Nama Humaidah menjulang tinggi je langit menggapai bintang. Ayah, datuk dan neneknya merupakan para Sahabat Rasulullah SAW dan termasuk dalam kalangan kaum Ansar yang paling dermawan. Datuknya merupakan seorang Sahabat yang mulia, alumni madrasah binaan Rasulullah SAW dan tergolong dalam salah seorang dari tujuh orang yang berbait aqabah kepada Nabi SAW. Dialah Basyir bin Sa’ad bin Tsa’labah al-Khazraji dan merupakan seorang penulis pada masa jahiliah ketika tidak ramai yang boleh menulis. Nenek beliau adalah sahabiyah mulia yang turut menyertai Perang Khandaq. Namanya adalah Amrah binti Rawahah al-Ansariyah, saudara perempuan Abdullah bin Rawahah.
Semasa Perang Khandaq, Amrah bertugas untuk menyediakan makanan kepada seluruh pasukan perang. Ayah Humaidah pula merupakan bayi pertama yang lahir dari kaum Ansar di Madinah setelah Rasulullah SAW berhijrah ke sana. Ketika melahirkan An-Nu’man, Amrah binti Rawahah membawanya ke hadapan Rasulullah SAW. Nabi meminta kurma, lalu mengunyahnya kemudian memasukkan kurma itu ke mulut An-Nu’man. Amrah binti Rawahah berkata, “Wahai Rasulullah, doakan anak ini agar ia memiliki harta dan anak yang banyak.” Rasulullah bersabda, “Apakah engkau tidak redha jika dia (An-Nu’man) hidup seperti pakciknya dari jalur ibu dengan terpuji, dibunuh dalam keadaan syahid dan masuk ke dakan syurga?”
Ayah Humaidah adalah An-Nu’man bin Basyir bin Sa’ad. Beliau merupakan komandan ahli perang, sahabat serta anak kepada sahabat dan sahabiyah Rasulullah SAW. Humaidah binti An-Nu’man merupakan merupakan anak perempuan kepada sahabat yang tersohor di kalangan para sahabat. Sejarah ada mencatatkan sebahagian riwayat tentang dirinya berserta syair-syairnya.
Humaidah lahir dan membesar di lingkungan keluarga yang memiliki tingkat keimanan yang luar biasa. Beliau dikenali sebagai salah seorang perempuan yang cerdas dan memiliki kefasihan dalam melantunkan syair. Humaidah juga merupakan salah seorang penyair yang terkenal dan terhormat di kalangan tabiin. Kelebihan beliau juga merupakan warisan dari datuknya yang juga memang diketahui sebagai seorang yang pintar menulis dan membaca. Ketika itu, hanya orang-orang yang tertentu sahaja memiliki kemampuan tersebut.
Humaidah juga dikenali sebagai salah seorang ahli sastera dan memiliki kefasihan dalam menyampaikan pesanan melalui karya-karya sastera seperti syair baik dalam bentuk pujian mahupun kritikan terhadap pegawai atau para penguasa. Dengan ketajaman lidah dan keindahan kata-katanya, Humaidah binti An-Nu’man tidak gentar untuk menentang kezaliman walaupun yang melakukan kezaliman itu adalah menantu beliau sendiri iaitu Gabenor Hajjaj bin Yusuf sehinggakan Hajjaj bin Yusuf yang kejam dan berkuasa ini sangat khuatir dengan ketajaman lidah ibu mertuanya ini.
Kemampuan Humaidah dalam melantunkan syair sempat diungkapkan oleh ahli sejarah, Zainab binti Yusuf Fawaz. Dia mengatakan, “Humaidah termasuk wanita-wanita Arab yang cantik dan paling mahir tentang seni sastera. Humaidah membesar dalam kebesaran jiwa sehingga susah untuk mendapatkan orang yang sepadan dengannya.”
Sumber : https://www.muslimahnews.com/2021/11/29/humaidah-binti-an-numan-penyair-yang-berani/