Penulis: Ustaz Hafidz Abdurrahman
Saidatina Khadijah sebelum berkahwin dengan Nabi, pernah membina rumah tangga dua kali, tetapi dua-duanya kandas. Usianya ketika itu tidak lagi muda, 40 tahun.
Sementara Sayyidina Muhammad SAW ketika itu masih belia, baru berusia 25 tahun. Baginda dikenal dengan keluhuran akhlak dan nasabnya. Baginda dipercayai oleh penduduk Mekah untuk mengamanahkan harta mereka.
Khadijah pun dikenal dengan kecantikannya, kecerdasan, akhlak, kemuliaan, dan kekayaannya. Beliau mula tertarik dengan sosok Muhammad SAW, juga menumbuhkan benih-benih cinta dalam diri lelaki muda ini kepada seorang wanita dewasa, yang kemudian memberikan segala-galanya.
Ketika Abu Thalib, bapa saudara baginda menyampaikan pinangannya kepada Waraqah bin Naufal, bapa saudara Khadijah, Abu Thalib berkata, “Jika Engkau menerimanya kerana harta, dia tidak punya. Tapi kalau Engkau menerimanya kerana kemuliannya, maka dialah orangnya. Tapi ingat, harta itu seperti bayangan, yang pasti akan hilang.”
Ya, hati Nabi dan Khadijah diikat dengan cinta, bukan kerana rupa, harta, ataupun yang lain, tetapi kerana kemuliaan akhlak dan agamanya. Begitu tinggi akhlak Khadijah, sampai tidak pernah meninggikan suara di hadapan suaminya. Bahkan, semua waktu, jiwa, raga, dan hartanya diberikan untuk Allah, Nabi, dan dakwahnya.
Cinta Nabi kepada Khadijah adalah cinta abadi. Khadijah memiliki tempat istimewa di hati Nabi, meskipun Khadijah telah tiada. Dikisahkan suatu ketika Halah binti Khuwailid mendatangi kediaman Rasulullah di Madinah. Ketika itu beliau meminta izin untuk menemui Rasulullah.
Mendengarkan cara wanita itu meminta izin, menurut Aisyah, Rasulullah tiba-tiba dilanda kesedihan mendalam. “Ya Allah, itu Halah binti Khuwailid,” kata Rasulullah. Aisyah menuturkan bahawa Rasulullah bersedih kerana cara Halah meminta izin hampir serupa dengan cara saudarinya, Khadijah binti Khuwailid. Aisyah pun cemburu, “Mengapa kamu masih ingat wanita tua suku Quraish yang sudah lama wafat itu, padahal Allah sudah ganti yang lebih muda.”
Itulah dua hati yang diikat dengan cinta. Meskipun telah tiada, tetapi hati diberi keistimewaan oleh Allah untuk dapat menembusi batas yang tidak dapat ditembusi raga.
Sumber:https://muslimahnews.net/2022/05/19/6446/