Berkasih Sayang Kerana Allah SWT
Berkasih sayang kerana Allah SWT semata-mata, dan bukan kerana sesuatu yang lain dalam hidup ini, bukanlah perkara yang mudah . Hanya mereka yang bersih dan suci hatinya sahaja yang mampu mencapai tahap ini iaitu golongan yang memandang dunia dan segala kenikmatan dunia ini sebagai sesuatu yang tidak bererti jika dibandingkan dengan keredhaan Allah SWT. Justeru, tidak hairanlah jika Allah SWT mengurniakan kepada mereka kedudukan dan ganjaran yang setimpal, kerana mereka berjaya mengatasi segala kepentingan duniawi yang sering melalaikan manusia.
Hal ini dapat dibuktikan melalui hadis Mu‘az yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Firman Allah SWT: “Orang-orang yang berkasih sayang kerana keagunganKu akan memperoleh mimbar-mimbar daripada cahaya yang diidamkan oleh para nabi dan syuhada”
Bagi mereka yang berkasih sayang kerana Allah SWT, terdapat satu lagi ganjaran yang jauh lebih besar daripada kedudukan dan keberkatan tersebut iaitu kasih sayangNya yang amat berharga dan sangat sukar diperoleh. Hal ini dibuktikan melalui hadis Abu Hurairah RA, yang meriwayatkan bahawa Rasullullah SAW bersabda:
“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju.Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya : ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu : aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata : Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya?. Lelaki itu berkata : Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah Azza Wa Jalla. Malaikat itu berkata : Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau tersebut kerana Allah.”
Alangkah agungnya kasih sayang ini, yang mampu mengangkat seseorang ke suatu kedudukan sehingga Allah SWT mencintainya dan meredhainya!
Sumber
“The IDEAL MUSLIMAH The True Islamic Personality of the Muslim Woman.” Dr. Muhammad Ali al-Hashimi
#MuslimahIdeal #KasihSayang #Ukhwah