Penulis: Muhammad Ismail
Kemaksuman para nabi dan rasul ditetapkan kepastiannya berdasarkan akal. Sebab kewujudannya sebagai nabi atau rasul telah memastikan bahawa ia maksum dalam hal penyampaian risalah (tabligh) yang datang dari Allah.
Apabila terjadi suatu kecacatan yang memungkinkan hilangnya sifat kemaksuman, walaupun dalam satu masalah sahaja, bermaksud ada kemungkinan terjadinya cacat pada seluruh masalah. Jika itu terjadi, akan rusaklah nilai kenabian dan kerasulan secara keseluruhan.
Kepastian bahawa seseorang adalah nabi atau rasul yang diutus Allah, bermaksud bahawa ia bersifat maksum dalam masalah penyampaian risalah yang datang dari Allah. Kemaksuman dalam hal tablighh bersifat pasti sehingga ingkar/kufur terhadap sifat ini bermaksud kufur terhadap risalah yang dibawa oleh Rasul tersebut, atau kufur terhadap kenabiannya yang telah ditetapkan oleh Allah.
Adapun kemaksuman dalam perbuatan-perbuatan yang berlawanan dengan perintah dan larangan Allah, maka yang menjadi suatu kepastian bahawa Rasul/Nabi maksum dalam perbuatan yang termasuk kategori dosa-dosa besar (al-kabaair) sehingga seorang nabi atau rasul tidak mungkin melakukan suatu perbuatan yang termasuk dosa besar secara mutlak. Hal ini kerana, melakukan suatu dosa besar bermaksud telah terjerumus dalam “kemaksiatan”. Padahal, ketaatan itu tidak dapat dipisahkan (mesti utuh), begitu juga kemaksiatan, tidak boleh menempel pada ketaatan.
Jika kemaksiatan telah mewarnai suatu perbuatan, ia akan menular kepada masalah tabligh (penyampaian risalah). Hal ini jelas bertentangan dengan (hakikat) risalah dan kenabian. Oleh sebab itu, para nabi dan rasul bersifat maksum terhadap dosa-dosa besar, sebagaimana maksumnya mereka dalam penyampaian risalah (tabligh).
Adapun terhadap dosa-dosa kecil (ash-shaghaair), para ulama berbeza pendapat sama ada para nabi dan rasul maksum dari perbuatan dosa-dosa kecil. Sebahagian daripadapara ulama mengatakan bahawa para nabi dan rasul tidak maksum dari mengerjakan dosa-dosa kecil sebab hal itu tidak termasuk kategori “maksiat”. Sedangkan sebagian lainnya mengatakan bahawa para nabi dan rasul maksum dari mengerjakan dosa-dosa kecil sebab hal itu sudah termasuk kategori “maksiat”.
Hakikatnya ialah segala yang dilarang dan yang wajib dilakukan iaitu berupa segala jenis fardhu dan segala bentuk yang haram, maka dalam hal ini para nabi dan rasul adalah maksum. Dengan demikian, mereka maksum dari melakukan sesuatu yang diharamkan atau meninggalkan suatu kewajiban, baik hal itu termasuk dosa-dosa besar atau dosa-dosa kecil.
Ini bermaksud mereka maksum dari melakukan sesuatu yang termasuk perbuatan maksiat. Selain itu, dalam tindakan yang termasuk khilaful aula (tidak mengerjakan yang terbaik/paling layak), mereka tidaklah maksum. Dibolehkan bagi mereka melakukan tindakan khilaful aula secara mutlak. Sebab ditinjau dari pelbagai sudut mana pun, hal itu tidak termasuk dalam jenis maksiat.
Demikianlah, dapat dipastikan secara aqli, adanya sifat maksum pada nabi dan rasul yang ditentukan oleh kewujudan mereka sebagai nabi dan rasul. Sayyidina Muhammad SAW ialah seorang nabi dan rasul. Baginda—sebagaimana nabi dan rasul yang lain—maksum dari kesalahan dalam menyampaikan sesuatu yang datangnya dari Allah SWT.
Hal ini bersifat pasti sebagaimana yang telah ditunjukkan dengan dalil-dalil akal maupun syarak. Rasulullah SAW tidak pernah menyampaikan satu hukum pun kecuali dari wahyu. Allah berfirman, “Katakanlah, ‘Sesungguhnya aku hanyalah memberi peringatan kepadamu dengan al-wahyu.’” [TMQ Al-Anbiyaa(21): 45]
Maksud ayat itu adalah: katakanlah kepada mereka wahai Muhammad, ‘Bahawasanya aku hanyalah memberi peringatan kepadamu dengan al-wahyu yang diturunkan kepadaku.’ Dengan kata lain, peringatan-peringatan kepadamu hanya terbatas pada yang diwahyukan sahaja.
Allah SWT juga berfirman, “(Dan) Dia (Muhammad) tidaklah mengucapkan sesuatu dari hawa nafsunya. Apa yang diucapkannya itu hanyalah wahyu yang diwahyukan.” [TMQ An-Najm(53): 3-4]
Lafaz “wahyu” dalam bentuk umum, mencakup al-Quran dan selain al-Quran. Tidak ditemukan satu nas pun, baik dari al-Quran maupun Sunah yang mengkhususkan (men-takhshish) wahyu tersebut hanya dengan Al-Quran saja. Maka ia tetap dalam bentuk umum. Bermaksud, semua ucapan Rasulullah SAW dalam masalah tasyri’, hanya merupakan wahyu yang diwahyukan kepadanya.
Tidak dibenarkan melakukan pengkhususan erti lafaz tersebut bahawa apa yang diucapkan oleh Rasul SAW hanyalah al-Quran, tetapi lafaz itu tetap dalam bentuk yang mencakup al-Quran dan Hadis. Adapun pengkhususan ayat ini dengan hanya apa yang disampaikan Allah berupa tasyri‘, hukum-hukum, aqaaid, pemikiran-pemikiran, dan kisah-kisah, serta tidak tercakup di dalamnya persoalan uslub (cara) dan sarana-sarana dalam membuat strategi peperangan, misalnya, teknik tanaman kurma, dan sebagainya.
Hal itu disebabkan baginda memiliki kedudukan sebagai Rasul. Pembahasan di sini berkenaan dengan kewujudan baginda sebagai Rasul dan apa yang dibawa oleh baginda tidak mencakup hal lain. Maka yang dikhususkan di sini adalah topik pembicaraan dalam ayat tersebut di atas. Lafaz yang berbentuk umum, tetap dalam bentuk keumumannya, dalam batas cakupan topik pembahasan.
Dengan demikian, apa yang dibahas di atas tidak termasuk kategori pengkhususan, berdasarkan firman Allah SWT,
“Katakan Muhammad, aku hanyalah memberi peringatan kepadamu dengan al-wahyu.” [TMQ Al- Anbiyaa(21): 45]
“Yang diwahyukan kepadaku, adalah “Aku hanya seorang pemberi peringatan yang nyata.” [TMQ Shaad(38): 70)
Ayat tersebut menjelaskan bahawa yang termasuk dalam pembahasan ini adalah yang berkenaan dengan masalah aqaaid, hukum, dan setiap masalah yang diperintahkan oleh Allah untuk disampaikan dan memberi peringatan kepada manusia. Oleh sebab itu, tidak tercakup penggunaan cara/taktik atau perbuatan jibiliyah, yakni perbuatan alamiah manusia yang telah menjadi tabiat penciptaannya, seperti makan, cara berjalan, berbicara, dan lain sebagainya. Jadi, dalam hal ini kekhususan adalah dalam perbuatan dan pemikiran manusia, bukan masalah cara dan sarana, atau seumpamanya.
Setiap perkara yang dibawa oleh Rasulullah, yang berkaitan dengan perbuatan manusia (af’aalul ‘ibaad) dan pemikiran-pemikirannya adalah berasal dari wahyu Allah. Wahyu mencakup perkataan, perbuatan, dan diamnya Rasul SAW atas sesuatu. Sebab, kita diperintahkan mengikuti baginda dan menjadikannya suri teladan.
Sebagaimana firman Allah, “Apa yang dibawa oleh Rasul kepadamu, maka ambillah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah.” [TMQ Al-Hasyr(59): 7]
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu.” [TMQ Al Ahzab: 21]
Berdasarkan dua ayat tersebut, maka ucapan, perbuatan, dan diamnya Rasulullah, merupakan dalil syar’iy. Semua itu adalah wahyu dari Allah. Rasulullah SAW telah menerima al-wahyu dan menyampaikan segala sesuatu yang diterimanya dari Allah SWT kepada manusia.
Baginda memberikan alternatif tata cara pemecahan masalah kehidupan sesuai dengan wahyu, tanpa menyimpang sedikit pun. Allah SWT berfirman, “Aku tidak lain hanyalah mengikuti apa yang diwahyukan kepadaku.”[TMQ Al-Ahqaaf(46); 9]
“Katakanlah, ‘Sesungguhnya aku hanya mengikuti apa yang diwahyukan dari Tuhanku kepadaku.” [TMQ Al-A’raaf(7): 203]
Pengertian ayat ini bahawa, “Aku hanya mengikuti wahyu yang diturunkan kepadaku oleh Allah SWT..” Hal ini bermaksud membatasi meneladani Rasulullah dengan apa yang telah diterima dari Allah SWT. Semua itu amat jelas dan mudah, bahawa apa yang diperintahkan kepada Rasulullah SAW untuk menyampaikannya kepada manusia adalah wahyu semata-mata.
Kehidupan Rasulullah SAW, yang berkaitan dengan masalah tasyri‘, dalam menjelaskan hukum-hukum kepada manusia/masyarakat sesuai dengan wahyu. Baginda SAW, dalam banyak persoalan hukum, seperti zhihar, li’aan, dan lain sebagainya, menanti turunnya al-wahyu. Baginda tidak mengucapkan sesuatu hukum/ketetapan, atau mengerjakan dan mendiamkan sesuatu yang berkaitan dengan tasyri‘, kecuali semua itu berdasarkan wahyu dari Allah SWT.
Dalam kalangan sahabat, kadang-kadang terjadi kekeliruan antara hukum-hukum yang termasuk dalam perbuatan manusia dan pemikiran (idea) atas sesuatu, dengan masalah alat atau cara. Lantas mereka bertanya kepada Rasulullah SAW sama ada perkara itu merupakan wahyu, atau suatu pendapat peribadi (Rasul) dan suatu kesepakatan (sesuai yang dimusyawarahkan).
Jika Rasulullah SAW mengatakan bahawa itu adalah wahyu, mereka semuanya diam. Mereka mengetahui bahawa hal itu bukan berasal dari diri Rasulullah SAW. Akan tetapi, jika Rasulullah SAW mengatakan bahawa itu adalah suatu pendapat peribadi (Rasul) atau sesuatu yang dimusyawarahkan, mereka pun melakukan dialog dengan Rasulullah SAW. Adakalanya, Rasul SAW mengikut pendapat mereka, sebagaimana yang terjadi dalam peristiwa Perang Badar, Khandaq, dan Uhud.
Dalam hal-hal yang tidak ada kaitannya dengan apa yang disampaikan oleh Allah, Baginda katakan kepada mereka, “Kalian lebih tahu urusan dunia kalian.” Sebagaimana yang terjadi pada peristiwa penyerbukan tanaman kurma.
Jika Rasulullah SAW diperbolehkan mengucapkan sesuatu yang berkaitan dengan masalah tasyri‘, tanpa disandarkan pada al-wahyu, lalu untuk apa Baginda menunggu-nunggu turunnya al-wahyu, sebelum Baginda menetapkan suatu hukum, begitu juga mengapa para sahabat bertanya kepada Baginda, adakah sesuatu itu berasal dari wahyu atau pendapat peribadi Rasulullah. Jika tidak demikian tentu Rasul akan menjawab secara langsung pertanyaan mereka atau mereka akan mengajukan pendapat tanpa meminta penjelasan.
Oleh kerana itu, Rasulullah SAW tidak pernah berkata, bertindak, atau berdiam diri atas sesuatu, kecuali semua itu berasal dari wahyu Allah, bukan dari pendapatnya sendiri. Dan tidak perlu diragukan lagi bahawa Baginda SAW bersifat maksum dalam menyampaikan segala sesuatu yang datang dari sisi Allah Swt.
Sumber: Muhammad Ismail, Al-Fikru Al-Islamu (Bunga Rampai Pemikiran Islam)