Penulis: Muhammad Ismail
Sebahagian besar manusia menjalani kehidupannya tanpa berlandaskan pegangan (petunjuk). Mereka melakukan berbagai perbuatan dengan tidak berdasarkan pada tolok ukur tertentu sehingga mereka dapat memberikan penilaian terhadapnya.
Oleh kerana itu, sering kita jumpai mereka melakukan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka sangka sebagai perbuatan terpuji; atau sebaliknya, mereka meninggalkan perbuatan-perbuatan baik kerana menyangkanya sebagai perbuatan tercela.
Misalnya, seorang muslimah yang keluar rumah dan berkeliaran di kota-kota metropolitan negeri-negeri Islam, seperti Beirut, Damaskus, Kairo, atau Baghdad, dengan bahagianya berjalan sambil menampakkan “keindahan” dan kecantikannya. Wanita ini menyangka bahawa tindakannya itu sebagai sesuatu yang baik, sesuai dengan zaman.
Demikian pula seorang tokoh Islam yang alim, warak, dan rajin sekali mendatangi masjid-masjid, tetapi dia menolak membicarakan hal-hal yang menyangkut tingkah laku penguasa yang rosak (tidak islami) dengan alasan bahawa hal itu termasuk urusan politik. Sedangkan terlibat dalam urusan politik, menurutnya, adalah termasuk dalam perbuatan yang buruk.
Sesungguhnya, wanita tadi dan “tokoh kita” ini, keduanya telah terjerumus dalam perbuatan dosa. Mengapa? Kerana wanita itu telah mempertontonkan auratnya dan “tokoh kita” ini tidak mahu memperhatikan urusan kaum muslim.
Keadaan ini terjadi kerana keduanya tidak memiliki tolok ukur bagi amal perbuatan mereka. Padahal, jika mereka memilikinya, tentu tidak akan dijumpai perbuatan yang bertentangan dengan mabda (ideologi) Islam yang secara nyata telah mereka ikrarkan.
Oleh kerana itu, adanya tolok ukur yang berfungsi menilai setiap perbuatan adalah suatu kewajipan bagi setiap manusia sehingga dia akan mengetahui hakikat suatu perbuatan sebelum mengerjakannya.
Islam telah menetapkan bagi manusia suatu tolok ukur untuk menilai segala sesuatu sehingga dapat diketahui mana perbuatan yang terpuji yang perlu segera dilakukan dan mana perbuatan tercela yang perlu segera ditinggalkan. Tolok ukur itu tidak lain adalah hukum syarak. Apabila syarak menilai perbuatan itu terpuji, itulah yang terpuji; dan apabila syarak menilainya tercela, itulah yang tercela.
Tolok ukur ini bersifat abadi. Hal ini kerana, perbuatan yang terpuji seperti jujur, menepati janji, berbakti pada orang tua, tidak akan berubah menjadi perbuatan tercela, dan sebaliknya, sesuatu yang tercela tidak akan berubah menjadi sesuatu yang terpuji. Bahkan, apa yang dinyatakan terpuji oleh syarak, akan terpuji selamanya. Begitu juga apa yang dicela oleh syarak, selamanya akan tetap tercela.
Dengan demikian, manusia akan dapat berjalan (di muka bumi ini) di atas jalan yang lurus. Setiap perbuatan yang dilakukannya, sentiasa berdasarkan petunjuk sehingga dia mengetahui hakikat segala sesuatu (perbuatan).
Berbeza halnya apabila syarak tidak menetapkan ukuran baik dan buruk untuk tiap-tiap perkara, kemudian akal dijadikan sebagai tolok ukur, akan terjadi kekacauan dan ketidakpastian. Sebab, suatu perkara boleh saja dianggap terpuji pada suatu keadaan, tetapi tercela pada keadaan yang lain.
Akal manusia kadang kala memuji suatu perbuatan pada masa sekarang, tetapi esok hari dicelanya. Atau suatu perbuatan dipandang terpuji di satu negeri, tetapi tercela di negeri lain. Hukum atas segala sesuatu menjadi tidak jelas dan berubah-ubah seperti tiupan angin sehingga pujian dan celaan adalah sesuatu yang nisbi, bukan lagi hakiki.
Pada saat seperti ini, seseorang dapat terjerumus dalam perbuatan tercela, tetapi menyangkanya sebagai perbuatan yang terpuji; atau dia akan menjauhkan diri dari perbuatan terpuji kerana menyangkanya sebagai perbuatan yang tercela.
Oleh kerana itu, wajib bagi setiap orang untuk menjadikan hukum syarak sebagai tolok ukur semua perbuatannya dengan memuji atau mencela sesuatu berdasarkan syarak semata.
Sumber: Muhammad Ismail, Al-Fikru Al-Islamiyu (Bunga Rampai Pemikiran Islam)