Oleh: Farisha Aris (Aktivis MHTM)
Rasulullah SAW menyuruh kita semua untuk sentiasa bertakwa di mana pun kita berada, bila dan dalam keadaan apa pun di sepanjang hidup kita. Rasulullah SAW bersabda, “Bertakwalah kepada Allah dimana pun, bila pun, dalam keadaan bagaimanapun engkau berada; ikutilah keburukan dengan kebaikan sehingga (kebaikan itu) akan menghapusnya dan berbuat baiklah kepada manusia dengan akhlak yang baik” [HR ath-Thabrani dari Abi Dzarr RA.]
Berdasarkan perintah Rasulullah SAW dalam hadis di atas, maka ia adalah satu pemahaman yang keliru bahawa takwa hanya ada dalam waktu dan tempat tertentu sahaja. Takwa tidak hanya ada ketika solat atau tatkala di masjid sahaja. Takwa juga bukan hanya ada pada bulan Ramadhan sahaja. Takwa harus ada selamanya dan sentiasa menyertai kita di mana pun kita berada. Bahkan kita diperintahkan untuk terus menjaga ketakwaan hingga kematian tiba. Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam” [TMQ ali-‘Imran (3):102].
Bulan Ramadhan juga merupakan masa yang terbaik bagi umat Islam sama ada secara individu mahupun kolektif untuk menjadi orang-orang yang melakukan ketaatan penuh kepada Allah SWT dengan menjalankan segala hukum-hakam dan aturan-aturan-Nya. Ramadhan akan membentuk Mukmin yang taat sepenuhnya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, serta bersedia untuk menjalankan Islam secara kaffah (keseluruhan) baik dalam hal akidah mahupun hukum-hukum lainnya seperti aspek ibadah khusus, makanan, minuman, pakaian, pergaulan, politik, ekonomi dan hubungan antarabangsa. Dengan keterikatan hidup sepenuhnya kepada syariat Allah dalam seluruh aspek kehidupan, maka sifat takut, berharap dan taat kepada Allah akan sentiasa tertanam dalam jiwa seorang muslim.
Bulan Syawal yang mulia kali ini janganlah kita sia-siakan dengan pelbagai perkara yang mungkar dan melalaikan seperti hiburan yang berlebihan, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, berpakaian tidak menutup aurat dan lain-lain. Kesempatan bertemu Aidilfitri kali ini sewajarnya dijadikan titik tolak dalam mengusahakan penerapan Islam secara kaffah (keseluruhan) dengan menegakkan semula Daulah Khilafah. Hanya Daulah Khilafah satu-satunya institusi yang akan menerapkan Islam secara kaffah demi memelihara ketakwaan setiap Muslim yang hidup dalam naungannya.
Khalifah akan menerapkan al-Quran, kitab yang mengandungi pelbagai bentuk penyelesaian bagi permasalahan manusia. Di dalamnya terdapat segala hukum Islam yang wajib diterapkan oleh setiap Muslim dalam konteks individu, masyarakat dan negara terutamanya. Oleh itu, ayuhlah kita bersama-sama sepanjang masa dalam usaha mengembalikan semula Islam dalam kehidupan manusia dan janganlah kita menjadi Muslim Ramadhaniyun iaitu Muslim yang hanya berlumba-lumba melakukan amal soleh pada bulan Ramadhan sahaja.
Wallahu’alam.