Maha Besar Allah kerana telah memberikan lagi peluang kepada hambaNya untuk meraih pahala yang berlipat ganda pada bulan selain Ramadhan. Dalam bulan Zulhijjah, Allah SWT telah menganugerahkan kita hari-hari yang dibesarkan dan dimuliakan olehNya iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, Hari Arafah, Aidiladha dan Hari Tasyriq.
“Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)” [TMQ al-Fajr (89): 1-2].
Terdapat juga beberapa hadis yang menyebut tentang kebaikan bulan Zulhijjah. Antaranya Rasulullah SAW bersabda; “Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan daripada sepuluh hari ini” [HR al-Bukhari].
Majoriti ulama menyatakan sepuluh hari itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukan sepuluh terakhir Ramadhan (Zad Al- Ma’ad, Ibn Qayyim). Antara amalan yang amat digalakkan sepanjang sepuluh hari terawal Zulhijjah yang diketahui sangat besar pahalanya adalah seperti berzikir seperti mana yang disebutkan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud;
“Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu” [TMQ al-Hajj (22): 28].
Selain berzikir, umat Islam juga disunatkan berpuasa, bersedekah, bertakbir (sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tasyrik) dan melakukan korban. Allah SWT berfirman;
“(Beribadahlah) dengan ikhlas kepada Allah tanpa mempersekutukanNya” [TMQ al-Hajj (22): 31].
“Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati” [TMQ al-Hajj (22): 32].
Hadis Riwayat at-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)”.
Demikianlah ibadah-ibadah yang sepatutnya dikejar oleh kaum Muslimin dalam bulan Zulhijjah demi meraih sebanyak-banyak pahala dan meraih keredhaan Allah SWT. Keutamaan yang ada pada bulan Zulhijjah akan menjadikan seseorang agar istiqamah dalam mengejar keutamaan yang banyak untuk menjalankan ketaatan-ketaatan kepada Allah dan menghindari seluruh keburukan dengan menjauhkan dirinya daripada perbuatan dosa dan kemaksiatan serta melatih diri agar memiliki keperibadian Muslim yang soleh dan selalu berpegang teguh dengan keimanan kepada Allah dan RasulNya pada sepanjang masa.
Wallahu’alam bissawab.
– Ustazah Husna Suriani (Aktivis MHTM)