Bukanlah harta atau pangkat yang menjadikan seseorang itu berkedudukan mulia. Sebagaimana firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.” [TMQ Al-Mujaadalah (58):11]
Darjat keilmuan seorang hamba telah berjaya membawa seorang hamba wanita menjadi seorang ulama tersohor. Dia adalah Abidah Al-Madaniyyah. Awalnya, beliau hanyalah seorang hamba sahaya milik saudagar bernama Muhammad bin Yazid. Tetapi, kegigihannya untuk menuntut ilmu sangat tinggi. Pada akhir hayatnya, beliau dikenang sebagai seorang ulama wanita dan ahli hadis terkemuka. Al-Khatib Al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad dan Ibn Hibban dalam Ats-Tsiqaat memasukkan Abidah sebagai salah satu dari tiga nama perawi hadis wanita pada kurun abad ke-3 Hijrah. Beliau terkenal kerana memiliki daya ingatan yang kuat dan sangat cerdas. Walaupun Abidah merupakan seorang hamba sahaya pada awalnya, namun, statusnya itu langsung tidak menghalanginya untuk menuntut ilmu. Beliau aktif belajar dari ulama hadis Madinah.
Setiap hari selepas menyelesaikan pekerjaan rumah, beliau terus berangkat menuju majlis ilmu. Aktiviti itu terus dia lakukan sehingga dia berjaya menghafal hampir 10000 hadis yang memiliki sanad dan guru-gurunya di Madinah. Masya Allah! Suatu ketika, Muhammad bin Yazid bertemu dengan ulama hadis dari Andalusia bernama Habib Dahhun ketika sedang menunaikan ibadah haji. Muhammad bin Yazid menceritakan tentang peribadi Abidah yang sangat cerdas dan telah menguasai banyak jalur riwayat hadis. Habib Dahhun tertarik mendengar tentang Abidah. Dia pun meminta agar Abidah mengikuti majlis ilmu yang dibawa oleh Habib Dahhun selama menunaikan ibadah haji. Melihat bakat dan kecerdasan yang dimiliki oleh hambanya, Muhammad bin Yazid merasakan bahawa Habib Dahhun adalah orang yang tepat untuk menjadi guru Abidah. Maka, dia pun memerdekakan Abidah.
Setelah merdeka, Habib Dahhun berkahwin dengan Abidah. Sepasang suami isteri ahli hadis ini kembali ke Andalusia, Sepanyol serta menjalani kehidupan di sana. Abidah meninggalkan tempat kelahirannya untuk mengembangkan ilmu bersama suaminya. Berkat bimbingan sang suami, keilmuan Abidah dalam bidang hadis semakin diakui dan dikenali. Dr. Mohammad Akram Nadwi, dalam bukunya Al-Muhaddithat : The Women Scholar in Islam mengungkapkan terdapat hampir 8000 muslimah yang menjadi perawi hadis dan dia menempatkan Abidah sebagai wanita dari kalangan atba’ tabiin keempat yang paling banyak meriwayatkan hadis setelah Rubiyya Muawidh, Ummu Darda’ dan Amrah binti Abdurrahman. Periwayatan hadis dari Abidah diterima kerana beliau adalah seorang perawi yang terpecaya. Abidah membesar menjadi seorang ulama yang solehah, alim, jujur dan jauh dari dusta. Ketika zamannya, ramai wanita yang mengukir prestasi sebagai ulama hadis. Mereka berasal dari latar belakang yang sangat beragam, termasuklah Abidah yang pada awalnya hanyalah seorang hamba. Wanita seperti Abidah dan perawi hadis lainnya seperti Abdah bin Bishr, Ummu Umar Ath-Thaqafiyyah, Khadijah Ummu Muhammad, Abdah binti Abdurrahman dan ramai lagi telah membuktikan bahawa ilmu Islam itu boleh dipelajari oleh siapapun termasuklah dari kalangan wanita. Ramai lelaki yang berguru untuk mengambil hadis dari para perawi hadis muslimah ini. Bahkan, Imam Syafie juga pernah berguru hadis dengan Sayyidah Nafisah binti Al-Hasan.
Abidah menjadi contoh teladan bagi umat Islam kerana telah memberikan sumbangan besar kepada para wanita dalam bab pendidikan. Ilmu hadis yang mensyaratkan sosok perawi secara ketat membuktikan bahawa Abidah dan perawi hadis muslimah lainnya dapat menyamai lelaki dalam hal ilmu. Setelah menetap di Andalusia, tidak banyak catatan yang mengisahkan kehidupan Abidah sehingga akhir hayat. Dalam kitab-kitab biografi, tidak diketahui secara pasti bilakan Abidah meningggal dunia dan di mana beliau dikuburkan. Dari uraian di atas, terbuka satu cakrawala baru bahawa dalam konteks khazanah keilmuan Islam, wanita juga memainkan peranan penting dalam mengembangkan ilmu khususnya hadis dari satu generasi ke generasi seterusnya. Wanita juga tidak hanya menjadi murid, bahkan mereka juga menjadi guru pada para ulama lelaki terkemuka. Sebagai ulama, para wanita ini juga dikenali kerana sangat menjaga akhlak, syariat dan perilaku Islam yang ideal.
Sumber: https://www.muslimahnews.com/2021/12/01/abidah-al-madaniyyah-dari-budak-menjadi-ulama/