Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Untuk menjaga kelestarian masyarakat Islam, syariat Islam telah menetapkan lapan tujuan luhur yang dilekatkan pada pelbagai hukumnya iaitu pemeliharaan ke atas:
- keturunan (al-muhafazhatu ‘ala an-nasl);
- akal (al-muhafazhatu ‘ala al-‘aqli);
- kemuliaan (al-muhafazhatu ‘ala al-karamah);
- jiwa (al-muhafazhatu ‘ala an nafs);
- harta (al-muhafazhatu ‘ala al-mal);
- agama (al-muhafazhatu ‘ala ad-din);
- keselamatan/keamanan (al-muhafazhatu ‘ala al-amni);
- negara (al-muhafazhatu ‘ala ad-daulah).
1) Pemeliharaan ke atas Keturunan (al-Muhafazhatu ‘ala al-Nasl)
Islam telah menurunkan undang-undang dan hukuman (uqubat) yang berfungsi sebagai pencegah iaitu dalam rangka memelihara keturunan dan nasab manusia. Misalnya, Islam telah mengharamkan zina dan mewajibkan dijatuhkan hukuman kepada pelakunya. Hal ini bertujuan untuk menjaga kelestarian kesucian dari sebuah keturunan sehingga seorang ayah akan tetap dapat memelihara anak-anaknya dan merawat mereka, dia memastikan bahawa anak-anak tersebut adalah sebahagian daripada dirinya (darah dagingnya, penerj.).
2) Pemeliharaan ke atas Akal (al-Muhafazhatu ‘ala al ‘Aqli)
Dalam hal ini, Islam telah mensyariatkan hukum-hukum yang melarang pengambilan sesuatu yang dapat mempengaruhi akal manusia. Contohnya, Islam telah mengharamkan segala sesuatu yang boleh memabukkan dan melemahkan daya ingatan (bius). Pada masa yang sama, Islam menganjurkan untuk menuntut ilmu, muhasabah (tadabur) dan berijtihad sebagai usaha untuk mengembangkan kemampuan akal dalam diri manusia. Selain itu, Islam memuji orang-orang yang berilmu.
Allah Taala berfirman,
… قُلْ هَلْ يَسْتَوِى الَّذِيْنَ يَعْلَمُوْنَ وَالَّذِيْنَ لَا يَعْلَمُوْنَ…
“Katakanlah, adakah sama antara orang-orang yang mengetahui dan orang-orang yang tidak mengetahui?” [TMQ Az-Zumar (39): 9]
3) Pemeliharaan ke atas Kemuliaan/Kehormatan (al-Muhafazhatu ‘ala al-Karamah)
Islam telah menetapkan masalah hadd al-qadzaf (menuduh berzina) iaitu sesiapa saja yang menuduh seseorang telah berzina tanpa membawa bukti, maka hukuman sebat (cambuk) akan dikenakan ke atasnya. Islam juga mendorong manusia untuk menolong orang-orang yang dianiaya, memuliakan tetamu, melarang tajasus (mengintip), ghibah (membicarakan orang lain), dan menganjurkan pembebasan hamba.
4) Pemeliharaan Jiwa ke atas Manusia (al-Muhafazhatu ‘ala an-Nafs)
Dalam hal ini, Islam telah menetapkan hukuman terhadap pembunuhan iaitu bagi sesiapa saja yang membunuh seseorang tanpa alasan yang munasabah. Hikmahnya dari demikian itu adalah untuk menjaga kelestarian kehidupan manusia. Firman Allah Taala,
وَلَكُمْ فِى الْقِصَاصِ حَيٰوةٌ يّٰٓاُولِى الْاَلْبَابِ…
“Dan dalam kisah itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, hai orang-orang yang berakal.” (TMQ Al-Baqarah (2): 179]
5) Pemeliharaan ke atas Harta (al-Muhafazhatu ‘ala al-Mal)
Islam telah mensyariatkan hukuman bagi kes kecurian iaitu potong tangan bagi pencuri. Ini merupakan hukuman yang sangat berat untuk mencegah segala godaan untuk melakukan pelanggaran terhadap harta orang lain. Islam juga melarang pengurusan harta oleh orang-orang yang bodoh (idiot). Ini dilakukan supaya dia tidak membelanjakan hartanya pada jalan yang tidak disyariatkan. Islam juga mengharamkan israf iaitu membelanjakan harta pada jalan yang diharamkan.
6) Pemeliharaan ke atas Agama (al-Muhafazhatu ‘ala ad-Din)
Syariat Islam tidak pernah memaksa seseorang untuk masuk ke dalam Islam. Firman Allah Taala,
لَآ اِكْرَاهَ فِى الدِّيْنِۗ…
“Tidak ada paksaan dalam agama.” [TMQ Al-Baqarah (2): 256]
Ayat ini turun setelah orang Arab musyrik memeluk Islam. Namun, perlu difahami bahawa bagi seorang muslim yang murtad dari Islam maka dia akan diajak berbincang dan diminta untuk bertaubat selama tiga hari. Jika dia masih tetap dalam kemurtadannya, dia akan dibunuh. Sabda Rasulullah ﷺ,
مَنْ بَدَّلَ دِيْنَهُ فَاقْتُلُوْهُ
“Barang siapa mengganti agamanya (murtad) maka bunuhlah dia.”
7) Pemeliharaan ke atas Keselamatan (al-Muhafazhatu ‘ala al-Amni)
Keselamatan adalah salah satu keperluan asas kehidupan manusia. Seseorang tidak akan dapat hidup secara normal dalam suasana yang penuh dengan ancaman terhadap harta dan kehidupannya. Sebab itu, Islam telah menetapkan beberapa undang-undang untuk menghalang sesiapa saja yang berfikir untuk mengganggu keselamatan pelbagai wilayah dalam negara.
Dalam hal ini Islam telah menetapkan peraturan tentang hadd qaththa’ al-thuruq (hukuman bagi pencuri) yang berbentuk hukuman yang berfungsi sebagai langkah pencegahan (preventif). Contohnya, mengasingkan pencuri, memotong tangan dan kakinya secara bersilang (contohnya kaki kiri dengan tangan kanan), membunuhnya, atau menyalibnya.
8) Pemeliharaan ke atas Negara (al-Muhaafazhatu ‘alaa al-Daulah)
Negara (daulah) dalam pandangan Islam bertanggungjawab terhadap penerapan hukum syarak terhadap rakyatnya, sekaligus bertanggungjawab untuk mengemban dakwah Islam di luar wilayah daulah. Negara adalah perwakilan dari umat Islam dan sebagai institusi yang diiktiraf bagi mereka. Penentangan terhadap daulah bererti menentang terhadap agama Allah dan umat Islam.
Oleh itu, Allah telah menetapkan beberapa undang-undang yang berguna untuk memelihara negara dan kesatuannya. Contohnya adalah hadd ahl al-baghyi (hukuman bagi pemberontak) iaitu mereka yang merampas kuasa khalifah (ketua negara) dengan menggunakan kekerasan senjata. Hukuman bagi mereka ialah khalifah mengisytiharkan perang kepada mereka sehingga mereka mahu menyerahkan diri dan kembali tunduk ke dalam kekuasaannya.
Firman Allah Taala,
اِنَّمَا جَزٰۤؤُا الَّذِيْنَ يُحَارِبُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهٗ وَيَسْعَوْنَ فِى الْاَرْضِ فَسَادًا اَنْ يُّقَتَّلُوْٓا…
“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi ialah mereka akan dibunuh.” [TMQ Al-Maidah (5): 33].
Rasulullah ﷺ mengulas terhadap orang yang membangkang kepada khalifah,
فَإِنْ جَاءَ آخَرُ يَنَازِعُهُ فَاضْرِبُوْا عُنُقَ الْآخَر
” … maka apabila datang orang lain untuk menggulingkan khalifah, maka penggallah lehernya.” (HR Muslim).
Beliau ﷺ juga bersabda,
إِذَا بُوْيِعَ لِخَلِيْفَتَيْنِ فَاقْتُلُوا الْآخَرَ مِنْهُمَا
“Apabila dibaiat seorang khalifah maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.” (HR Muslim).
Sumber: Muhammad Husain Abdullah. Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam.