Terdapat beberapa perkara yang perlu dihayati oleh kaum Muslim agar menjadi hamba yang senantiasa istiqamah dalam ketaatan:
1) Mengingat kematian dan tempat kembali kepada Allah SWT.
Setiap Muslim mesti meyakinkan diri bahawa kehidupan ini fana. Kelak dia akan kembali kepada Allah SWT. Pada saat itu tak ada yang mampu menyelamatkan dirinya selain ketakwaan. Banyak ayat yang menyebutkan penyesalan manusia di akhirat karena melepaskan diri dari agama Allah SWT. Di antaranya firman Allah SWT:
وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
(Alangkah ngerinya) jika engkau melihat orang-orang berdosa itu menundukkan kepala mereka di hadapan Tuhan mereka (seraya berkata), “Duhai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar. Kerana itu kembalikanlah kami ke dunia. Kami akan mengerjakan amal soleh. Sungguh kami adalah orang-orang yakin.” (TMQ as-Sajdah [32]: 12).
Baginda Rasulullah saw. mengingatkan bahawa kedudukan seseorang di hadapan Allah SWT adalah ditentukan di penghujung kehidupan, bukan di awal:
وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالْخَوَاتِيمِ
“Sungguh amal-amal itu ditentukan saat penutupan (akhir)-nya”. (HR al-Bukhari).
Celakalah orang yang bersungguh-sungguh di awal, tetapi tak boleh mempertahankan ketaatan kepada Allah SWT di akhir hayat. Sabda beliau, “Demi Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, ada seseorang di antara kalian yang mengerjakan amalan ahli syurga hingga tidak ada jarak antara dirinya dan syurga, kecuali sehasta saja. Lalu dia didahului oleh ketetapan Allah. Kemudian dia melakukan perbuatan ahli neraka sehingga dia masuk neraka.” (HR al-Bukhari).
2) Menjadikan Allah SWT dan Rasul-Nya sebagai satu-satunya yang ditaati secara mutlak.
Sikap istiqamah boleh musnah bilamana manusia lebih memilih mentaati selain daripada Allah SWT dan Rasul-Nya. Padahal kelak pada Hari Akhir, orang-orang seperti ini akan menyesal. Mereka bahkan akan melaknat para penguasa, pimpinan dan raja yang dulu mereka taati di dunia (Lihat: TMQ al-Ahzab [33]: 66-68).
3) Mentaati setiap perintah Allah SWT tanpa memisahkan satu hukum dengan hukum yang lain. (BerIslam kaffah dalam ketaatan)
Hari ini hukum-hukum Islam dipilah dan dipilih. Sebahagian diamalkan. Sebahagian lagi pula ditinggalkan. Ada Muslim yang begitu tekun dan khusyuk beribadah, tetapi kehidupannya berkubang dalam muamalah ribawi. Ada yang menjalin hubungan baik dengan masyarakat non-Muslim bahkan penganut LGBT, namun dia membenci saudaranya yang memperjuangkan syariah Islam secara kaffah. Ada pula yang bersemangat dalam melaksanakan amal ibadah shaum, solat berjemaah, tilawah al-Quran, sedekah, umrah dan berhaji. Namun, mereka mengabaikan syariah Islam dalam hukum jenayah, muamalah, politik dan negara. Bahkan di antara mereka ada yang menyatakan sebahagian hukum Islam mengancam penganturan kehidupan masyarakat.
Padahal Allah SWT telah berfirman:
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
“Apakah kalian mengimani sebahagian al-Kitab dan mengingkari sebahagian lainnya? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian di antara kalian, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat mereka akan dilemparkan ke dalam seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kalian perbuat”. (TMQ al-Baqarah [2]: 85).
4) Bersabar dalam ketaatan.
Istiqamah dalam ketaatan memerlukan kesabaran. Sebabnya, orang yang istiqamah akan dihadapkan dengan beragam ujian sampailah saat dia menghadap Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
“Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan saja berkata, “Kami telah beriman,” sementara mereka tidak diuji lagi?” (TMQ al-Ankabut [29]: 2).
Sabar yang diperlukan seorang hamba adalah sabar menghadapi musibah, sabar menjalankan ketaatan dan sabar menghadapi kemungkaran. Ketiga-tiga jenis kesabaran itulah yang mutlak diperlukan seorang Muslim dalam meniti keistiqamahan.
Pada masa sekarang, ketika umat Muslim ada yang hidup dalam kemunduran, namun berpegang teguh pada Islam walaupun menghadapi ujian yang sangat berat. Tuduhan radikal, fundamentalis, konservatif dan banyak lagi tuduhan negative, sering disematkan pada kaum Muslim yang sedang merawat keistiqamahan. Bahkan tidak terkecuali, intimidasi secara fizikal pun terpaksa dilalui oleh sebahagian Muslim seperti larangan menutup aurat dan bercadar, diberhentikan dari pekerjaan, diusir oleh keluarga dan lingkungan, dan sebagainya.
Dalam hal ini Baginda Nabi saw. memberikan motivasi bahawa kesabaran pada akhir zaman mendatangkan kebaikan yang amat besar:
يَأْتِى عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ
“Akan datang kepada manusia suatu zaman saat orang yang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggenggam bara api” (HR at-Tirmidzi).
Dalam riwayat lain ada redaksi tambahan, “Untuk orang yang beramal (sabar) di tengah-tengah mereka ada pahala semisal pahala 50 orang yang mengerjakan semisal amal tersebut.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah semisal pahala 50 orang dari mereka?” Beliau menjawab, “Semisal pahala 50 dari golongan kalian (para sahabat).” (HR Abu Dawud).
5) Tetap beramal biarpun hanya sedikit.
Amal yang paling Allah cintai adalah yang terus dilakukan meskipun sedikit. Nabi saw. bersabda:
أَحَبُّ الأَعْمَال إِلَى اللَّهِ أَدْوَمُهُ وَإِنْ قَلَّ
“Amalan yang paling Allah cintai adalah yang paling berkelanjutan meski hanya sedikit.” (HR Muslim).
Sumber: Buletin Kaffah, No. 143