Fatimah dilahirkan di Ummul Qura, ketika orang-orang Quraisy membaik-pulih bangunan Kaabah, iaitu lima tahun sebelum kenabian. Kedua orang tuanya sangat senang dan gembira akan kelahirannya. Fatimah tumbuh di rumah yang suci, mendapat limpahan kasih sayang dari kedua orang tua, dan membesar dalam suasana nubuwwah yang suci. Matanya terbuka untuk melihat urusan risalah yang dikhususkan Allah bagi ayahnya, Muhammad saw.
Fatimah sebagaimana puteri-puteri Rasulullah lainnya berada dalam satu ikatan bersama ibu mereka, Khadijah. Mereka berada dalam kelompok barisan hadapan ketika permulaan Islam, yang membenarkan ayah mereka yang memang telah dikurniakan sifat-sifat yang diberkahi sebelum risalah. Keislaman keluarga ini, Muhammad saw., isteri, dan puteri-puterinya merupakan keislaman fitrah yang suci, yang disuapi dengan iman dan nubuwwah, yang dibesarkan pada keutamaan dan kemuliaan akhlak.
Abu Nu’aim menyifati Fatimah az-Zahra dengan berkata, “Di antara para wanita yang suci dan ahli ibadah serta bertakwa ialah atimah radhiyallahu anha. Dia menghindari dunia dan kesenangannya, mengetahui aib dunia dan bencananya.”
Kehidupannya diwarnai kesederhanaan, namun ditaburi berkah dan cahaya yang mengisyaratkan zuhud, warak, dan ketakutannya kepada Allah serta istiqamah demi mendapatkan keredhaan-Nya.
Pada tahun kedua setelah hijrah, Ali bin Abu Thalib menikahi Fatimah dengan mas kahwin baju besi bernilai empat dirham. Keduanya menjalani kehidupan suami isteri dengan penuh kebahagiaan. Sejarah tidak mengenal seorang perempuan pun yang mampu menghimpun kesabaran dan ketakwaan seperti Fatimah az-Zahra’, puteri Rasulullah ini. Sejak hari pertama pernikahannya dengan Ali, dia mengerjakan sendiri tugas rumah tangganya yang cukup berat pada waktu itu. Dia perlu menggiling bahan makanan dan membuat adunan roti hingga rambutnya terkena percikan-percikan tepung, kemudian dia memprosesnya dan memasaknya hingga matang. Sementara suaminya yang zuhud dan mujahid tidak mampu mengupah pembantu untuk membantu Fatimah dalam menyelesaikan pekerjaan rumah tangga.
Sebagai seorang ibu, sumbangannya sangat besar. Itu semua terserlah pada anak-anaknya yang sangat cinta kepada Allah Swt., menjadi anak-anak yang dicintai dan disayangi oleh siapa pun, terutama Rasulullah saw. Siapa yang tidak mengenal Hasan dan Husein, mereka adalah anak-anak yang sangat dekat dengan Allah Swt., sangat besar pengorbanannya untuk Islam dan kaum muslimin.
Selain itu, sebagai seorang anak, tidak ada yang meragui bahawa Fatimah adalah anak yang berbakti kepada kedua ayah dan bondanya. Dari Ibnu Abbas ra. dia berkata, “Setelah turun ayat idza ja’a nashrullah wal fathu maka Nabi saw. memanggil Fatimah dan bersabda kepadanya, bahawa kematian beliau sudah dekat sehingga membuatkan Fatimah menangis. Lalu beliau bersabda, ‘Jangan engkau menangis, kerana engkaulah keluargaku yang pertama kali bersua denganku’, sehingga membuat Fatimah tersenyum.”
Ketika sakit Nabi saw. semakin berat, sehingga menyebabkan beliau pengsan maka Fatimah berkata, “Aduhai kasihan engkau, Wahai Ayah!” Setelah kembali sedar beliau bersabda, “Tidak ada lagi kesusahan yang menimpa ayahmu setelah hari ini.” Setelah itu Rasulullah pun pulang ke rahmatullah. Hal ini membuatkan Fatimah bersedih dan menangis. Dia berkata, “Wahai Ayah, kepada Jibril kami sampaikan khabar kematianmu. Wahai Ayah, kepada Rabb engkau penuhi seruan-Nya. Wahai Ayah, syurga Firdaus tempat kembalimu.”
Fatimah az-Zahra memiliki sumbangan yang harum di medan jihad. Sejarah telah mencatat keutamaan-keutamaannya dalam berbagai pertemuan, bersama-sama dengan Rasulullah saw.
Dalam perang Uhud, peperangan yang mengandungi banyak pelajaran dan pengorbanan, Nabi Muhammad saw. mengalami luka di badan dan wajah beliau, hingga darah beliau mengalir deras, Fatimah terus memeluknya. Kemudian dia mengusap darah Rasulullah dan mengalirkan air ke atasnya. Namun, ternyata darah tersebut tidak berhenti mengalir. Maka Fatimah pun membakar potongan tikar, kemudian abunya ditempelkan ke luka tersebut hingga akhirnya darah tersebut berhenti mengalir. Pada saat itu beliau bersabda, “Amat besar kemarahan Allah terhadap orang-orang yang membuat wajah Rasul–Nya berdarah.”
Dalam perang Uhud ini juga Fatimah keluar bersama-sama dengan kaum perempuan dari kalangan Muhajirin dan Ansar sambil mengusung air dan makanan di belakang mereka.
Tentang peranan Fatimah ra. dalam perang Uhud ini, sahabat Sahl bin Sa’d berkata, “Rasulullah saw. terluka hingga gigi seri beliau patah, Fatimah binti Rasulullah saw. mencuci darah dan Ali mengalirkan air kepada beliau dengan menggunakan teko. Ketika Fatimah melihat bahawa air itu justeru membuat darah semakin deras mengalir, dia mengambil potongan tikar dan membakarnya hingga ia menjadi abu, lalu dia menempelkan abunya di luka beliau, hingga darah tidak lagi mengalir dari lukanya.”
Fatimah juga ikut serta dalam perang Khandaq dan Khaibar, dia pernah juga keluar bersama empat belas perempuan lainnya, di antaranya Ummu Sulaim binti Milhan dan Ummul Mukminin Aisyah untuk membawa air dalam qirbah dan membawa perbekalan di belakang mereka untuk memberi makan dan minum orang-orang mukminin yang sedang berperang.
Itulah Fatimah az-Zahra, perempuan yang cantik dan elok rupa serta perilakunya. Dalam masa yang sama, dia adalah anak solehah yang berbakti kepada ayah dan bondanya sehingga menjadi kebanggaan orang tua. Dia juga seorang isteri yang memahami tugas dan kedudukannya. Dia tidak mengeluh atas peranan dan tanggungjawab yang menjadi ketetapan Allah dan Rasul-Nya atas kaum perempuan, termasuk dirinya, sekalipun dia sendiri yang perlu mengerjakan pekerjaan rumah tangganya sendiri, tanpa bantuan orang lain.
Di sisi lain, dia juga merupakan ibu yang baik bagi anak-anaknya. Dia mendidik anak-anaknya menjadi anak-anak yang sangat cinta kepada Allah dan Rasul-Nya, Muhammad saw. Bukan semata-mata kerana Muhammad saw. adalah ayahnya, tetapi kerana Muhammad saw. adalah orang yang diutus oleh Allah Swt. untuk menyampaikan atau menyebarkan syariat Islam.
Meskipun demikian, Fatimah tidak terkongkong atau terpenjara hanya dalam peranan domestiknya saja. Dia sangat menyedari bahawa dia adalah sebahagian dari umat atau masyarakat Islam yang memiliki perkongsian peranan dan tanggungjawab untuk memajukan dan mengantarkan umat Islam kepada umat yang mulia, sebagai umat yang terbaik di muka bumi ini.
Dia tidak pernah merasa malu untuk bertanya kepada Rasulullah tentang segala sesuatu yang berkaitan dengan Islam, kemudian menyampaikan kepada suaminya ataupun wanita-wanita lain. Apatah lagi Fatimah termasuk orang yang dekat dengan Rasulullah. Sebab itulah dia sering dijadikan tempat bertanya para sahabat atau sahabiyah lainnya.
Sebagai sebahagian dari umat Islam, Fatimah juga tidak segan-segan terjun langsung ke medan jihad, melawan musuh-musuh kaum muslimin dan segala bentuk kesesatan yang ada.
Subhanallah, ketakwaan dan ketawakalannya kepada Allah serta ketinggian berfikirnya memandu dirinya agar dapat menjalankan seluruh perintah-perintah Allah secara sinergi dan harmoni, tidak mengutamakan yang satu lalu mengabaikan yang lain. Wallahualam.
Sumber: Buku Revisi Politik Perempuan