Oleh: Nabila Zidane
Hidup di dalam sistem kapitalisme zaman ini memang tidak mudah. Tidak ada yang bernilai selain nilai kebendaan. Kos sara hidup tinggi, pekerjaan semakin sulit, persaingan ada di mana-mana, masyarakat bersifat individualistik saling tidak memperdulikan antara satu sama lain dan banyak tuntutan yang perlu dipenuhi.
Keadaan tersebut membuatkan sebahagian besar manusia terutamanya para ibu menjadi lebih mudah depresi. Terlebih lagi apabila memikirkan segala biaya ditambah dengan tidak terjaminnya keperluan asas oleh negara. Akhirnya muncullah pertanyaan dan keluhan seperti, “Aku penat,” “sampai bila boleh bertahan?” Dan banyak lagi.
Memang penat atau lelah itu fitrah manusia kerana kita bukanlah robot. Tetapi apabila situasi ini berterusan, berpanjangan, apatah lagi sehingga membuatkan manusia semakin berputus-asa dan tidak produktif, ianya akan sangat membahayakan kerana situasi ini boleh berakhir dengan hilangnya semangat hidup. Lebih-lebih lagi kalau penyebabnya adalah kerana penatnya mengejar tuntutan hidup. Bermula dari pendidikan yang berkualiti, pekerjaan yang berprestij, kerjaya yang cemerlang, kewangan yang stabil dan banyak lagi.
Jika semua tuntutan itu dikejar mati-matian sehingga menghabiskan waktu, tenaga, harta dan usia kita, sebenarnya kita sedang menjadikan diri kita sendiri sebagai hamba kapitalisme yang menghambakan diri kepada kebendaan.
Kapitalisme merupakan sistem hidup yang menjunjung tinggi materi sebagai standard kebahagiaan dan sistem inilah yang dipakai sebagai aturan hidup saat ini. Maka, tidak hairanlah jika di hampir setiap bidang terutamanya bila berdepan dengan umum, diperlukan personaliti dan penampilan yang menarik. Bagi mereka yang kurang menarik, sememangnya akan lebih mudah depresi mental dan fizikal kerana perlu bersaing untuk mengejar standard rendah kapitalis. Bagaimanakah nasib umat dan bangsa di masa hadapan jika manusianya hanya sibuk mengejar kebendaan?
Islam sebagai Aturan Hidup
Realiti seperti itu akan sangat jauh berbeza jika Islam yang menjadi aturan hidup. Ini kerana Islam memiliki standard kebahagiaan yang mulia iaitu untuk meraih redha Allah SWT. Selain itu, aturan Islam juga merupakan penyelesaian bagi setiap masalah manusia.
Kita boleh tahu kemana sepatutnya tenaga kita disalurkan, untuk apa seharusnya usia kita dihabiskan dan yang paling utama, kita mempunyai semangat dan daya juang yang tinggi kerana mengetahui tujuan hidup kita iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Al-Quran surah Adz-Dzaariyaat ayat 56 :
وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [TMQ Adz-Dzaariyaat (51): 56]
Jika begitulah kenyataannya, maka segala rasa lelah yang kita rasakan justeru akan berubah menjadi liLlah yang membuahkan ketenangan, keikhlasan dan kenikmatan. Itulah uniknya sistem Islam yang hanya boleh diterapkan sepenuhnya oleh institusi khilafah.
Khilafah merupakan institusi penerapan syariat Islam yang diwariskan oleh Rasulullah SAW. Peranan strategi khilafah dalam mengatur kehidupan juga sangat unik.
Bermula dengan sistem pendidikannya yang berasaskan akidah Islam yang menjadikan individu serta masyarakatnya memiliki pola fikir dan pola sikap yang Islami.
Masyarakatnya juga merupakan masyarakat yang Islami, peduli dan berdedikasi tinggi dalam bab amar makruf nahi mungkar sehingga akhirnya mampu menjaga generasi seterusnya dari segala perbuatan yang dilarang agama.
Bukan hanya itu, masyarakat dalam naungan khilafah juga terkenal sebagai masyarakat yang produktif terutamanya generasi muda. Sejarah telah mencatat bahawa khilafah mampu mencetak ramai ilmuan yang bertakwa dan produktif dalam menyelesaikan persoalan hidup.
Sebut saja Ibnu Sina, dia menguasai bahasa Arab, geometri, fizik, logik, ilmu hukum Islam, teologi dan ilmu kedoktoran. Bahkan ketika berusia 17 tahun, beliau sangat terkenal dan dipanggil untuk mengubati Putera Samani, Nuh bin Mansyur.
Ibnu Sina juga berjaya menulis lebih dari 200 buku dan di antara karyanya yang terkenal adalah Al-Qanun Fi At-Thibb yang berisi ensiklopedia tentang ilmu kedoktoran.
Ramai lagi ilmuan Islam yang berjasa sekaligus menjadi perintis perkembangan keilmuan antaranya Ibnu Rushd (Averroes), Al-Biruni, Jabir Ibnu Hayyan (Ibnu Geber), Ibnu Ismail al Jazari penemu ilmu robot moden, Ibnu Haitham, ilmuan optik dari Basrah yang teorinya digunakan para saintis Itali untuk mencipta kanta pembesar pertama di dunia, Al Ghazali, seorang pakar dibidang ilmu tafsir, fiqih, filsafat dan akhlak dan ramai lagi ilmuan Islam yang telah menjadi tiang perkembangan bagi ilmu moden dimana hasilnya dapat dirasai sehingga sekarang.
Kewujudan media juga akan dikawal oleh negara. Khilafah akan memastikan bahawa tayangan yang ditampilkan oleh media berjalan sesuai dengan fungsi utamanya iaitu untuk mendidik umat.
Sosial media pula digunakan sebagai ladang untuk menyebarkan amar makruf nahi mungkar. Masya Allah! Begitu terjaganya kehidupan masyarakat dalam sistem Khilafah. Tidakkah kita merindukannya?