Oleh: Farisha Aris (Aktivis MHTM)
Berlalunya Ramadhan tidak bererti bahawa semangat beramal pula menurun. Memelihara semangat tersebut adalah sangat penting agar ia tetap menyala dan kita istiqamah (berterusan) dalam ketaatan persis ketika kita berada dalam bulan Ramadhan.
Daripada Abu Amru – atau digelar juga AbuAmrah – Sufian ibn Abdullah RA beliau berkata, “Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda, Ucapkanlah ‘Aku beriman kepada Allah’. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah” [HR Muslim].
Dalam kemeriahan sambutan Aidilfitri kali ini, haruslah kita ingat bahawa Ramadhan yang telah berlalu seharusnya menjadi pemangkin pada setiap Muslim untuk memuhasabah diri supaya memperbanyakkan amal soleh. Ramai dalam kalangan umat Islam kini yang hanya memfokuskan diri pada ibadah ritual semata-mata terutamanya dalam bulan Ramadhan kerana mereka memahami erti tazkiyatun nafs (pensucian diri) daripada sudut yang sempit. Mereka memahami bahawa tazkiyatun nafs adalah aktiviti jiwa yang menenangkan hati. Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika ramai daripada mereka yang hanya menjalankan ibadah dengan tujuan untuk memperbaiki diri sendiri seperti solat tarawih, puasa, tidak berbohong, membaca al-Quran, berzikir dan bersabar. Namun begitu, hakikatnya makna sebenar tazkiyatun nafs tidak sesempit yang selama ini difahami oleh umat Islam.
Tazkiyatun nafs bererti beribadah kepada Allah SWT dengan menerapkan seluruh hukum Allah SWT sama ada ibadah solat atau menghindari riba, membaca al-Quran atau menegakkan Khilafah mahupun berzikir ataupun berjihad. Semua ini adalah aktiviti-aktiviti yang akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT (taqarrub ila Allah). Dengan itu, jiwa kita dengan sendirinya akan menjadi tenang dan suci bersih. Hakikatnya, kesucian jiwa akan kita peroleh jika kita selalu menjadikan Allah SWT dan Rasul-Nya lebih kita cintai daripada diri, keluarga dan harta kita serta menjadikan halal dan haram sebagai tolok ukur perbuatan kita.
Memang benar, Ramadhan datang hanya satu kali dalam satu tahun dan berlangsung dalam satu bulan sahaja. Namun begitu, seharusnya amal-amal baik yang sudah biasa dilakukan pada bulan Ramadhan tidak seharusnya berhenti serta merta setelah Ramadhan berlalu pergi. Ramadhan adalah bulan penyucian jiwa serta bulan untuk melatih diri untuk meraih takwa. Aktiviti-aktiviti dalam bulan Ramadhan bagi sesetengah umat Islam akan terasa berat dan banyak cabaran. Namun hakikatnya, di sebalik semua yang terasa berat itu ada keberkatan dan pahala yang tidak ternilai besarnya. Sudah semestinya bagi orang-orang yang berjaya mengharungi Ramadhan akan merasakan kesannya sampai bila-bila pun. Dia akan memperoleh tenaga dan semangat baru untuk menjalani hari-hari seterusnya selama 11 bulan ke hadapan. Tenaga dan semangat tersebut merupakan hasil latihan amaliah Ramadhan yang dilaksanakan selama sebulan penuh. Dengan kata lain, amalan-amalan ketika Ramadhan akan terlihat hasilnya pasca Ramadhan sebagai bukti wujudnya ketakwaan.
Apa yang kita harap-harapkan adalah Ramadhan kali ini menjadi momentum untuk umat Islam melakukan amal soleh sebanyak mungkin setiap masa, seterusnya melakukan perbaikan yang diharapkan akan kekal sepanjang tahun. Dari Aisyah RA beliau berkata,
“Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa banyak di bulan tertentu dalam satu tahun, melebihi puasa beliau ketika pada bulan Sya’ban. Dan baginda bersabda, ‘Lakukanlah amalan yang mampu kalian lakukan, kerana Allah tidak akan bosan hingga kalian sendirilah yang bosan. Dan amalan yang paling disukai Allah adalah amalan yang terus-menerus dilakukan meskipun sedikit’” [HR Muslim No. 1958]