Keharuman aroma roti ramazanija atau pitaljka menjadi ciri-ciri khas Ramadhan di Bosnia. Ya, roti nipis yang mirip roti Nan yang berasal dari India-Pakistan ini hanya dibuat ketika bulan Ramadhan sahaja. Bukan hanya wangi dan lazat, roti ini juga menyihatkan kerana bahagian atasnya ditabur dengan Habbatussauda atau jintan hitam.
Masyarakat Bosnia memiliki tradisi iftar keliling iaitu berbuka puasa dengan bergiliran dari sebuah rumah ke rumah yang lain. Orang-orang kaya pula akan megadakan majlis berbuka bersama untuk umum. Sajian pada acara buka puasa itu sangat lengkap dan mewah. Kopi menjadi penutup menu berbuka. Masuknya waktu berbuka dapat diketahui dengan tembakan dari meriam kayu dan terangnya lampu-lampu pada menara masjid. Lampu ini akan terus menyala sehingga waktu imsak.
Tradisi menyalakan meriam saat Ramadhan merupakan tradisi umat Islam di Turki, negara-negara Arab dan negara-negara Muslim lainnya. Ada kaitan di antara negara-negara tersebut iaitu semuanya dulu merupakan wilayah pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah. Tradisi meriam Ramadhan ini merupakan peninggalan Turki Uthmaniyah. Meriam bukan hanya dibunyikan ketika berbuka puasa, tetapi juga ketika tiba waktu sahur dan waktu imsak.
Setelah berbuka, muslim Bosnia melakukan solat terawih di masjid. Setiap hari, masjid di Bosnia sangat meriah dengan para jemaah. Puncaknya, pada malam ke-27 Ramadhan, para jemaah akan memenuhi masjid dengan berbagai aktiviti ibadah.
Bosnia merupakan negara muslim di Benua Eropah. Islam tersebar ke Bosnia melalui usaha Turki Uthmaniyah. Sejak berada di bawah kekuasaan Uthmaniyyah, syariat Islam diterapkan di Bosnia secara kaffah (menyeluruh). Pengaturan kehidupan masyarakat berpusat pada ulama dan sekolah agama. Pasca runtuhnya kekuasaan Uthmaniyyah, kaum muslim masih terlibat dengan pembentukan institusi pisat, Mashikha Islamiyya. Sebagai hasil dakwah, Islam menjadi agama terbesar di Bosnia dan Herzegovina. Hukum Islam untuk status peribadi juga masih diterapkan sehingga tahun 1946.
Namun sayangnya, pengaruh umat Islam di Bosnia semakin melemah. Dulunya syariat Islam diterapkan dalam kehidupan. Namun kini, banyak hukum yang ditetapkan oleh parlimen tidak memiliki kesan keagamaan. Bahkan, hukum status peribadi menjadi sekular sepenuhnya contohnya, hukum perkahwinan. Walaupun hukum syariat telah dihapuskan, berbagai peninggalan Khilafah Uthmaniyyah masih lagi kelihatan dan digunakan.
Peninggalan Islam yang paling penting adalah Perpustakaan Gazi Huserv Beg. Perpustakaan ini memiliki teks penting dalam bahasa Arab, Parsi, Turki dan bahasa lokal iaitu Bosnia, Serbia serta Kroasia. Satu lagi peninggalan Uthmaniyyah yang dipertahankan di Bosnia adalah maktab yang menjadi asas pendidikan agama. Maktab atau kuttab, bermaksud sekolah asas di mana anak-anak akan diajarkan membaca, menulis dan tata bahasa termasuk juga belajar Islam dan pembacaan Al-Quran.
Semua anak-anak dari kelas satu sehingga kelas sembilan dapat mengikuti maktab yang dikelola oleh Persatuan Islam Bosnia dan Herzegovina. Para Imam mengajarkan anak-anak membaca Al-Quran dan pengetahuan dasar agama sesuai kelompok usia mereka di akhir semester. Anak-anak memperkayakan kehidupan mereka dengan mempelajari dasar-dasar dan nilai-nilai agama Islam.
Sungguh, muslim Bosnia mencintai Islam dan berbagai tradisinya. Sayangnya, arus sekularisasi mengikis kebaikan ini. Insya Allah pemimpin Islam akan mengembalikan tradisi kebaikan ini kelak.