Penulis: Adi Victoria
Marhaban ya Ramadhan. Alhamdulillah, kita bertemu kembali dengan bulan yang begitu dinanti-nantikan oleh jutaan umat Islam di segenap penjuru dunia. Pada bulan ini, umat Islam akan disibukkan dengan berbagai aktiviti ibadah baik yang wajib mahupun yang sunat seperti membaca Al-Quran, solat terawih berjemaah di masjid, kemudian diteruskan dengan qiamullail, solat rawatib, bersahur, berbuka, menghadiri majlis-majlis ilmu dan ibadah-ibadah lainnya. Inilah sekilas gambaran Ramadhan yang kita lihat dan rasakan.
Sekularisasi Ramadhan
Semangat kerohanian sebahagian umat pada bulan Ramadhan memang meningkat. Mereka sibuk memperbanyakkan ibadah ritual di bulan ini. Namun sayang, sebahagian dari mereka tidak terlihat sibuk dalam masalah kemasyarakatan. Kesolehannya hanya terlihat pada aspek peribadi dan ibadah sahaja. Adapun dalam masalah sosial-kemasyarakatan iaitu keperihatinan terhadap nasib umat/rakyat secara keseluruhan, tidak kelihatan.
Saat Ramadhan, kita masih boleh menyaksikan gambaran individu-individu yang terlihat soleh tetapi masih melakukan hal-hal yang bertentangan dengan syariat Islam. Begitu mudahnya kita dapat saksikan para muslimah yang auratnya hanya tertutup saat menunaikan solat tetapi seusai solat, auratnya kembali terlihat.
Kita juga dengan mudahnya boleh melihat sebahagian umat Islam masih melakukan muamalah ribawi, sedangkan sangat banyak sekali dalil yang menunjukkan betapa besarnya dosa riba. Rasulullah SAW bersabda, “Riba itu memiliki 73 pintu. Yang paling ringan dosanya adalah seperti seseorang yang berzina dengan ibunya sendiri.” (HR Al-Hakim dalam Al-Mustadrak dan Al-Baihaqi dalam Su’ab al-Iman)
Ramadhan juga sinonim dengan suasana berbuka puasa bersama. Sayangnya, perkara itu juga dilakukan dengan pasangan bukan mahram. Akhirnya terjadilah ikhtilat yang diharamkan di dalam Islam. Astaghfirullah!
Lebih dari itu, terkait dengan keadaan politik, masih ramai umat Islam yang mengabaikan polisi pemerintah zalim yang banyak menindas rakyat. Mereka juga tidak kesah saat hukum-hukum yang bertentangan dengan syariat Islam diterapkan.
Ibadah itu sendiri membawa maksud ketaatan dan ketundukan hanya kepada Allah SWT. serta berhukum hanya dengan syariat-Nya. Allah lah yang menciptakan makhluk-Nya. Tidak ada sekutu bagi Allah SWT. dalam penciptaan ini. Kerana itu, Dia perlu dijadikan satu-satunya yang berhak memerintah. Allah SWT. berfirman,
أَلا لَهُ الْخَلْقُ وَالأمْرُ
“Ingatlah menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah.” [TMQ al-A’raf (7): 54]
Allah SWT. juga berfirman,
إِنِ الْحُكْمُ إِلا لِلَّهِ
“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.” [TMQ Al-An’am (6): 57]
Maksudnya, sepatutnya umat Islam faham dan sedar bahawa Allahlah satu-satunya yang berhak menghalalkan, mengharamkan dan membuat peraturan. Siapapun yang mengatakan bahawa dia berhak ditaati dan membuat peraturan secara mutlak, sungguh dia telah menjadi sekutu bagi Allah SWT. dan menempatkan dirinya sebagai Tuhan yang lain selain Allah. Setiap orang yang mengakui bahawa manusia berhak melakukan perkara tersebut, maka dia benar-benar telah menyembah mereka. Allah SWT. berfirman,
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ
“Mereka menjadikan para pendeta dan para rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah.” [TMQ at-Taubah (9): 31]
Adi bin Hatim -sebelumnya beragama Nasrani- berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami tidak menyembah mereka ” Rasulullah SAW. bersabda, “Bukankah mereka itu mengharamkan apa yang telah Allah halalkan dan kalian juga mengharamkannya? Mereka menghalalkan apa yang telah Allah haramkan dan kalian juga menghalalkannya?” Adi berkata, “Tentu seperti itu.” Rasulullah SAW. bersabda, “Itulah bentuk penyembahan kepada mereka.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)
Umat Islam juga masih ada yang tidak kesah untuk memilih seorang pemimpin bukan Islam. Sesungguhnya di dalam Islam, jelas haram untuk memilih pemimpin dari kalangan orang-orang kafir, baik kafir ahlul kitab mahupun dari kalangan kafir musyrik.
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَكُمْ هُزُوًا وَلَعِبًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَالْكُفَّارَ أَوْلِيَاءَ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mengambil sebagai pemimpin kalian orang-orang yang membuat agama kalian menjadi bahan ejekan dan permainan, (iaitu) di antara orang-orang yang telah diberi kitab sebelum kalian dan orang-orang yang kafir (orang-orang musyrik). Bertakwalah kalian kepada Allah jika kalian betul-betul kaum Mukmin.” [TMQ al-Maidah (5): 57]
Sebahagian umat Islam juga masih banyak yang tidak peduli terhadap nasib umat Islam yang lain. Yang ada hanyalah rasa kasihan bukannya kepedulian yang menggerakkan dirinya untuk turut berjuang demi membebaskan umat Islam dari segala bentuk penindasan. Masih ramai yang tidak peduli terhadap nasib saudara-saudara mereka di Palestin, Myanmar, Chechnya, Iraq, Syria dan negara umat Islam lainnya.
Mengapakah perkara ini terjadi? Kerana, dalam fikiran majoriti umat Islam, Ramadhan seolah-olah bulan yang khusus untuk beribadah kepada Allah SWT sahaja. Ramadhan telah dianggap sebagai waktu yang khusus untuk urusan ritual, rohani dan akhirat. Pada bulan suci ini, aktiviti yang dianggap duniawi perlu ditinggalkan atau paling tidak pun dikurangkan. Kelihatannya, pemikiran seperti inilah yang mendorong sebahagian umat Islam untuk menjauhkan aktiviti politik saat Ramadhan kerana politik dianggap sebagai aktiviti duniawi yang cenderung kotor. Kalau disatukan atau dimasukkan ke dalam aktiviti Ramadhan, dianggap akan mengotori kesucian Ramadhan.
Cara fikir seperti itu merupakan cara berfikir yang sekular iaitu memisahkan urusan dunia dengan urusan akhirat. Dalam konteks waktu, dengan cara pandang sekular, seolah-olah ada waktu-waktu khusus untuk akhirat. Yang harian adalah waktu-waktu solat lima waktu, yang mingguan adalah hari Jumaat dan yang tahunan adalah Ramadhan.
Menolak Sekularisme
Ramadhan bagi umat Islam adalah momentum untuk melakukan penilaian diri agar Ramadhan tidak menjadi acara tahunan tanpa makna. Ramadhan juga perlu dijadikan momentum untuk membangkitkan taraf berfikir umat, khususnya taraf berfikir terkait aktiviti politik. Politik di dalam Islam adalah perkara yang ada dan wajib untuk turut serta dalam aktiviti politik. Aktiviti politik adalah segala aktiviti yang terkait dengan pengaturan urusan masyarakat (ri’ayah syu’un al-ummah), baik yang terkait dengan kekuasaan (as-sulthan) sebagai subjek (al-hakim) yang melakukan pengaturan urusan masyarakat secara langsung, mahupun yang terkait dengan umat sebagai objek (al-mahkum) yang melakukan pengawasan (muhasabah) terhadap aktiviti kekuasaan dalam mengatur urusan masyarakat.
Pentingnya Dakwah Politik
Bentuk dakwah politik boleh berbagai-bagai. Contohnya melakukan perjuangan politik (al-kifah as-siyasi) seperti mengkritik penguasa yang menjadi boneka kepentingan Barat, mengkritik polisi penguasa yang menjalankan agenda neoliberalisme dan sebagainya.
Dakwah politik penting untuk dilaksanakan oleh umat Islam. Mengapa? Pertama, kerana dakwah politik inilah yang dulu dicontohkan oleh Rasulullah SAW. selama 13 tahun di Mekah. Rasulullah SAW. waktu itu melakukan perjuangan politik dengan mengecam para pemimpin Quraisy, membongkar kejahatan dan rencana mereka yang bertujuan untuk menghancurkan dakwah Islam. Rasulullah SAW. juga melakukan perang pemikiran (as-shira’ al-fikri) dengan menyerang idea-idea kufur, contohnya idea menyekutukan Allah (syirik), mencela penyembahan berhala, mencela penipuan dalam timbangan, mencela perbuatan membunuh anak-anak kerana takut miskin dan sebagainya.
Dengan demikian, melaksanakan dakwah politik sesungguhnya adalah aktiviti meneladani Rasulullah SAW. sebagai uswatunhasanah yang diwajibkan Islam atas kaum muslim [TMQ Al-Ahzab (33): 21]
Kedua, kerana dakwah politik inilah yang relevan dengan masalah utama (qadhiyah mashiriyah) umat Islam sekarang. Masalah utama umat adalah mengembalikan hukum yang diturunkan oleh Allah SWT. dengan jalan menegakkan kembali Khilafah. Masalah utama umat ini dengan sendirinya menuntut aktiviti yang relevan iaitu aktiviti politik (amal siyasi). Sebab, aktiviti menegakkan kembali Khilafah ini tidak lain merupakan aktiviti politik kerana Khilafah adalah sebuah institusi politik.
Semoga pada bulan Ramadhan ini, ketika aspek rohani seorang muslim menjadi lebih baik, diharapkan juga ia mampu untuk meningkatkan kesedarannya terkait dengan aktiviti politik, aktiviti untuk menegakkan kembali institusi politik yang bernama Khilafah Islamiyah. Aamiin. Wallahualam.