan membela agamamu.”
Kemudian Tsumamah berkata, “Ya Rasulullah, pasukanmu menangkapku, pada saat itu aku hendak melaksanakan umrah, menurutmu apa yang aku lakukan?” Nabi ﷺ menjawab, “Teruskan umrahmu tetapi di atas syariat Allah dan Rasul-Nya.” Lalu Nabi ﷺ mengajarkan manasik umrah kepadanya. Tsumamah melanjutkan langkahnya untuk melaksanakan niatnya, dia tiba di lembah Mekah, maka dia berdiri mengangkat suaranya dengan lantang, “Labbaika Allahumma labbaik, labbaika la syarika laka labbaik, innal hamda wan ni’mata laka wal mulk la syarika laka.”
Dia adalah Muslim pertama di muka bumi yang masuk ke Mekah dengan ber-talbiah.
Orang-orang Quraisy mendengar suara talbiah, maka mereka pun berhamburan keluar penuh dengan kemarahan dan kebimbangan, pedang-pedang ditarik dari sarungnya, mereka menuju sumber suara tersebut untuk membungkam pemiliknya yang telah mengganggu mereka. Tatkala orang-orang datang kepada Tsumamah, dia pun semakin meninggikan suara talbiah-nya sambil memandang mereka penuh dengan kebanggaan.
Beberapa anak muda Quraisy ingin melepaskan anak panah kepadanya, tetapi para pemuka Quraisy mencegah mereka. Para pemuka Quraisy berkata, “Celaka kalian, apakah kalian tahu siapakah orang ini? Dia adalah Tsumamah bin Utsal, Raja Yamamah, demi Allah, kalau kalian mencelakainya nescaya kaumnya akan memutuskan pengiriman gandum kepada kita, akibatnya kita akan mati kelaparan.”
Tsumamah mengatakan, “Aku bersumpah demi Ilah Kaabah ini, setelah aku pulang ke Yamamah tidak ada lagi pengiriman sebiji gandum pun atau sebahagian dari hasil buminya sebelum kalian semuanya mengikuti Muhammad.” Tsumamah bin Utsal melaksanakan umrah di hadapan orang-orang Quraisy seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ.
Dia menyembelih dam untuk mendekatkan diri kepada Allah, bukan untuk berhala-berhala. Setelah dia tiba di tengah kaumnya, dia memerintahkan mereka agar menahan gandum agar tidak dikirim kepada orang-orang Quraisy, mereka pun mentaati dan mengikuti perintahnya, mereka menahan hasil bumi mereka dari orang-orang Mekah.
Embargo yang ditetapkan oleh Tsumamah atas Quraisy mulai memberi kesan kepada mereka (kafir Quraisy) sedikit demi sedikit, harga makanan mulai melambung, kelaparan menyebar di kalangan masyarakat, kesulitan mendera mereka sehingga mereka khuatir nasib diri mereka dan anak-anak mereka akan mati kelaparan.
Pada saat itu mereka menulis surat kepada Rasulullah ﷺ yang isinya: “Yang kami tahu tentangmu adalah bahawa kamu penyambung tali silaturahim dan memerintahkan untuk melakukannya. Namun, sekarang kamu telah memutuskan rahim-rahim kami, kamu membunuh bapa-bapa kami dengan pedang, dan mematikan anak-anak kami dengan kelaparan. Tsumamah bin Utsal telah memutus pengiriman gandum sehingga hal itu menyulitkan kami. Jika kamu berkenan untuk menulis kepadanya agar dia mengirim apa yang kami perlukan, maka lakukanlah.”
Nabi ﷺ menulis kepada Tsumamah agar mengirimkan kembali gandum kepada orang Quraisy, maka dia pun melakukannya.
Tsumamah bin Utsal disepanjang hidupnya tetap setia kepada agamanya, menjaga janjinya kepada Nabi ﷺ. Ketika Rasulullah ﷺ wafat dan orang-orang Arab mulai murtad meninggalkan Islam, baik sendiri-sendiri mahupun secara berjemaah dan Musailamah muncul di antara Bani Hanifah menyeru mereka agar beriman kepadanya, Tsumamah menghadangnya, dia berkata kepada kaumnya, “Wahai Bani Hanifah, jauhilah perkara gelap yang tidak mempunyai cahaya ini. Demi Allah ia adalah kesengsaraan yang Allah tetapkan atas siapa yang mengambilnya dari kalian dan ujian bagi siapa yang tidak mengambilnya.”
Kemudian dia berkata, “Wahai Bani Hanifah, tidak berkumpul dua orang nabi dalam satu waktu. Bahawa Muhammad adalah utusan Allah yang tiada Nabi sesudahnya, tiada nabi yang bersekutu dengannya.” Kemudian dia membacakan firman Allah Ta’ala: “Haa, Miim. Turunnya Al-Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; Yang Mengampunkan dosa dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azabNya; Yang Melimpah-limpah kurniaNya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepadaNyalah tempat kembali.” (TMQ. Ghafir [40]: 1-3)
Kemudian Tsumamah bersama orang-orang yang masih berpegang pada Islam dari kaumnya berperang melawan orang-orang murtad demi menegakkan jihad di jalan Allah dan meninggikan kalimat-Nya di muka bumi.
Semoga Allah membalas Tsumamah bin Utsal atas jasa baiknya kepada Islam dan kaum muslim dengan kebaikan serta memuliakannya dengan syurga yang dijanjikan bagi orang-orang yang bertakwa. Beliau adalah sosok muslim yang serius dan bersungguh-sungguh mewujudkan keyakinannya. Semoga terlahir lebih banyak Tsumamah dari rahim umat ini. Aamiin. Wallahu`alam.
Sumber: MNews/Has
Diabstrakkan dan dikembangkan dari pesanan salah seorang ‘alim utusan dakwah dari Timur Tengah. Rujukan: Al-Ishabah, (I/203); Al-Isti’ab (I/203); dan al-Sirah an-Nabawiyah Ibnu Hisyam (II/86).