Asma’ masuk Islam bersama wanita-wanita yang mula-mula masuk Islam dari kalangan Ansar melalui Mus’ab bin Umair. Beliau adalah wanita suci yang ideal dalam iman, ilmu, kesabaran, dan mempunyai banyak kebaikan. Selain itu, ia termasuk perempuan yang meriwayatkan hadis Rasulullah SAW. Beliau merupakan salah seorang wanita yang berbaiat dan mujahidah yang hidup pada zaman awal Islam di Madinah.
Kelebihan lain yang dimilikinya ialah Asma’ binti Yazid seorang pemidato, singa podium di kalangan wanita beriman. Justeru, bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya dia diberi kepercayaan untuk menjadi delegasi atau wakil wanita dalam menyampaikan permasalahan berkaitan wanita kepada Rasulullah SAW dalam majlis syura.
Asma’ pernah melontarkan sebuah pertanyaan yang mengkagumkan orang-orang yang mendengarnya. Sebuah pertanyaan yang dilandasi keimanan dan ketamakkan untuk melakukan kebaikan semata-mata demi keredhaan Allah, bukan kerana dikuasai fahaman feminisme yang menimbulkan rasa iri kepada lelaki.
Mari kita lihat kisah penuhnya.
“Ya Rasulullah, aku mewakili kaumku untuk bertanya kepada Engkau. Bukankah Allah mengutus Engkau untuk seluruh umat, baik lelaki mahupun perempuan. Kami beriman kepadamu dan Tuhanmu. Namun kami berasa diperlakukan tidak sama dengan kaum lelaki.
Kami adalah golongan yang serba terbatas dan terkurung. Kerja kami hanya menunggu di rumah kalian (lelaki), memelihara dan mengandungkan anak kalian, dan tempat pemuas nafsu lelaki (suami). Kami tidak pernah diberi kesempatan untuk melakukan seperti yang dilakukan oleh kaum lelaki. Kami tidak berkesempatan untuk mendapatkan pahala solat Jumaat (kerana memang tidak wajib), menziarahi orang sakit, menghantar dan menguruskan jenazah, menunaikan haji (kecuali disertai mahram), dan amalan yang paling utama jihad fî sabîlillâh. Ketika kalian pergi menunaikan haji dan berjihad, kami bertugas menjaga harta dan anak kalian, menjahit pakaian kalian. Apakah mungkin dengan itu kami memperoleh pahala seperti amalan yang kalian lakukan?”
Mendengar pertanyaan demikian, Rasulullah SAW terkejut dan bangga lalu berkata kepada para sahabat yang lain, “Pernahkah kalian mendengar pertanyaan yang lebih baik dalam soal agama selain dari perempuan ini?” Para sahabat menjawab, “Ya Rasulullah, kami tidak menyangka dan berfikir bahawa perempuan itu akan bertanya sedemikian jauh.” Rasulullah lalu bersabda, “Wahai Asma’, kau fahamilah dan nanti sampaikanlah kepada kaummu. Bakti kalian pada suami dan usaha mencari keredhaannya telah meliputi dan menyamai semua yang dilakukan oleh suami-suami kalian.”
Jawapan yang singkat, tetapi padat dan penuh makna. Jawapan yang memberikan ketenangan bagi kaum perempuan yang beriman, kerana kebimbangan mereka jika tersalah dalam melangkah atau lalai dalam menjalankan aturan Allah serta kerana sangat tamaknya mereka untuk mendapatkan pahala dari Allah SWT. Asma’ pun dengan gembira segera pulang dan menyampaikan berita gembira tersebut kepada kaum perempuan, dan mereka menerima dengan senang hati, sami’na wa atha’na.
Asma’ ialah seorang yang sangat haus akan ilmu. Ia senantiasa bertanya kepada Rasulullah tentang pelbagai hal hingga kepada rinciannya sehingga ia jelas tentang apa pun yang ditanyakan dan tidak ada lagi masalah yang dianggapnya rumit dan tidak jelas.
Antara keluhuran sikapnya adalah dalam hal hafalan dan pemahamannya tentang hadis Nabi SAW. Beliau meriwayatkan hadis sebanyak 81 hadis. Ini menunjukkan bahawa Asma’ sangat mementingkan ilmu dan sangat rajin mengunjungi Rasulullah SAW dan ummul mukminin untuk bertanya tentang Islam.
Keluarga Asma’ adalah keluarga mujahid. Ayahnya Yazid bin As-Sakan al-Anshary dan bapa saudaranya Ziyad bin Sakan al-Anshary merupakan dua pahlawan penunggang kuda yang menjual dirinya kepada Allah, hingga mereka mati syahid dalam perang Uhud.
Dalam perang Khandaq, Asma’ binti Yazid mengirimkan makanan untuk Nabi Muhammad dan para sahabat. Demikian juga dalam perang Khaibar dan perang Yarmuk, beliau memberi makanan dan minuman kepada para perajurit yang kehausan dan mengubati orang-orang yang cedera.
Di samping itu, Asma’ bersama-sama dengan kaum perempuan bersiap sedia di garisan belakang sambil terus memberi semangat kepada para perajurit muslimin sehingga sekiranya ada perajurit yang mundur ke garisan belakang, kaum perempuan mengacukan kayu sehingga perajurit muslim yang berniat mundur kembali ke hadapan dan menentang tentera Rom.
Mereka terus bertempur hingga Allah memberikan kemenangan dan mampu mengalahkan pasukan Rom. Adapun di antara pahlawan perempuan tercatat di antaranya Asma’ binti Yazid RA. Beliau terjun dalam kancah pertempuran dan berjaya membunuh sembilan orang tentera Rom dengan menggunakan tiang khemahnya. Wallahualam.
Sumber: Buku Revisi Politik Perempuan