Beberapa ketika dahulu kita dikejutkan dengan berita seorang ulama yang dizalimi di Singapura. Tanpa penjelasan, beliau bersama keluarganya ditahan beberapa jam. Perlakuan ini segera menjadi perhatian umat Islam.
Bukan hanya itu, beliau juga dicurigai, dilabel sebagai penceramah radikal, dan akhirnya dihantar pulang. Lantas, benarkah perlakuan seperti ini terhadap ulama?
Ibnu Taimiyah rahimahullah mengajarkan kita untuk menghargai, menghormati (takzim), dan memuliakan para ulama. Beliau berkata, “Wajib bagi setiap muslim setelah dia taat setia pada Allah dan RasulNya serta pada orang-orang beriman (sebagaimana diwajibkan dalam Al-Quran), sudah semestinya mereka juga takzim (menghormati) para ulama. Ulama adalah pewaris para Nabi yang memberikan cahaya (ilmu) dalam kegelapan darat dan laut. Kaum muslimin telah sepakat atas keberadaan para ulama di atas hidayah. Ulama kaum muslim adalah orang-orang pilihan. Mereka menegakkan dan menyampaikan kitabullah dan menghidupkan sunnah Nabi SAW.” (Majmu’ Al Fatawa, Ibnu Taimiyah, Darul Wafa’).
Salah satu ulama masyhur Ibnu Asakir pernah mengingatkan manusia supaya berhati-hati dalam menjaga tutur kata dan perbuatan, jangan menghina, memburuk-burukkan, atau menyakiti hati dan perasaan ulama, kerana kedudukan ulama berbeza dengan manusia biasa, termasuk sekali pun pemerintah. Beliau berkata, “Saudaraku, ketahuilah bahawa daging para ulama itu beracun,” (Buku Tasawuf dan Ihsan).
Sebagaimana Firman Allah SWT,
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk sangka (kecurigaan), kerana sebahagian daripada buruk sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan mengumpat sesama sendiri. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” [TMQ Al-Hujurat (49): 12]
Oleh kerana itu, perlakuan buruk pada ulama bukanlah perbuatan yang dibenarkan dalam Islam. Ibnu Asakir mengingatkan kita, “Kita telah mengetahui sikap Allah terhadap orang-orang yang mencela para ulama. Siapa sahaja yang menghina para ulama dengan lidahnya, Allah akan menimpakan kematian hati kepadanya selagi dia di dunia.”
Allah SWT juga mengancam sekeras-kerasnya orang-orang yang menyakiti Allah dan RasulNya.
إِنَّ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فِى ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًۭا مُّهِينًۭا
“Sesungguhnya (terhadap) orang-orang yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah akan melaknatnya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan azab yang menghinakan bagi mereka.” [TMQ Al-Ahzab (33): 57]
Pada masa ini, ketika raga Rasulullah SAW telah tiada, ulamalah yang berperanan sebagai “penyambung lidah” baginda. Mereka menerima warisan Nabi iaitu ilmu agama. Menyakiti ahli waris para Nabi sama sahaja dengan menyakiti para Nabi.
Maka, sudah sepatutnya bagi kita untuk menjaga lisan dan tangan, menghormati serta mencintai alim ulama. Ikutilah jalan perjuangan para alim ulama demi kebangkitan Islam. Sesungguhnya, dengan jalan inilah wujud takzim pada ulama iaitu mengikuti perjuangan mereka untuk Islam dan umat Islam. Allahuakbar.
Sumber:https://muslimahnews.net/2022/05/29/6753/