Penulis: Nabila asy-Syafi’i
Ketika keimanan telah tertanam kuat dalam sanubari, maka bongkahan hambatan yang menghalangi jernih dan sucinya kebenaran tidak mampu membendungnya. Saat debu-debu Mekah masih sombong menghambat dakwah, Allah menyiapkan kota lain untuk menerima dan kelak di sanalah negara Islam pertama ditegakkan, yakni Madinah al-Munawarah.
Di antara penduduk Madinah yang menyambut seruan Rasulullah ﷺ ialah Ummu Mundzir binti Qais RA, salah seorang sahabiyah yang menorehkan catatan sejarah yang sangat indah.
Mengenal Sekilas Sosok Ummu Mundzir binti Qais RA
Namanya ialah Salma binti Qais bin Amr bin Ubaid, terkenal dengan sebutan Ummul Mundzir. Dia salah seorang makcik Rasulullah ﷺ dari pihak ayah. Memiliki saudara bernama Sulaith bin Qais. Sulaith bin Qais turut serta dalam perang Badar, perang Uhud, perang Khandaq, dan peperangan lain bersama Rasulullah ﷺ.
Sulaith bin Qais merupakan pahlawan perang Jisr di bawah pimpinan Abu Ubaidah. Perang Jisr ialah perang yang terjadi di sebuah jambatan. Dalam perang tersebut, Sulaith bin Qais gugur sebagai seorang syahid pada tahun 14 Hijriah.
Ummu Mundzir termasuk salah seorang wanita yang pertama memeluk Islam dan turut serta dalam dua baiat yang penuh berkah di hadapan Rasulullah SAW sehingga Ummu Mundzir diberi gelaran Mubayi’atal-Baiatain yang bermaksud orang yang berbaiat dua kali.
Ummu Mundzir bin Qais dikenal sebagai seorang yang berakhlak mulia, rajin beribadah, gigih untuk terus meningkatkan ilmu, rajin membaca al-Quran, menghafal hadis, dan tidak pernah lelah menyampaikan dakwah Islam.
Sungguh, Ummu Mundzir menjalani agama ini dengan ikhlas sepenuh jiwa raga. Ummu Mundzir juga termasuk salah seorang sahabiyah yang solat bersama Rasulullah ﷺ menghadap dua kiblat.
Ummu Mundzir binti Qais Berbaiat Dua Kali kepada Rasulullah ﷺ
Setelah Baitul Aqabah pertama, Nabi ﷺ mengutus Mus’ab bin Umair sebagai dai pertama ke Madinah Al-Munawwarah. Di antara berkah dakwah Mush’ab ialah keislaman Ummul Mundzir. Maka, dia menjadi antara kaum wanita yang lebih dahulu masuk Islam dan termasuk di antara mereka yang disebutkan Allah dalam firman-Nya.
“Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung.” [TMQ At-Taubah (9): 100]
Ummu Mundzir RA mengisahkan bagaimana dia berbaiat kepada kepada Rasulullah ﷺ, “Aku menemui Nabi ﷺ bersama wanita-wanita Ansar untuk berbaiat. Di antara syarat yang diajukan bagind dalam baiat tersebut ialah: Tidak boleh mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, tidak boleh mencuri, tidak boleh berzina, tidak boleh membunuh anak-anak kami sendiri, tidak boleh membuat tuduhan palsu, dan tidak boleh menderhakai Rasulullah ﷺ dalam kebaikan; Selain itu Rasulullah ﷺ juga berkata, ‘Dan tidak boleh menipu suami sendiri.’”
Ummu Mundzir RA melanjutkan, “Kami menerima syarat-syarat tersebut dan berbaiat kepada Rasulullah Muhammad ﷺ Kemudian kami pulang, di tengah perjalanan aku berkata kepada salah seorang wanita yang ikut berbaiat, ‘Kembalilah kepada Rasulullah ﷺ, apa yang dimaksudkan dengan menipu suami sendiri?’ Wanita itu bertanya kepada Rasulullah ﷺ, maka Rasulullah ﷺ menjawab, ‘Maksudnya, kamu mengambil hartanya, lalu kamu berikan kepada orang lain yang kamu sukai.’”
Inilah baiat Ummu Mundzir kepada Rasulullah ﷺ untuk kali pertama. Untuk kali kedua, Ummu Mundzir berbaiat kepada Rasulullah ﷺ agar mendapatkan keredhaan dari Allah SWT di bawah pohon, yang lebih dikenali dengan Baiat Ridwan, yang terjadi pada 6 Hijriah.
Ketika Rasulullah ﷺ merancang untuk melaksanakan umrah ke Mekah, kaum Quraisy berusaha menghalangi sehingga terjadi ketegangan. Untuk meredakan ketegangan ini Rasulullah ﷺ mengirimkan Uthman bin Affan sebagai duta Rasulullah ﷺ untuk menjelaskan kepada kaum Quraisy bahawa tujuan Rasulullah dan kaum muslimin ialah untuk melaksanakan umrah bukan untuk berperang.
Tokoh-tokoh Quraisy bermusyawarah untuk menentukan sikap mereka sehingga untuk beberapa waktu Uthman tinggal di Mekah menunggu keputusan mereka yang akan disampaikan kepada Rasulullah ﷺ.
Sementara itu, muncul khabar di tengah kaum muslimin bahawa Uthman bin Affan telah terbunuh, maka Rasulullah ﷺ menyeru kepada kaum muslimin untuk berbaiat selari dengan perintah Allah SWT, Rasulullah ﷺ memegang tangannya sendiri dan berkata, “Tangan ini mewakili Uthman.”
Setelah baiat dilangsungkan, Uthman bin Affan datang dan langsung berbaiat kepada Rasulullah ﷺ. Salah seorang wanita yang menyegerakan perintah ini iaitu Baiat Ridwan ialah Ummul Mundzir. Dia menyambut perkataan Rasulullah ﷺ bersama sekelompok sahabiyah lain yang rela mati.
Dengan sikapnya tersebut, dia mendapatkan berita gembira berupa syurga yang telah disabdakan Rasulullah ﷺ “Tidak akan masuk neraka orang yang mengikat baiat di bawah pohon ini.” [HR Bukhari].
Kedudukan Ummu Mundzir binti Qais RA di Sisi Rasulullah ﷺ
Pengkhianatan kaum Yahudi Bani Quraizhah terhadap perjanjian damai dengan kaum muslimin begitu menyakitkan. Bagaimana tidak? Ketika perang Khandaq terjadi, Bani Quraizah yang memiliki perjanjian damai dengan kaum muslimin sepaptutnya turut menjaga kota Madinah yang dikepung. Akan tetapi, Bani Quraizah malah melakukan pengkhianatan dan bergabung dengan pasukan pakatan pimpinan Quraisy.
Keadaan kaum muslimin saat itu benar-benar kritikal, maka setelah perang Khandaq selesai dan kaum muslim diberi kemenangan oleh Allah, Rasulullah ﷺ melanjutkan perjuangannya, memberi pelajaran kepada Bani Quraizah. Setibanya di perkampungan Bani Quraizah, pasukan kaum muslimin melakukan pengepungan dan melakukan sekatan terhadap kelompok Yahudi itu.
Menurut pendapat yang kuat, pengepungan berlangsung selama 25 hari. Pengepungan itu sangat memberi kesan bagi Yahudi Bani Quraizah. Akhirnya mereka menyerah dan bersedia menerima hukuman dari Rasulullah ﷺ.
Oleh yang demikian, Rasulullah ﷺ melimpahkan penentuan jenis hukuman yang akan dijatuhkan bagi Bani Quraizah kepada Sa’ad bin Mu’adz RA. Sa’ad merupakan salah seorang tokoh dari Bani Aus. Bani Aus dahulunya merupakan sekutu Bani Quraizah. Kemudian Sa’ad mengatakan, “Hukum yang saya tetapkan ialah pasukan mereka dibunuh, kaum wanita dan anak ditawan.”
Ketika kaum muslimin sedang melaksanakan hukuman yang telah diputuskan oleh Saad bin Muadz, terdapat seorang Yahudi Bani Quraizah bernama Rifa’ah yang ketika beliau masih di penjara menulis surat kepada Ummu Mundzir yang berisi:
“Mohonlah kepada Muhammad agar membebaskanku, bagaimanapun aku menghormatimu dan keluargamu, dan engkau sendiri masih tergolong ibunya.” Ummu Mundzir RA kelihatan gelisah, dan hal itu diketahui oleh Nabi ﷺ. Maka Nabi berkata, “Ada apa denganmu wahai Ummu Mundzir?”
Ummu Mundzir menjawab, “Biarlah ayah dan ibuku menjadi tebusanmu, wahai Rasulullah, sesungguhnya Rifa’af bin Samau’al sangat dekat dengan kami, dia sering berkunjung ke rumah kami, dan sangat besar jasanya kepada kami, maka jika engkau berkenan, hibahkanlah Rifa’ah kepada kami. Dia berjanji akan melakukan solat dan makan daging unta.”
Kemudian Rasulullah ﷺ menyerahkan Rifa’ah kepada Ummu Al-Mundzir seraya bersabda, “Jika dia mahu melakukan solat, maka itu lebih baik bagi dirinya. Jika dia tetap kukuh pada agamanya, maka hal itu lebih teruk bagi dirinya.” Akhirnya Rifa’ah pun masuk Islam.
Dia berkesempatan mendampingi Rasulullah ﷺ dan meriwayatkan hadis. Rifa’ah merupakan pakcik Ummul Mukminin, Shafiyyah binti Huyaiy.
Demikianlah Ummu Mundzir memiliki kedudukan di sisi Rasulullah ﷺ. Sungguh Ummu Mundzir RA merupakan salah seorang di antara para sahabiyah yang mengisi lembar-lembar perjalanan hidupnya dengan Islam dan untuk Islam.
Bergegas menjalankan apa yang diperintahkan Allah dan Rasulullah ﷺ. Selalu berakhlak mulia, rajin beribadah, gigih menuntut ilmu dan meningkatkannya hari demi hari, rajin membaca al-Quran dan menghafal hadis Rasulullah ﷺ.
Ummul Mundzir RA termasuk salah seorang perawi hadis wanita. Di antara yang meriwayatkan hadis dari Ummu Mundzir ialah Ummu Sulaim bin Ayyub bin Hakam, Ayyub bin Abdurrahman, dan Ya’qub bin Abu Ya’qub Al-Madani.
Ummu Mundzir RA merupakan seorang wanita pejuang, dia tidak pernah lelah menyampaikan dakwah Islam. Sungguh Ummu Mundzir menjalani agama ini dengan sepenuh jiwa raga sehingga dia mendapatkan kedudukan yang terhormat di sisi Rasulullah ﷺ.
Semoga kita boleh belajar dari kisah hidup Ummu Mundzir RA ini dan menjadikan lembaran kehidupan kita berjalan sesuai dengan ketentuan hukum-hukum Allah SWT. Wallahu’alam.
Sumber: Suara Mubalighah