Penulis: Muhammad Ismail
Fitrah manusia telah memastikan adanya Khaliq. Akan tetapi, manifestasi taqdis yang harus dilakukan tatkala muncul sesuatu yang menggerakkan rasa keberagamaannya akan menyebabkan taqdis terhadap apa saja yang dianggapnya layak untuk disembah. Mungkin sesuatu itu dianggap sebagai Khaliq, atau yang disangkanya sebagai Khaliq akan redha dengan tindakannya itu, atau dianggap Khaliq menitis/menjelma pada benda yang ia sembah, di samping Khaliq Yang Maha Esa.
Oleh kerana itu, adanya persangkaan banyaknya tuhan yang disembah dialihkan kepada zat yang disembah, bukan terhadap ada atau tidaknya Khaliq. Penolakan terhadap adanya banyak tuhan yang disembah perlu dijadikan sebagai penolakan zat yang disembah (selain Allah), mewajibkan dan menjadikan ibadah semata-mata kepada Khaliq yang azali dan wajibul wujud.
Berdasarkan hal ini, Islam datang sebagai landasan (hidup) bagi seluruh manusia. Islam menyatakan bahawa ibadah hanyalah dilakukan terhadap zat yang wajibul wujud. Dialah Allah Swt.. Islam telah menjelaskan secara rinci tentang semua itu melalui dorongan akal secara jelas. Islam melontarkan persoalan tentang sesuatu yang wajib disembah. Mereka pun menjawab, bahawa Dia adalah Allah. Mereka sendiri yang menetapkan buktinya. Allah Swt. berfirman,
“Katakanlah, kepunyaan siapakah bumi ini dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah’. Maka apakah kamu tidak ingat? Katakanlah, “Siapakah yang mempunyai langit yang tujuh dan yang mempunyai Arasy yang agung?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah’. Katakanlah, ‘Maka apakah kamu tidak bertakwa?’ Katakanlah, ‘Siapakah yang ditangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang dia melindungi dari (azab)-Nya, jika kamu mengetahui?’ Mereka akan menjawab, ‘Kepunyaan Allah’. Maka dari jalan manakah kamu ditipu? Sebenarnya kami telah membawa kebenaran kepada mereka, dan sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta. Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada tuhan lain beserta-Nya. Kalau ada tuhan lain beserta-Nya masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakan-Nya, dan sebahagian tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lainnya.” [TMQ Al-Mu’minun (23): 84-91]
Dengan pengakuan bahawasanya Allah pencipta segala sesuatu, di tangan-Nyalah terletak kekuasaan atas segala sesuatu, maka mereka pun telah mewajibkan diri mereka sendiri untuk beribadah kepada Allah semata. Sebab sesuai dengan pengakuan mereka ini, hanya Dialah (Allah) yang berhak disembah. Dalam banyak ayat lainnya dijelaskan, bahawa selain Allah, tidak dapat berbuat apa pun yang dapat menjadikannya layak disembah sebagaimana ayat-ayat yang dibawah ini,
“Katakanlah, tunjukkanlah kepadaku jika Allah mencabut pendengaran dan penglihatan serta menutup mata hatimu. Siapakah tuhan selain Allah yang mampu mengembalikan kepadamu?” [TMQ Al-An’aam (6): 46]
“Ataukah mereka mempunyai tuhan selain Allah?” [TMQ Ath-Thuur (52): 43]
“(Dan) Tuhanmu adalah Yang Maha Esa. Tidak ada Tuhan selain Dia yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.” [TMQ Al-Baqarah (2): 163]
“Tidak ada Tuhan selain Dia (Allah).” [TMQ Al-Baqarah (2): 255]
“(Dan) sekali-kali tidak ada Tuhan selain Allah, yang Maha Esa dan Maha Mengalahkan.” [TMQ Shaad (38): 65]
“Padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain Tuhan yang Maha Esa (Allah).” [TMQ Al-Maidah (5): 73]
Semua ayat di atas menunjukkan tidak ada yang berhak disembah, kecuali Zat yang wajibul wujud. Dialah Allah yang Maha Esa.
Islam datang dengan ajaran “Tauhidul ibadah” terhadap Zat yang wajibul wujud, yang secara akli mahupun fitri, telah ditetapkan keberadaan-Nya. Banyak ayat-ayat Al-Quran memberi petunjuk yang jelas, yang menolak adanya banyak sesembahan. “Ilaah”, menurut erti bahasa, tidak memiliki erti lain, kecuali “Yang disembah” (Al-Ma’buud). Dan secara syarie tidak ditemukan adanya erti lain, selain erti itu. Maka erti “laa ilaaha”, baik secara lughawi atau syarie, adalah “laa ma’buuda“. Dan “illallah“, secara lughawi ataupun syarie, ertinya adalah Zat yang wajibul wujud, iaitu Allah Swt..
Berdasarkan hal ini, makna dari syahadat pertama dalam Islam, bukanlah kesaksian atas keesaan Khaliq semata, sebagaimana anggapan kebanyakan orang. Akan tetapi, erti yang dimaksud dalam syahadat tersebut adalah adanya kesaksian bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, yang memiliki sifat wajibul wujud, sehingga peribadahan dan taqdis semata-mata hanya untuk-Nya. Dan secara pasti menolak serta menyingkirkan segala bentuk ibadah kepada selain Allah Swt..
Jadi, pengakuan terhadap adanya Allah, tidaklah cukup sekadar pengakuan tentang keesaan Khaliq, tetapi harus disertai adanya pengakuan terhadap ke-Esaan. Sebab, erti “laa ilaaha illallah” adalah “laa ma’buuda illallaahu“. Oleh kerana itu, syahadat seorang muslim, iaitu bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, mewajibkan kepada dirinya untuk melakukan ibadah hanya kepada Allah, dan membatasi ibadahnya semata-mata kepada Allah saja, sehingga erti tauhid di sini adalah “Tauhidut taqdis” terhadap Khaliq, yakni “Tauhidul ibadah” kepada Allah Yang Maha Esa.
Sumber: Muhammad Ismail, Al-Fikru Al-Islamiyu (Bunga Rampai Pemikiran Islam)