Penulis: Dedeh Wahidah Achmad
Tidak sedikit ulama yang menjelaskan makna hijrah. Di antaranya Imam Taqiyuddin ibnu Daqiq al-‘Id dalam kitabnya, Ihkam al-Ahkam Syarh Umdah al-Ahkam.
Menurut beliau, ada lima jenis hijrah. Salah satunya adalah hijrah dari apa saja yang Rasulullah saw. larang. Makna hijrah yang disampaikan oleh Imam Taqiyuddin ibnu Daqiq al-‘Id ini selaras dengan hadis Rasulullah saw.,
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِه وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نهى الله عَنْه
“Muslim itu adalah orang yang menjadikan muslim yang lain selamat dari lisan dan tangannya. Al-Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan apa saja yang telah Allah larang.” (HR Bukhari)
Ibnu Arabi menyatakan bahawa hijrah adalah sebagai berikut:
الْخُرُوجُ مِنْ دَارِ الْحَرْبِ إلَى دَارِ الْإِسْلَامِ
“Keluar atau berpindah dari negara yang diperangi (negara kufur) ke Negara Islam.” (Subul as-Salam, 6/128; Nayl al-Awthar, 12/270).
Merujuk pada dua batasan hijrah di atas, boleh kita simpulkan bahawa hakikat hijrah adalah meninggalkan kemaksiatan yang Allah larang menuju ketaatan yang Dia perintahkan. Boleh difahami juga bahawa ketaatan sempurna pada seluruh perintah Allah hanya boleh terjadi dalam sebuah Negara Islam. Oleh sebab itu, umat Islam diperintahkan untuk berhijrah ke sana.
Prasyarat Hijrah
1. Hijrah perlu ilmu
Berdasarkan batasan hijrah seperti hadis Rasulullah saw. di atas, jelas hijrah memerlukan pemahaman yang benar terkait apa saja yang Allah Taala dan Rasulullah saw. larang. Pemahaman ini akan menjadi parameter apakah yang dilakukan selama ini sudah sesuai dengan tiang-tiang aturan-Nya? Atau malah sebaliknya; banyak melakukan pelanggaran sehingga mesti segera ditinggalkan?
Pengetahuan yang minima tentang syariat boleh jadi akan menyebabkannya seseorang merasa aman dalam kemaksiatan dan tidak menyedari kesalahan yang telah dilakukan. Seterusnya, dia pun tidak terdorong untuk melakukan perubahan menjadi lebih baik. Hijrah untuk meninggalkan keburukan pun akan terasa sukar untuk dilakukan.
Di sinilah letaknya urgensi atau keperluan mendesak terhadap ilmu untuk membimbing seseorang menapaki jalan kebenaran dan menyelamatkan dirinya dari jurang kesesatan. Pentingnya ilmu diakui oleh Imam Syafi’i seperti yang disampaikan beliau dalam sebuah syairnya,
شَكَوْت إلَى وَكِيعٍ سُوء حِفْظِي فَأَرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي وَأَخْبَرَنِي ِبِأَنَّ الْعِلْمَ نُورٌ وَنُورُ الله لا يُهْدَى لِعَاصي
“Aku mengadu Imam Waqi’ mengapa hafalanku menjadi buruk. Lalu beliau mengajari aku agar senantiasa meninggalkan maksiat. Sebabnya, sesungguhnya ilmu adalah cahaya, sementara cahaya Allah tidak akan diberikan kepada para pelaku maksiat.” (I’anah ath-Thalibin, 2/190).
2. Meluruskan niat
Keberadaan niat dalam sebuah amalan sangatlah penting. Pertama, ia akan menentukan diterima-tidaknya amal. Saidina Umar al-Khattab ra. berkata bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Sungguh (absahnya) amal-amal perbuatan bergantung pada niatnya. Sungguh setiap orang hanya akan mendapatkan apa yang ia niatkan. Siapa saja yang hijrahnya kerana Allah Taala dan Rasul-Nya, maka hijrahnya dicatat Allah Taala dan Rasul-Nya. Siapa saja yang hijrahnya untuk mendapatkan dunia atau (untuk menikahi) wanita, maka hijrahnya (dicatat) sesuai dengan tujuan hijrahnya tersebut.” (HR Bukhari dan Muslim)
Kedua, niat berpengaruh terhadap keistiqamahan dalam menjalaninya (hijrah). Berhijrah semata kerana Allah akan melahirkan keyakinan bahawa perbuatan tersebut akan berbuah kebaikan. Demikianlah yang dinyatakan oleh Baginda Nabi saw., “Siapa saja yang meninggalkan sesuatu kerana Allah Taala, Dia akan menggantinya dengan sesuatu yang (jauh) lebih baik.” (HR Ahmad)
Berhijrah untuk menjadi muslim yang sungguh-sungguh dalam melaksanakan ajaran agamanya tidaklah mudah. Mungkin banyak rintangan yang menghadang. Apalagi pada zaman yang didominasi kapitalisme sekularisme. Sikap taat pada ajaran agama sering dianggap aneh dan pilihan yang tidak mendatangkan keuntungan. Bahkan, tuduhan radikal dan fanatik pun tidak jarang dijadikan julukan pada individu yang berhijrah.
Namun, orang yang niat hijrahnya murni kerana Allah tidak akan mundur sedikit pun. Acuannya adalah firman Allah Taala,
وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡٔٗا وَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡٔٗا وَهُوَ شَرّٞ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ
“Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Boleh jadi (pula) kalian menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah mengetahui, sedangkan kalian tidak mengetahui.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 216)
3. Hijrah hakiki perlu Darul Islam
Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menyebutkan bahawa para fuqaha mendefinisikan hijrah sebagai ‘keluar dari Darul Kufur menuju Darul Islam’ (Lihat: An-Nabhani, Asy-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah, II/276).
Berdasarkan batasan tersebut, hijrah akan terlaksana jika Darul Islam sudah tegak. Tidak mungkin ada hijrah ketika pemerintahan Islam ini belum hadir. Oleh sebab itu, sebelum hijrah dilakukan, perlu ada usaha untuk memperjuangkan penegakan pemerintahan Islam. Pada saat itulah hijrah secara nyata boleh diwujudkan sebagaimana tuntutan yang dikandung dalam Surah An-Nisa’ [4]: 97.
Perkara Yang Mesti Diperhatikan oleh Muslimah
Berikut beberapa hal yang perlu seorang muslimah perhatikan supaya mampu menjalankan peranannya dalam perjuangan untuk mewujudkan hijrah hakiki menuju kehidupan Islam:
1) Memahami hakikat hijrah.
2) Meluruskan niat berjuang semata kerana Allah.
3) Senantiasa melengkapkan diri dengan keilmuan yang berkelayakan, baik ilmu terkait syariat Islam mahupun pengetahuan terkait realiti kehidupan yang bertentangan dengan pemikiran dan aturan Islam.
4) Berkomitmen untuk terlibat aktif dengan kelompok yang memperjuangkan tegaknya Islam dalam kehidupan.
Cabaran Berhijrah
Hambatan fizikal mungkin yang dominan dihadapi Rasulullah saw. ketika hijrah dari Mekah ke Madinah adalah seperti kesukaran dari aspek persekitaran, kepungan musuh, atau pemboikotan. Namun, sekarang sudah berbeza zamannya.
Muslimah sekarang mungkin tidak terlalu diancam secara fizikal sebagaimana Sumayah yang diseksa kerana mempertahankan keimanannya, atau Asma binti Abu Bakar yang perlu berulang-alik dari Mekah ke Gua Tsur, padahal beliau sedang dalam keadaan yang sarat kehamilan.
Boleh jadi muslimah masa kini sebaliknya lebih banyak memperoleh kemudahan. Ternyata, cabaran sekarang adalah hambatan pemikiran berupa idea-idea sesat yang terus bercampur-baur dalam kehidupan peribadi, keluarga, mahupun masyarakat.
Pemikiran moderat, misalnya, terus disebar-luaskan. Sekularisme tidak henti-henti dicanangkan. Kapitalisme terus merasuk dalam setiap sendi kehidupan. Begitu juga liberalisme dengan berbagai ragamnya senantiasa menghancurkan tatanan keluarga muslim. Tidak ketinggalan juga idea kesetaraan gender dan feminisme yang memalingkan peranan mulia muslimah sebagai pengurus rumah tangga dan ibu pendidik generasi dari para wanita.
Pemerkasaan ekonomi wanita yang diwar-warkan akan meningkatkan martabat kaum hawa terbukti menjadi salah satu faktor pemicu meningkatnya angka permohonan cerai dari pihak isteri. Di Indonesia misalnya, menurut Pengarah IPB Prof. Euis Sunarti, situasi perceraian di negeri tersebut sangat tinggi. Terdapat sekitar 1200 kes perceraian per hari atau rata-rata 50 perceraian per jam. (Kompas, 4/7/2021).
Kesibukan para ibu dalam dunia kerjaya ternyata juga memberi kesan negatif pada berkurangnya kesempatan untuk mengasuh dan mendidik anak-anak di rumah. Hal ini menjadikan mereka (anak-anak) generasi yang kurang kasih sayang dan perhatian yang akhirnya berhujung dengan berbagai kesalahan sosial, seperti pergaduhan, jebakan dadah dan seks bebas. Apa jadinya generasi yang akan datang jika sekolah pertama dan utama dalam keluarga tidak mampu menjalankan peranannya dengan baik?
Pernikahan awal usia juga tidak henti-hentinya dijadikan isu dan terus diusahakan untuk dimasukkan ke dalam salah satu kesalahan yang boleh mengakibatkan hukuman. Di Indonesia, Pasal 7 ayat (1) UU 16/2019 tentang Perubahan atas UU 1/1974 tentang Perkahwinan (UU 16/2019) mengatur bahawa perkawinan hanya diizinkan jika pihak lelaki dan wanita sudah mencapai umur 19 tahun. Di sisi lain, pasangan muda usia ini tidak mampu melawan tuntutan naluri seksualnya. Kematangan biologi berpadu dengan rangsangan produk liberalisme kapitalisme—yang terus menggempur—telah menjerumuskan mereka ke lembah penzinaan.
Berbagai idea dan fakta kerosakan tersebut menjadi bukti bagi muslimah pejuang syariah, untuk memberikan analisis dan menjelaskan pertentangannya dengan syariat Islam. Seterusnya, menyampaikan analisis tersebut ke tengah masyarakat agar mereka terjaga dari sebaran racun-racun yang menyesatkan. Dengan demikian, diharap akan muncul kesedaran dalam masyarakat akan pentingnya berhijrah dari sistem kehidupan sekarang menuju kehidupan Islam yang menyelamatkan.
Sumber: Al-Wa’ie