Turki Uthmani adalah salah satu kesultanan yang memiliki sejarah paling panjang. Catatan-catatan lama dari para ahli sejarah telah menghuraikan kisah-kisah heroik dari kesultanan yang berpusat di Istanbul Turki ini.
Salah satunya adalah perjuangan Sultan Abdul Hamid II dalam menjaga warisan umat Islam, tanah Palestin. Ia bisa disebut sebagai benteng terakhir Turki Uthmani dalam usaha menjaga kesatuan dunia Islam.
Menurut catatan New World Encyclopedy, Sultan Abdul Hamid II dilahirkan di Istanbul pada 21 September 1842. Nama lengkap beliau adalah Abdul Hamid bin Abdul Majid bin Mahmud bin Abdul Hamid bin Ahmad. Ayahnya adalah Sultan Abdul Madjid dan ibunya adalah Tir-i Mujgan Ka din Efendi yang berasal dari Circassia, sebuah wilayah yang terletak di persimpangan Eropah Timur dan Asia Barat di antara Laut Hitam dan Laut Caspian. Ibunya meninggal ketika Sultan Abdul Hamid II masih berusia tujuh tahun. Selepas pemergian ibunya, Abdul Hamid kecil diasuh ibu tirinya yang bernama Pristu Kadin.
Dalam lingkungan tempat tinggalnya, Abdul Hamid kecil dianggap sebagai anak yang lemah dan sering jatuh sakit. Hal itu membuat dirinya sekuat tenaga mempelajari segala macam disiplin ilmu untuk menutupi kekurangannya. Di bawah didikan ayahnya secara langsung, beliau tumbuh menjadi seorang remaja yang memiliki kecerdasan lebih tinggi berbanding kebiasaan yang lainnya. Beliau sudah mampu menguasai pelbagai bahasa pada usia muda. Di samping itu, beliau juga dikenali suka membaca dan bersyair.
Lambat laun, stigma negatif tentang dirinya yang lemah dan sering sakit mula pudar. Masyarakat mula mengakui keberadaannya sebagai sosok peribadi yang kelak akan menjadi orang nombor satu dalam Kesultanan Turki Uthmani. Penilaian masyarakat di sekitar tempat tinggalnya bukan khabar bohong yang tak memiliki alasan.
Sultan Abdul Hamid II juga dikenal sebagai sosok yang sangat cerdas dan peduli sesama insan. Beliau menjadi Khalifah Turki Uthmani menggantikan bapa saudaranya, Abdul Aziz, yang bergelar Murad VI pada 1876. Bapa saudaranya yang memegang kekuasaan cukup lama ini diturunkan dari jawatannya sebagai Khalifah, kemudian dibunuh oleh pembencinya. Selanjutnya, masa depan Kesultanan Turki Uthmani berada di pundak Sultan Abdul Hamid II.
Selama memerintah, sejumlah pencapaian cemerlang telah dirangkul oleh Sultan Abdul Hamid II, seperti mendirikan universiti, akademi seni halus, sekolah kewangan dan pertanian. Selain itu, beliau juga membuka lebih banyak institusi pendidikan dari sekolah peringkat rendah, sekolah menengah atas, sekolah untuk orang kurang upaya, sehinggalah rumah sakit (hospital) Sisli Etfal dengan wangnya sendiri. Beliau juga memulakan pembangunan jambatan di dua tepi selat Bosphorus serta rel kereta api.
Dalam buku catatan peribadinya, Sultan Abdul Hamid II menjelaskan tentang pentingnya melakukan gerakan menanamkan kembali nilai ukhuwah Islamiah di antara kaum Muslimin dunia, baik China, India, Arab, Afrika, dan tempat-tempat lain. Sultan Abdul Hamid II menegaskan keyakinannya tentang kemungkinan lahirnya kesatuan dunia Islam.
Beliau mengatakan, umat Islam wajib menguatkan ikatan persaudaraan di belahan bumi lain. Satu dan lainnya wajib saling mendekat dan merapat dalam intensiti yang sangat kuat. Tidak ada harapan lagi untuk kebangkitan dan kejayaan di masa depan melainkan dengan persatuan umat Islam.
Memang waktunya belum datang, tetapi ia pasti akan datang. Akan datang suatu hari di mana kaum Muslimin akan bersatu dan mereka akan bersama-sama dalam satu kebangkitan yang serentak. Akan ada seorang yang memimpin umat ini dan mereka akan menghancurkan kekuatan orang-orang kafir, tulisnya.
Kisah lain dari buku hariannya adalah ketika beliau menolak permintaan tokoh pendiri negara Zionis Israel, Theodore Herzl, agar memberikan sebahagian wilayahnya di Palestin untuk bangsa Yahudi. Permintaan itu ditolak mentah-mentah oleh Sultan Abdul Hamid II, sehingga menyebabkan bangsa Yahudi marah. Dek kerana ketegasan beliau itu, musuh-musuh Islam tak henti-hentinya mengancam kekuasaan Sultan Abdul Hamid II. Pada masa pemerintahannya, beliau perlu berhadapan dengan manuver orang-orang Yahudi Dunamah yang ingin mensabotaj kekuasaanya. Setidaknya, ada beberapa langkah dan strategi dilancarkan oleh kaum Yahudi menurut sejarawan Muslim Dr. Muhammad Harb untuk menembus dinding kukuh Kesultanan Turki Uthmani. Target mereka adalah untuk memasuki Palestin. (Dr Muhammad Harb: 2012).
Pada 1892 sekelompok Yahudi Rusia mengajukan permohonan kepada Sultan Abdul Hamid II untuk mendapatkan izin tinggal di Palestin. Permohonan itu dijawab dengan makluman kepada segenap kaum Yahudi yang ingin hijrah ke Turki bahawa mereka tidak akan diizinkan menetap di Palestin. Mendengar jawapan seperti itu, kaum Yahudi merasa sangat terpukul, sehingga duta besar Amerika turut campur tangan. Pada 1896 Theodor Herzl memberanikan diri untuk kembali menemui Sultan Abdul Hamid II sambil meminta izin mendirikan gedung di al-Quds. Permohonan itu kembali dijawab Sultan dengan penolakan tegas. Sesungguhnya, Daulah Uthmani ini adalah milik rakyatnya. Mereka tidak akan bersetuju dengan permintaan tersebut. Sebab itu, “simpanlah kekayaan kalian dalam kantung kalian sendiri”, tegas Sultan.
Walaupun sudah ditolak hingga dua kali, kaum Yahudi tidak patah arang. Mereka kemudian melakukan usaha selanjutnya, iaitu dengan mengadakan Kongres Basel di Swiss pada 29-31 Ogos 1897 dalam rangka merumuskan strategi baru bagi menghancurkan Kesultanan Turki Uthmani.
Kerana gencarnya aktiviti Zionis Yahudi, akhirnya pada 1900 Sultan Abdul Hamid II mengeluarkan keputusan larangan atas rombongan ziarah Yahudi di Palestin untuk tinggal di sana lebih dari tiga bulan. Pasport Yahudi perlu diserahkan kepada petugas Khilafah terkait. Akhirnya, pada 1901 Sultan mengeluarkan keputusan mengharamkan penjualan tanah kepada Yahudi di Palestin.
Pada 1902 tanpa rasa malu Herzl untuk kesekian kalinya menghadap Sultan Abdul Hamid II. Kedatangan Herzl kali ini untuk menyogok orang nombor satu kekhilafahan Islam tersebut. Di antara sogokan yang disodorkan Herzl adalah wang sebesar 150 juta poundsterling khusus untuk Sultan; membayar semua hutang pemerintah Uthmaniyah yang mencecah 33 juta poundsterling; membangun kapal induk untuk pemerintah dengan biaya 120 juta frank; memberi pinjaman 5 juta poundsterling tanpa bunga; dan membangun Universiti Uthmaniyah di Palestin.
Namun, kesemuanya ditolak Sultan. Bahkan, Sultan tidak mahu menemui Herzl dan hanya diwakilkan kepada Tahsin Pasya, perdana menterinya, sambil mengirim pesanan menasihati Herzl agar jangan meneruskan rencananya. “Aku tidak akan melepaskan walaupun sejengkal tanah ini (Palestin) kerana ia bukan milikku”.
Tanah itu adalah hak umat Islam. Sultan mengatakan, “umat Islam telah berjihad demi kepentingan Palestin. Mereka telah menyiraminya dengan darah mereka. Yahudi disilakan menyimpan harta mereka. Jika suatu saat kekhilafahan Turki Uthmani runtuh, kemungkinan besar mereka akan boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya”.
Namun, kata Abdul Hamid II, selagi beliau masih hidup, beliau lebih rela menusukkan pedang ke tubuhnya sendiri daripada melihat tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan dari Khilafah Islamiyah.
Sejak saat itu, kaum Yahudi dengan gerakan Zionisme-nya melancarkan gerakan untuk menumbangkan Sultan. Dengan menggunakan slogan-slogan “kemerdekaan”, “kebebasan”, dan sebagainya, mereka menyebut pemerintahan Abdul Hamid II sebagai “Hamidian Absolutism“.
Abdul Hamid menyedari nasibnya makin terancam. Boleh saja beliau memutuskan untuk hijrah ke Eropah demi menyelamatkan diri. Tetapi, untuk apa? Beliau mengaku sebagai Khalifah yang bertanggungjawab atas umat. Tempatnya tetap di Istanbul. (Dr Muhammad Harb: 2012).
Selain persoalan eksternal, Sultan Abdul Hamid II juga menghadapi persoalan internal pemerintahannya. Beliau terus digoyang oleh para aktivis organisasi rahsia Freemasonry yang menyusup dalam barisan pemuda revolusioner liberal. Mereka menamakan diri sebagai gerakan Turki muda. Kelompok Freemasonry yang terus berusaha menjatuhkan kepemimpinan Sultan Abdul Hamid II juga tergabung dalam organisasi Al-Ittihad wa At- Taraqqi/Ittihad ve Terakki (organisasi persatuan dan kemajuan).
Sultan Abdul Hamid II memerintah di tengah kepungan kelompok Yahudi, anggota-anggota Freemason, dan aktivis liberal-sekular. Mereka berusaha menjatuhkannya dengan berbagai cara, sehingga Turki dengan peradaban Islamnya kemudian pudar dan akhirnya pada 1924 menjadi negara yang sangat sekular. Sultan Abdul Hamid II meninggal pada 10 Februari 1918 dan memegang jawatan sebagai Khalifah Kesultanan Turki Uthmani selama 33 tahun.
Sepeninggalnya, tidak ada lagi sultan Turki Uthmani yang memiliki kemampuan berfikir dan keberanian terhadap Yahudi seperti yang ditunjukkan Sultan Abdul Hamid II semasa hidupnya. Wallahualam.
Sumber: Republika Online