Pernahkah kita mendengar pepatah “Guru adalah kurikulum berjalan bagi setiap anak muridnya”? Pepatah tersebut sangat sesuai apabila mengisahkan tentang seorang murid contoh dari seorang guru yang hebat dari Andalusia, Imam Baqi’ bin Mikhlad. Murid tersebut bernama Ummu al-Hasan.
Imam Baqi’ sendiri adalah murid kebanggaan Imam Ahmad yang mencatatkan diri sebagai penuntut ilmu sejati. Demi mendapat riwayat hadis dari guru, dia berjalan kaki dari Andalusia ke Baghdad. Ketekunan Imam Baqi’ ternyata menurun kepada muridnya. Dialah Ummu Al Hasan, muslimah cerdas dan juga murid kesayangan Imam Baqi’ bin Mikhlad.
Nama penuhnya ialah Ummu al-Hasan binti Abi Liwa bin Asbagh bin Abdullah bin Wansus bin Yarbu al-Miknasi. Moyangnya, Yarbu al-Miknasi adalah bekas hamba kepada Khalifah dari Bani Umayyah, Sulaiman bin Abdul Malik.
Ummu al-Hasan menimba ilmu dengan Imam Baqi’ bin Mikhlad, murid contoh dari Imam Ahmad. Status Imam Baqi’ yang terkenal sebagai murid kesayangan Imam Ahmad membuatkan Ummu al-Hasan tertarik untuk belajar dengannya. Ummu al-Hasan mempelajari ilmu fikih dan hadis daripada Imam Baqi’.
Di hadapan Baqi’, Ummu al-Hasan membaca hafalannya dari kitab Ad Duhur. Anak lelaki Imam Baqi’, Ahmad bin Baqi’, turut hadir untuk memeriksa bacaan Ummu al-Hasan. Bersama ayahnya, Ahmad juga turut menjadi guru kepada Ummu al-Hasan.
Tanpa jemu, Ummu al-Hasan sentiasa menyerap ilmu dari Baqi’ sehingga mampu menguasai fikih dan meriwayatkan hadis. Tidak lama kemudian, nama Ummu al-Hasan mula terkenal dan masyhur di kalangan para ulama kerana kecerdasannya. Beliau juga dikenali sebagai murid utama Imam Baqi’. Malah, hampir di setiap kitab yang mengulas gurunya, nama Ummu al-Hasan turut menemaninya.
Berhaji dan Menuntut Ilmu
Dalam kitab Al Muskitah, Amir Abdullah bin Abdurrahman III bin Muhammad menceritakan tentang Ummu al-Hasan, “Seorang wanita berilmu dan solehah, anak perempuan dari Abu Liwa datang setiap hari Jumaat ke majlis Baqi’ bin Mikhlad di rumah Abu Abdurrahman. Wanita itu merupakan seorang berilmu dan istimewa. Dia juga telah menunaikan haji.”
Menunaikan ibadah haji menjadi momen bagi Ummu al-Hasan dalam meningkatkan kapasiti ilmiahnya. Di tanah haram tersebut, dia bukan sahaja menunaikan ibadah tetapi juga menuntut ilmu. Beliau memanfaatkan waktu sebaik mungkin demi mencari ilmu di negeri kelahiran Islam. Perjalanan panjangnya ke dua kota suci tersebut dia gunakan untuk mengumpulkan ilmu sebanyak mungkin.
Setelah pulang dari haji, beliau menambah banyak ilmu tentang fikih dan meriwayatkan banyak hadis. Malah, ketika pulang ke Andalusia dan belajar semula dengan gurunya, Baqi’, Ummu al-Hasan meriwayatkan hadis baru dari kota suci yang tidak pernah diriwayatkan oleh Baqi’. Gurunya kemudian meriwayatkan hadis daripada muridnya, iaitu Ummu al-Hasan.
Ummu al-Hasan menjadi salah seorang ulama fikih yang cerdas dan banyak menulis karya. Beliau sangat aktif menulis buku-buku fikih dan hadis agar ilmunya dapat disampaikan kepada umat. Ummu al-Hasan mempunyai akhlak yang sangat baik, zuhud terhadap dunia, dan terkenal sebagai seorang yang bijak dalam menyelesaikan setiap masalah yang dibincangkan kepadanya. Dia juga menjadi ulama wanita rujukan umat, tempat bertanya umat dalam permasalahan syariat.
Ummu al-Hasan berkesempatan pulang ke Mekah untuk menunaikan haji kali kedua. Beliau sangat teruja kerana dapat menimba banyak ilmu di sana. Tetapi ternyata ajalnya telah tiba. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Kota Mekah dan dimakamkan di sana.
Khatimah
Betapa banyak contoh tentang menuntut ilmu. Dari seorang guru melahirkan murid yang patut dicontohi. Begitulah sepatutnya realisasi ilmu yang bermanfaat. Ilmunya memberi kebaikan dan keberkatan kepada orang yang diajarnya.
Dari seorang Ummu al-Hasan kita kembali kagum bagaimana Islam memuliakan wanita. Kewajipan menuntut ilmu bukan hanya untuk lelaki tetapi juga untuk wanita. Dari Anas bin Malik ra., Rasulullah saw bersabda, “Menuntut ilmu wajib bagi setiap muslim.” (HR Al Baihaqi)
Imam Ahmad menjelaskan, “Wajib hukumnya menuntut ilmu yang dengannya seseorang boleh menegakkan agamanya.” Ditanyakan kepada beliau, “(Ilmu) seperti apa?” Beliau menjawab, “Ilmu tentang urusan yang dia tidak boleh bodoh tentangnya, seperti solatnya, puasanya, dan sebagainya.”
Artikel dari:https://m.facebook.com/MuslimahNewsCom/posts/2015277185316753/