Penulis: Siti Nafidah Anshory
Pada masa lalu, Daar an-Nadwah merupakan salah satu tempat terpenting bahkan menjadi tempat suci di Kota Mekah setelah Kaabah. Dibina ketika kota itu dipimpin oleh Qushayy bin Kilab (sekitar tahun 400M), salah seorang keturunan Quraisy yang kaya raya dan merupakan nenek moyang Nabi Muhammad SAW yang kelima.
“Daar” bermaksud rumah. “An-Nadwah” pula membawa maksud berkumpul. Perkataan tersebut diambil dari kata an-nada, an-nadi dan al-muntada yang ertinya tempat duduk suatu kaum tempat mereka bercengkerama di sekelilingnya. Kerana itu, secara etimologi, Daar an-Nadwah adalah fumsh tempat berkumpul atau bermusyawarah.
Tempat ini posisinya sangat dekat dengan Kaabah dan dibina sebagai tempat pertemuan para pembesar Mekah. Mereka bermusyawarah mengenai masalah-masalah negeri di tempat itu. Menurut kebiasaan mereka, semua masalah yang terjadi perlu diselesaikan dengan persetujuan bersama.
Sebagai Pusat Politik
Di antara keputusan-keputusan yang diambil antara lain adalah tentang pengangkatan pemimpin Quraisy, peperangan, keputusan haji, perdagangan, perjalanan bisnes dan lain-lain. Bahkan, urusan perkahwinan anak-anak mereka juga diputuskan di tempat ini.
Oleh sebab itu, Daar an-Nadwah boleh dianggap sebagai pusat pemerintahan, pusat administrasi sekaligus pusat yang menetapkan dan membenarkan keputusan-keputusan yang tidak hanya mengikat penduduk Mekah, tetapi juga buat mereka yang mengunjunginya.
Yang berhak memasukinya juga terdiri dari kalangan tertentu sahaja. Contohnya, dari kalangan para tokoh, pemimpin kaum dan para intelektual yang berusia lebih dari 40 tahun. Mereka ini disebut sebagai “Al-Mala” yang berperanan sebagai tokoh pemerintahan. Adapun masyarakat biasa hanya boleh berkumpul di sekitar Kaabah, iaitu di suatu tempat yang dipanggil Nadil Qawm.
Pada masa perjuangan dakwah Rasulullah SAW, para pemuka Quraisy sangat sering mengadakan pertemuan di Daar an-Nadwah. Mereka berdiskusi dan kerap berdebat untuk mencari cara terbaik bagi menghalang maraknya dakwah Rasulullah.
Pada permulaan dakwah Rasulullah SAW, mereka masih lagi menyikapi dengan penuh hati-hati. Lebih-lebih lagi saat itu, “bahaya” dakwah masih belum kelihatan. Paling tidak mereka hanya berbisik-bisik membincangkan kemunculan pemikiran yang baru itu atau hanya mengolok-olok Rasulullah SAW ketika Baginda menyampaikan wahyu yang diturunkan kepadanya.
Saat itu, mereka merasakan bahawa dakwah Muhammad hanyalah fenomena biasa. Muhammad dalam pandangan mereka hanyalah seseorang yang sedang terpukau oleh ajaran lainnya dan suatu saat nanti pasti akan kembali pada ajaran lama. Kerana itu, mereka tidak mengendahkannya.
Tetapi, saat Rasulullah SAW mula berdakwah secara terbuka dan terang-terangan menentang berhala-berhala mereka, bahkan mencelanya, mereka mulai sedar bahawa urusan ini bukanlah urusan atau ajaran yang biasa saja.
Sebagai Pusat Makar
Demikianlah bagaimana mereka (Quraisy) mula memperhatikan urusan dakwah Muhammad. Apatah lagi saat mereka mendapati bahawa dakwah Muhammad mula memikat penduduk Mekah (yang akan mengancam kedudukan dan kepentingan mereka).
Itulah sebab mereka mulai kerap berdiskusi di Daar an-Nadwah, mencari cara yang paling tepat untuk menjauhkan masyarakat Mekah dari pengaruh dakwah. Mereka juga membuat berbagai strategi, bermula dari yang paling halus sehinggalah cara yang kasar termasuk menggunakan senjata dan mengancam para pengikut Rasulullah serta membuat propaganda anti-Muhammad yang ditujukan kepada para pedagang dan pelawat yang datang dari luar kota Mekah.
Mereka juga bersepakat bahawa, buat para hamba, tuan-tuan mereka berhak melakukan penyeksaan dan gangguan. Sebahagian dari mereka juga dibunuh. Begitulah kerasnya ancaman yang diterima sehingga Rasulullah SAW mengizinkan sebahagian pengikut untuk berhijrah ke Habsyah.
Pada masa itu, kafir Quraisy juga menggunakan para ahli syair sebagai influencer untuk mempengaruhi fikiran-fikiran masyarakat. Mereka bersyair mengelilingi sekitar kota termasuklah pasar-pasar. Tujuannya, selain membuat pergaduhan, ia juga untuk memunculkan keraguan dan menyesatkan akidah serta pemikiran umat Islam.
Mereka bahkan tidak segan melabel Muhammad yang terkenal dengan gelaran “al-amin” dengan gelaran yang buruk seperti dukun, tukang sihir, pemecah belah bahkan juga orang gila agar orang-orang menjauhi Muhammad.
Tetapi, seperti mana yang lain, rancangan ini juga gagal. Mereka pun kembali semula ke Daar an-Nadwah sehingga akhirnya mereka bersepakat untuk berjumpa dengan Abu Thalib, bapa saudara Rasulullah yang kerap melindunginya. Pp
Mereka memujuk Abu Thalib agar meminta Muhammad menghentikan dakwahnya. Bahkan, mereka cuba menggoda Muhammad dengan tawaran yang mengiurkan. Namun, usaha mereka ini juga menemui kegagalan.
Segala cara berhujung dengan kegagalan, sedangkan dakwah Muhammad semakin kencang dengan sokongan yang semakin kuat. Akhirnya, mereka membuat keputusan politik yang sangat berani dan fenomenal iaitu dengan memboikot Rasulullah dan pengikutnya, bahkan juga semua kabilah yang menyokongnya iaitu Bani Hasyim dan Bani Muthalib.
Sebagai bukti bahawa mereka tidak main-main, keputusan ini ditulis dan digantung di dinding Kaabah. Hal ini adalah untuk menunjukkan keseriusan dalam keputusan yang mereka ambil dan terpakai bagi siapapun yang mengunjungi Mekah.
Setelah 3 tahun pemboikotan berlaku dan keadaan kaum muslim berada di puncak kesulitan kerana terisolasi di lembah (Syi’ib) Abi Thalib, atas izin Allah, manuver kafir Quraisy ini juga gagal ditandai dengan rosaknya dokumen ini kerana dimakan anai-anai.
Bahkan, keputusan politik ini juga ibarat boomerang buat kaum Quraisy kerana selain isu Muhammad dan Islam semakin tersebar luas, kes ini juga memancing simpati masyarakat di luar bangsa Quraisy sehingga mereka tertanya-tanya, mengapa bangsa semulia Quraisy boleh melakukan perkara di luar batas kemanusiaan?
Segala apa yang mereka lakukan justeru semakin menambah kebencian dan kekerasan bangsa Quraisy. Lebih-lebih lagi saat Rasulullah SAW kehilangan pelindung utamanya iaitu Abu Thalib dan Khadijah.
Kemudian, bermulalah tahapan dakwah Rasulullah yang paling berat sehingga Baginda mula berusaha untuk meluaskan dakwahnya serta mencari perlindungan dari kabilah-kabilah yang berada di luar Mekah seperti Thaif, Amir Bani Sha’sha’sh, Bani Kilab dan banyak lagi.
Tetapi, usaha ini belum menemui kejayaan. Rasulullah ditolak oleh kabilah-kabilah itu, sedangkan gangguan yang datang dari bangsa Quraisy tidak pernah berkurang. Gangguan itu sampai pada tahap kemuncak yang membuatkan para sahabat tertanya-tanya, “Bila datangnya pertolongan Allah?”.
Saat itulah kelihatan sinar kemenangan dari arah Madinah. Pada musim haji tahun ke-12 kenabian, 12 pemuka Madinah berbaiat kepada Rasulullah SAW di Aqabah. Kemudian pada tahun berikutnya, seramai 75 orang penduduk Madinah berbaiat kepada Rasulullah SAW dengan baiat perang dan baiat penyerahan kekuasaan.
Rupa-rupanya, keputusan Rasulullah untuk menghantar Mus’ab bin Umair dalam kepulangan rombongan pertama kafilah Madinah pada tahun ke-12 kenabian itu betul-betul membuka pintu hidayah para pemuka masyarakat Madinah lainnya sehingga mereka bersedia menjadi penolong Rasulullah SAW dan siap dipimpin oleh Baginda serta rela berperang membela Rasul dan risalahnya.
Rancangan Pembunuhan di Daar an-Nadwah
Kemenangan sudah berada di genggaman. Rasulullah SAW memerintahkan kaum muslimin Mekah untuk berhijrah ke Madinah dan akhirnya mereka meninggalkan Mekah secara berkelompok.
Sebuah peristiwa yang sangat menyentak para penguasa Quraisy. Kerana itu, di Daar an-Nadwah, mereka kembali merancang makar sebagai usaha terakhir dari sisa-sisa kekuatan yang mereka miliki. Tentu saja dengan penuh kemarahan dan kebencian yang membuak. Mereka sungguh takut pada kekuatan sokongan penduduk Madinah kepada Muhammad dan agamanya.
Usulan demi usulan yang mereka ajukan terkait dengan apa yang perlu mereka lakukan kepada Muhammad sementara Baginda masih berada di Mekah. Salah seorangnya mencadangkan agar Muhammad dikurung dalam kurungan besi, tetapi tidak ada yang menyetujuinya. Ada juga yang mencadangkan untuk mengusir Baginda, tetapi mereka khuatir jika Muhammad pergi ke Madinah dan membina kekuatan di sana.
Akhirnya mereka bersepakat agar setiap kabilah menghantar pemuda terbaik dan terkuat yang mereka ada untuk bersama-sama membunuh Muhammad sehingga tidak ada seorang pun yang boleh menuntutnya. Mereka fikir ini adalah keputusan politik terbaik untuk menguburkan dakwah Islam yang dianggap sebagai pemecah-belah bangsa.
Tetapi, sebagaimana yang kita ketahui, makar ini juga turut menemui kegagalan. Baginda SAW berjaya lari dari usaha pembunuhan itu. Pada tahun ke-13 kenabian, Baginda berhijrah ke Madinah bersama Abu Bakar ra, sahabat yang paling dicintainya. Mereka berdua selamat sampai ke tanah Madinah walaupun musuh tidak berhenti mengejar.
Demikianlah, melalui catatan sirah kita dapat fahami betapa pentingnya Daar an-Nadwah buat bangsa Quraisy, bahkan ketika Rasulullah telah berjaya membina kekuatan Negara Islam di Madinah.
Di Daar an-Nadwah lah mereka menyusun kekuatan pasukan perang untuk melawan pasukan Negara Islam, baik ketika perang Uhud ataupun perang-perang setelahnya.
Hingga Allah berkenan untuk memberi kemenangan kepada umat Islam dengan tertakluknya Kota Mekah pada tahun ke-8 H (630 M), bertepatan pada 10 Ramadhan 8 H. Saat itu, Rasulullah SAW beserta 10000 pasukan bergerak dari Madinah menuju ke Mekah dan kemudian menguasai Mekah secara keseluruhan tanpa pertumpahan darah.
Dikatakan bahawa saat Umar al-Khattab menjadi Khalifah, beliau pernah mengunjungi Daar an-Nadwah, kemudian beliau mengubah tempat tersebut menjadi tempat berwudhuk bagi jemaah haji.
Kemudian, pada masa Dinasti Abbasiyah tepatnya pada saat pemerintahan Al-Mu’tadid (284 H/897 M), terjadi perluasan Masjidil Haram dan Daar an-Nadwah termasuk dalam bahagiannya. Untuk memperingati tempat letaknya Daar an-Nadwah, dibuatlah sebuah pintu masuk ke masjid dengan nama Bab Daar an-Nadwah.
Khatimah
Saat ini, Daar an-Nadwah hanya tinggal sejarah. Tetapi, sirah Rasulullah SAW mengajarkan kepada kita bahawa perjuangan menegakkan deen Islam adalah perjuangan yang tidak mudah. Para penjaga sistem rosak akan selalu berusaha keras mengerahkan segenap daya dan tenaga untuk menghalang dakwah.
Namun, sejarah juga mengajarkan kepada kita bahawa kekuatan makar musuh akan musnah dengan sendirinya. Hal ini sejalan dengan usaha para pengemban dakwah untuk tetap konsisten berpegang teguh pada Islam, bersabar ketika menapak jalan perjuangan serta mengukuhkan keyakinan bahawa hujung dari segala ikhtiar ini adalah kemenangan.