Penulis: Ahmad Mahmud
Sebelum membicarakan topik ini dengan lebih terperinci, sudah tentu diketahui tentang siapa yang bertanggungjawab dan berkewajiban untuk merealisasikan hukum-hukum syariat. Sebabnya, dalam tubuh umat Islam sendiri terdapat individu, jemaah, dan pemerintah.
Setiap pihak sebenarnya telah dibebani beberapa hukum syariat yang mesti dilaksanakan; untuk selanjutnya dinasihati, dikritik, dan diawasi sesuai kadar hukum-hukum syariat yang telah dibebankan kepada dirinya.
Jika kita telah memahami fakta, kepada pihak-pihak mana sahaja disandarkan beban penerapan syariat Islam ini, maka pada diri kita akan terbentuk pemahaman yang benar tentang pelaksanaan amar makruf nahi mungkar. Penjelasannya sebagai berikut:
Hukum-hukum syariat itu dapat dikategorikan sebagai berikut:
(1) Yang diwajibkan atas setiap individu muslim;
(2) Yang dibebankan kepada setiap individu umat Islam, tetapi boleh dan bahkan wajib dilaksanakan oleh khalifah atau imam jika yang bersangkutan tidak mampu;
(3) Yang dibebankan kepada khalifah atau imam sahaja dan tidak boleh dilaksanakan oleh selain dirinya;
(4) Yang diwajibkan atas khalifah dan boleh dilaksanakan oleh individu dalam beberapa keadaan; (5) Yang diwajibkan atas jemaah umat Islam.
Pertama, hukum-hukum Islam yang pelaksanaannya disandarkan kepada setiap individu. Contohnya adalah seperti solat, puasa, haji, dan zakat; menjauhi segala yang haram seperti arak, judi, riba, mencuri, membunuh, berzina, berdusta, menipu, ghibah dan yang sepertinya. Setiap muslim dituntut untuk melaksanakan hukum-hukum ini, baik dia berada di darul kufur ataupun di darul Islam; baik dia tinggal di negeri-negeri Islam ataupun di negara-negara kafir.
Dalam pelaksanaan pelbagai kewajiban individu ini tidak diperhatikan lagi apakah perbuatan itu hanya dilakukan oleh Rasulullah SAW di Mekah sahaja atau baru dilaksanakan di Madinah. Sebabnya, semua hukum tersebut pada faktanya telah termaktub baik di dalam Al-Quran mahupun dalam As-Sunnah.
Dalam hal ini, setiap individu di samping bertanggungjawab terhadap dirinya juga bertanggungjawab terhadap setiap anggota keluarganya. Jika dia memang menjadi wali urusan mereka. Jika seorang individu muslim berada di darul kufur sementara pemerintah melarangnya untuk melaksanakan pelbagai hukum syariat yang bersifat individual ini, dia wajib berhijrah ke negeri lain; apakah itu darul Islam atau darul kufur. Ketentuan seperti ini didasarkan pada firman Allah SWT,
إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ قَالُوا۟ فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا۟ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ قَالُوٓا۟ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةًۭ فَتُهَاجِرُوا۟ فِيهَا ۚ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا ٩٧ إِلَّا ٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلْوِلْدَٰنِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةًۭ وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًۭا ٩٨
“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, kepada mereka malaikat bertanya, “Dalam keadaan bagaimana kalian ini?” Mereka menjawab, “Kami adalah orang-orang yang tertindas di negeri Makkah.” Para malaikat berkata, “Bukankah bumi Allah itu luas sehingga kalian dapat berhijrah di bumi itu? Orang-orang itu tempatnya adalah neraka jahanam, sedangkan jahanam itu adalah tempat kembali yang paling buruk. Kecuali mereka yang tertindas, baik lelaki, wanita, ataupun anak-anak yang tidak mampu (berdaya upaya) dan tidak mengetahui jalan untuk hijrah.” [TMQ An-Nisa (4): 97-98]
Namun demikian, ia disunnahkan dalam keadaan seperti ini untuk berhijrah ke darul Islam walaupun dia tetap boleh mengerjakan hukum-hukum yang bersifat individual, kecuali dia tengah berusaha untuk mengubah darul kufur tempat dia hidup menjadi darul Islam. Perlu diketahui bahawa yang dimaksud dengan darul Islam adalah negara yang menerapkan Islam secara menyeluruh, dan keamanannya pun berada di tangan umat Islam.
Kedua, hukum-hukum yang pelaksanaannya disandarkan kepada individu, tetapi wajib dilaksanakan oleh khalifah atau Imam jika yang bersangkutan tidak dapat menunaikannya. Contohnya adalah memberi nafkah kepada individu-individu tertentu jika pihak yang wajib atau yang bertanggungjawab memberikan nafkah kepada mereka tidak mampu menunaikannya; mengurusi urusan peribadi jika individu itu tidak mampu mengurusnya; membangun masjid di bandar dan kampung jika masyarakat setempat tidak mampu melaksanakannya; dan lain-lain.
Ketiga, hukum-hukum yang pelaksanaannya disandarkan kepada khalifah atau imam sahaja dan tidak boleh dilaksanakan oleh selain dirinya. Contohnya adalah pelaksanaan hukum-hukum hudud, pengumuman perang (jihad), mengadakan perjanjian damai, menyusun undang-undang yang bersifat mengikat, atau mengatur urusan umat yang bersifat mengikat. Semua ini dan yang seumpamanya merupakan perkara-perkara yang pelaksanaannya hanya boleh dilakukan oleh pihak khalifah atau imam sahaja.
Keempat, hukum-hukum yang pelaksanaannya disandarkan kepada khalifah atau imam, tetapi dalam beberapa keadaan boleh dilaksanakan oleh individu. Contohnya adalah jihad. Jihad merupakan salah satu tugas khalifah atau imam. Akan tetapi, jika musuh telah masuk menyerang umat Islam secara tiba-tiba, maka mereka wajib secara serentak untuk melakukan tindak balas, meskipun belum ada perintah atau izin dari khalifah untuk berperang.
Contoh lain adalah dalam keadaan umat Islam tidak mempunyai seorang khalifah sebagaimana ketika ini, sementara telah terjadi situasi yang mengharuskan adanya aktiviti jihad. Dalam keadaan seperti ini, umat Islam wajib melakukan jihad meskipun mereka berada di bawah kepemimpinan penguasa yang zalim atau di bawah kepemimpinan amir jemaah (sebagaimana kes Palestin, Ambon, dan lain-lain). Sudah selayaknya umat Islam merasa tidak senang dengan keadaan terakhir ini, iaitu keadaan ketika khalifah tidak ada, atau mereka dipimpin oleh pemerintah yang zalim.
Kelima, hukum-hukum yang pelaksanaannya hanya disandarkan kepada jemaah sahaja. Contohnya adalah seperti aktiviti untuk mendirikan Khilafah, mengkritik pemerintah serta mengajak mereka ke arah yang hak. Pelbagai aktiviti kepartian, jemaah, tanzhim (pengaturan), takattul (pengorganisasian badan dakwah), atau bentuk-bentuk badan Islami lainnya termasuk di dalam konteks ini.
Penjelasan tentang kepada siapa disandarkan atau dibebankan hukum-hukum syariat merupakan hal yang sangat penting. Ketidaktahuan atau sikap pura-pura tidak tahu terhadap masalah ini akan menjadikan umat Islam, baik sebagai individu mahupun jemaah bersikap sembarangan dalam menerapkan syariat Islam. Akibatnya, akan kehilangan pada diri umat Islam pemahaman yang mendalam terhadap syariat Islam dan penerapannya secara benar.
Lebih jauh, hal ini akan menempatkan seorang muslim lalai terhadap berbagai kewajiban yang menjadi tanggungjawabnya, manakala pada masa yang sama mengerjakan hal-hal yang sunnah sebagai penggantinya. Hal seperti ini pun akan mendorong jemaah umat Islam untuk mempelajari hukum-hukum syariat yang berkaitan dengan amal-amal peribadi, tetapi melalaikan usaha untuk mempelajari hukum-hukum syariat yang berkaitan dengan amal-amal jemaah; atau mendorong jemaah mengerjakan tugas-tugas negara ketika jemaah tersebut justeru tidak mengetahui tugas dan kewajibannya sebagai jemaah yang telah diatur sedemikian rupa oleh syariat.
Ketidaktahuan masalah ini juga akan menjadikan seorang ulama hanya membicarakan sebagian hukum Islam yang berkaitan dengan tugas individu seperti solat, puasa dan zakat; tetapi ia tidak membicarakan sebahagian hukum Islam yang lain seperti jual beli yang berkaitan dengan keperluan hidup umat Islam atau hukum umum lainnya.
Dalam keadaan ini, jangan harap dia akan berbicara tentang pelbagai fardu kifayah yang paling penting, iaitu mendirikan Daulah Islamiah. Ulama sebegini hanya akan tampil sebagai ahli ibadah dan nasihat, tidak menampilkan dirinya sebagai ulama politik yang sentiasa meneliti pelbagai masalah rakyat sekaligus memberikan jalan penyelesaian.
Sumber:https://muslimahnews.net/2022/05/29/6769/