Berkasih Sayang kerana Allah SWT
Nabi Muhammad SAW memahami betapa besarnya kesan kasih sayang yang tulus dalam membentuk masyarakat dan negara, oleh itu baginda tidak pernah membiarkan sebarang kesempatan berlalu tanpa menyeru kepada kasih sayang ini serta memerintahkan kaum Muslimin agar menyatakan rasa kasih sayang antara satu sama lain. Hal ini bertujuan untuk membuka hati dan menyebarkan kasih sayang serta ketulusan dalam kalangan umat Islam.
Anas RA berkata bahawa seorang lelaki sedang bersama Nabi Muhammad SAW, lalu seorang lelaki lain melintas di hadapan mereka. Lelaki tersebut berkata, “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku benar-benar mencintai lelaki ini.” Nabi Muhammad SAW bertanya kepadanya, “Adakah kamu telah memberitahunya tentang hal itu?” Lelaki tersebut menjawab, “Belum.” Nabi Muhammad SAW bersabda, “Beritahulah kepadanya.” Lalu lelaki itu mengejar lelaki tersebut dan berkata kepadanya, “Sesungguhnya aku mencintaimu kerana Allah SWT.” Dan lelaki tersebut berkata “Semoga Allah SWT mencintai anda kerana anda mencintaiku keranaNya.”
Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri turut melakukan perkara yang sama, dengan mengajar umat Islam bagaimana membina sebuah masyarakat yang berasaskan kasih sayang yang tulus dan semangat persaudaraan. Pada suatu hari, baginda memegang tangan Muaz lalu bersabda, “Wahai Muaz, demi Allah SWT, sesungguhnya aku mencintaimu. Oleh itu, aku berpesan kepadamu, wahai Muaz, janganlah kamu lupa membaca doa ini setiap kali selepas solat: ‘Ya Allah SWT, bantulah aku untuk mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan beribadah kepadaMu dengan sebaik-baiknya’ (Allahumma, a`inni `ala dhikrika wa shukrika wa husni `abadatika)”
Muaz mula menyebarkan kasih sayang yang tulus ini dalam kalangan umat Islam di seluruh wilayah Islam. Beliau menyampaikan kepada mereka apa yang telah dipelajarinya daripada Nabi Muhammad SAW tentang besarnya ganjaran yang telah Allah SWT sediakan bagi orang yang saling mencintai keranaNya, serta tentang besarnya kasih sayang Allah SWT kepada mereka.
Dalam kitab al-Muwatta’, Imam Malik meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Abu Idris al-Khawlani yang berkata:
“Aku memasuki Masjid Damsyik, di mana aku melihat seorang pemuda yang wajahnya sentiasa dihiasi senyuman dan aku juga melihat orang ramai berkumpul di sekelilingnya. Apabila mereka berselisih pendapat tentang sesuatu perkara, mereka merujuk perkara tersebut kepadanya dan menerima pendapatnya. Aku bertanya siapakah pemuda itu, lalu mereka memberitahuku, ‘Beliau ialah Muaz bin Jabal RA.’ Pada awal keesokan harinya, aku pergi ke masjid, namun aku mendapati bahawa beliau telah datang lebih awal daripadaku. Beliau sedang menunaikan solat, jadi aku menunggunya sehingga beliau selesai solat, kemudian aku menghampirinya dari arah hadapan, memberi salam kepadanya dan berkata, ‘Demi Allah SWT, sesungguhnya aku mencintaimu.’ Beliau bertanya, ‘Adakah kerana Allah SWT?’ Aku menjawab, ‘Kerana Allah SWT.’Beliau mengulangi pertanyaannya, ‘Adakah kerana Allah SWT?’Aku menjawab, ‘Kerana Allah SWT.’Lalu beliau memegang kolar bajuku, menarikku mendekatinya dan berkata, ‘Aku ingin menyampaikan berita gembira kepadamu. Aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Allah SWT berfirman: “Kasih sayangKu diberikan kepada orang yang saling mencintai keranaKu, saling menziarahi keranaKu dan saling membantu antara satu sama lain keranaKu.”
Sumber:
“The IDEAL MUSLIMAH: The True Islamic Personality of the Muslim Woman.” Dr. Muhammad Ali al-Hashimi
#MuslimIdeal #KasihSayang