Berkumandang takbir bersahut-sahutan menandakan hari kemenangan telah tiba. Kita berharap meraih takwa setelah Ramadan, menghindari pelbagai perkara yang membawa kepada dosa. Salah satunya ialah dosa lisan. Hal ini yang kerap kali menjatuhkan seorang muslim kepada dosa tanpa dia menyedarinya.
Salah satu dosa lisan ialah menodai kehormatan orang beriman dengan mudahnya, padahal itu termasuk dosa besar. Jika kita analogikan, dosa riba yang paling ringan ialah seperti berjimak dengan ibunya sendiri. Ternyata, ada yang lebih tinggi, iaitu melanggar kehormatan orang lain dengan lisannya. Maksudnya, ibarat kata, orang yang melanggar kehormatan orang yang beriman lebih parah daripada 72 kali berzina dengan ibunya sendiri. Astaghfirullah!
Oleh kerana itu, sudah semestinya kita ingin mencontohi Nabi ﷺ dalam mengambil tahu keadaan saudara seislam kita, Nabi ﷺ paling banyak memberi kehormatan kepada sahabatnya dengan memberi mereka uzur. Bahkan, Nabi ﷺ sering memberi uzur kepada sahabat walaupun melakukan dosa besar.
Ini seperti yang terjadi pada salah seorang sahabat Nabi, Maiz bin Malik seorang sahabat yang berzina, kemudian dia mendatangi Nabi. Dia berkata, “Sucikanlah aku, wahai Rasulullah.” Rasul langsung berkata, “Celakalah ku, pulanglah dan mohonlah keampunan kepada Allah!” Ini merupakan uzur pertama yang diberikan Nabi pada Maiz.
Beberapa waktu kemudian dia datang kembali dengan mengatakan perkara yang sama pada Nabi. Lalu Nabi pun menjawab dengan perkara serupa. Ini adalah uzur kedua yang diberikan Nabi pada Maiz. Hal ini berlangsung sampai tiga kali kedatangan Maiz pada Nabi.
Selanjutnya, Maiz mengulangi permintaannya untuk kali keempat, Rasul bertanya kepadanya, “Dari dosa apa aku akan menyucikanmu?” Maiz menjawab, “Dari zina, wahai Rasulullah.”
Maiz ialah seorang muhshan (lelaki yang telah mempunyai isteri). Hukuman atas seorang muhshan yang berzina ialah direjam sampai mati. Rasul kemudian bertanya kepada para sahabat yang ada di sekelilingnya, “Adakah dia gila?” Para sahabat menjawab bahawa Maiz tidak gila. Bahkan, ada seorang sahabat yang menjawab, “Kami ketahui bahawa dia berakal waras dan termasuk orang soleh.”
Rasul bertanya lagi, “Adakah dia minum khamar?” Seorang sahabat langsung berdiri dan menghirup aroma mulut Maiz, ternyata tidak tercium bau arak dari mulutnya. Lalu Rasul bertanya kepada Maiz, “Adakah kau telah berzina?” “Ya”, jawab Maiz. Akhirnya Rasul memerintahkan agar Maiz dibawa ke tempat pelaksanaan hukuman.
Inilah sikap Nabi kepada para sahabat, mengutamakan memberikan uzur terlebih dahulu sebelum memutuskan sesuatu agar tidak menodai kehormatan seorang yang beriman.
Terhadap seorang yang telah mengaku berbuat dosa, Nabi tidak secara serta-merta memberikan penilaian dan hukuman. Nabi menunggu keseriusan dari pendosa tersebut. Setelah Maiz mendatangi nabi buat kali keempat, Nabi akhirnya merespons dengan mengkaji kesedaran si pendosa dengan bertanyakan kewarasan dan kesedarannya. baru kemudian dilaksanakan hukuman.
Setelah Maiz wafat pun, Nabi tidak menghinakan sang pendosa, tetapi sebaliknya memuji keseriusannya bertaubat dengan mengatakan “Seandainya taubat beliau itu dibahagikan kepada satu umat, pasti cukup.” [Sahih Muslim, kitab Al-Hudud, 119].
Dengan demikian, Saudariku, jika ada seribu uzur yang harus kita berikan pada saudara kita atas suatu keadaan yang terjadi, berilah seribu uzur tersebut. Jangan sampai lisan kita mudah menodai kehormatan orang yang beriman. Sungguh berat dosa yang akan kita terima kerananya.
Harga sebuah kehormatan itu mahal dan Nabi memahami hal tersebut. Rasul ﷺ bersabda, “Mencela seorang muslim merupakan kefasikan dan membunuhnya kekufuran.” Oleh sebab itu, jadilah peribadi yang beradab dengan berkomentar perkara-perkara yang baik.
Salah satu amalan besar yang menjanjikan sebuah kamar di syurga ialah baik dalam berbicara. Perhatikanlah bagaimana kita berbicara di hadapan orang yang beriman. Syaitan sering menjadi penumpang gelap di antara dua orang saudara yang beriman melalui ucapan.
Ibnu Rajab mengatakan berkaitan tiga akhlak seorang muslim. Pertama, menahan diri, lisan, dan tangan untuk tidak menzalimi orang lain. Kedua, bersabar jika dizalimi. Ketiga, ringan menolong orang lain. Lisan ialah cermin yang ada di dalam hati kita. Jika hati kita baik, akan terwujud dari lisan yang terucap.
Orang yang berilmu, tetapi tidak berakhlak, maka amalnya boleh menjadi rosak. Akhlak buruk merosak amal ibadah. Seperti mencampur cuka ke dalam madu, rosak khasiat madunya. Akhlak buruk seseorang melalui lisan dan tulisan akan menjadikannya tidak boleh memasuki syurga. Begitu juga jika berakhlak sahaja tanpa ilmu, merupakan perkara batil. Untuk memasuki syurga tentu mesti memiliki ilmu untuk melahirkan iman yang benar.
Imam Syafi’e pernah mengatakan, “Siapa pun yang ingin mendapat cahaya hati di dalam imannya, kemudian dilapangkan hatinya dalam iman, hendaklah dia sering berdua-duaan dengan Allah. Meninggalkan orang yang bodoh dan tenggelam dalam dosa kemaksiatan terus-menerus, sedikit makannya, dan membenci orang yang berilmu ketika dia tidak memiliki akhlak dan adab.”
Imam Syaukani dalam kitab Nasrul Jauhar mengatakan, “Berapa banyak aku melihat orang alim, zuhud, dan warak. Namun, ketika dia zuhud dan warak serta meninggalkan semua perkara yang haram dan gemar melakukan ketaatan dalam perkara yang wajib dan sunah, tetapi begitu mudah dia mengatakan serta menodai kehormatan orang yang beriman. Padahal, dia tidak sedar yang dia lakukan itu jauh lebih berat dari yang dia kerjakan.”
Saudariku, belum tentu orang berilmu memiliki komitmen dalam akhlak. Mengikuti salaf soleh yang paling berat ialah mengikuti akhlaknya. Ibnu Mubarrak berkata, “Aku mempelajari ilmu selama 20 tahun dan mempelajari akhlak selama30 tahun.” Begitulah pentingnya adab/akhlak bagi penuntut ilmu.
Semestinya, kita memperhatikan setiap ucapan kerana salah satu makrufnya seseorang ialah apabila dia berbicara dan mampu menahan bicara. Semoga Allah menjaga lisan kita dari menodai kehormatan orang beriman dan lebih dahulu memberikan uzur pada mereka. Wallahualam bissawab.