Dalam banyak ayat al-Quran, Allah SWT membahagikan manusia menjadi dua golongan besar iaitu ahli syurga dan ahli neraka.
Ahli Syurga
Ahli syurga tidak lain adalah orang yang bertakwa. Allah SWT berfirman,
إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ مَفَازًا
“Sungguh, orang-orang yang bertakwa dan selalu berbuat baik serta menghindari perbuatan buruk akan mendapat kemenangan dan kebahagiaan di akhirat.” [TMQ An- Naba (78): 31]
Orang yang bertakwa menurut al-Jazairi ialah mereka yang menjauhi syirik dan kemaksiatan kerana takut kepada azab-Nya (Al-Jazairi, Aysar at-Tafasir, 5/502).
Menurut ayat ini, orang yang bertakwa inilah yang akan mendapat mafaz[an]. Kata al-mafaz dalam ayat ini merupakan bentuk al-mashdar al-mimiy yang bererti al-fawz (kemenangan dan kejayaan) (Al-Alusi, Ruh al-Ma’ani, 15/218). Kata ini juga sekaligus merupakan ism al-makan (keterangan tempat) sehingga maknanya makan fawz wa najah (tempat kemenangan dan kejayaan). Itulah syurga (Al-Jazairi, Aysar at-Tafasir, hlm. 5/505).
Dua makna tersebut tidak jauh. Orang yang bertakwa itu mendapat kemenangan yang tidak lain adalah syurga. Kemenangan mereka juga berupa keselamatan mereka dari azab neraka (Ath-Thabari, Jami’ al-Bayan fi Tawil Al-Qur’an, 24/170).
Ayat ini kemudian memperincikan kemenangan yang diperolehi oleh orang yang bertakwa,
حَدَائِقَ وَأَعْنَابًا (32) وَكَوَاعِبَ أَتْرَابًا (33) وَكَأْسًا دِهَاقًا (34) لَا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًا وَلَا كِذَّابًا
“Kemenangan dan kebahagiaan yang akan mereka perolehi di antaranya termasuk taman-taman yang rendang, indah, damai, dan sejuk; dan buah anggur yang lazat rasanya sangat berbeza daripada anggur dunia walaupun memiliki sebutan yang sama. Inilah bentuk kenikmatan alam sekitar dan makanan di syurga.” [TMQ An- Naba (78): 32]
Kemudian Allah SWT berfirman,
جَزَاءً مِنْ رَبِّكَ عَطَاءً حِسَابًا
“(Semua itu) merupakan pembalasan dari Tuhanmu dan pemberian yang cukup banyak.” [TMQ An-Naba (78): 36]
Maksudnya, Allah SWT membalas amal mereka yang sedikit dengan kebaikan yang melimpah dan tidak putus-putus (Ath-Thabari, Jami’ al-Bayan fiî Tawil Al-Qur’an, 24/174).
Jelas, berdasarkan ayat ini ahli syurga adalah orang yang bertakwa (Lihat juga, misalnya, QS At-Taubah [9]: 89; An-Nisa [4]: 13, Al-Maidah [5]: 119, At-Taubah [9]: 72, Ad-Dukhan [44]: 57, dan lain-lain).
Ahli Neraka
Sedangkan ahli neraka adalah orang yang berdosa. Allah SWT berfirman,
انْطَلِقُوا إِلَى مَا كُنْتُمْ بِهِ تُكَذِّبُونَ
“(Dikatakan kepada mereka pada Hari Kiamat), ‘Pergilah kalian menuju azab yang dahulu kalian dustakan.’ [TMQ Al Mursalat (77): 29]
Kenyataan yang diungkapkan dalam ayat ini ditujukan kepada orang kafir pada Hari Kiamat kelak (Al-Qurthubi, Al-Jami’ li Ahkam Al-Qur’an, 19/162).
Dalam ayat seterusnya Allah SWT menegaskan,
وَيْلٌ يَوْمَئِذٍ لِلْمُكَذِّبِينَ
“Amat besar kecelakaan pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan.” [TMQ Al Mursalat (77): 28]
Menjelaskan ayat ini, Wahbah az-Zuhaili berkata, “Azab dan kehinaan pada Hari Kiamat yang menegangkan disediakan untuk orang-orang yang mendustakan para utusan Allah SWT dan ayat-ayat-Nya. Tidak ada jalan keluar bagi mereka dari azab-azab itu.” (Az-Zuhaili, At-Tafsir Al-Munir, 29/327).
Hasilnya jelas, siapa yang akan menjadi ahli neraka adalah para pendosa. Mereka adalah orang kafir dan orang fasik yang mendustakan para utusan Allah SWT dan syariat-Nya yang mereka bawa.
Islam Kaffah
Justeru, agar kita dimasukkan ke dalam barisan ahli syurga dan tidak dimasukkan ke dalam golongan ahli neraka, kita hendaklah mengamalkan Islam secara kaffah (total).
Islam adalah agama yang menyeluruh, yang menjelaskan semua perkara dan mengatur segala perkara: akidah, ibadah, akhlak, makanan, pakaian, muamalah, uqubat (hukuman undang-undang), dsb. Tidak ada satu perkara pun yang terlepas dari pengaturan Islam. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran,
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِكُلِّ شَيْءٍ
“Kami telah turunkan kepadamu al- Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu.” [TMQ Al Nahl (16]): 89]
Islam pada masa yang sama merupakan agama yang kamil (sempurna). Tidak memiliki kekurangan sedikit pun. Hal ini Allah SWT telah tegaskan dalam firman-Nya,
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kalian agama kalian (Islam), dan telah Ku-cukupkan atas kalian nikmat-Ku dan telah Ku-redhai Islam sebagai agama bagi kalian.” [TMQ Al Maidah (5): 3]
Kerana itu, sangat berani jika kita beranggapan ada perkara yang tidak diatur oleh Islam. Sebagai contoh, ada pihak yang berpendapat bahawa Islam tidak mengatur urusan negara, apatah lagi menentukan sistem dan bentuk negara bagi umat Islam, hanya kerana tidak ada perintah secara tekstual dalam al-Quran.
Pendapat demikian sudah tentu datang dari cara berfikir yang dangkal. Sebabnya, jika alasannya semata-mata tekstualitas nas, berapa banyak ajaran dan hukum Islam yang tidak secara tekstual dinyatakan oleh nas al-Quran tetapi dijelaskan oleh Sunnah, Ijmak Sahabat atau Qiyas Syarie. Contohnya, al-Quran secara tekstual hanya memerintahkan solat tetapi tidak menjelaskan syarat dan rukunnya termasuk waktu-waktunya. Ketentuan terperinci mengenai solat dijelaskan oleh Sunnah.
Begitu juga berkaitan dengan pentadbiran negara. Al-Quran tidak secara tegas (tekstual) menentukan sistem dan bentuk negara. Namun, ketentuan mengenai sistem dan bentuk negara banyak dijelaskan oleh nas-nas Sunnah atau ditegaskan oleh Ijmak Sahabat. Hal ini amat mudah difahami oleh mereka yang memahami ijtihad dan pastinya akan gagal difahami oleh mereka yang tidak memahami ijtihad.
Keseluruhan dan kesempurnaan Islam pasti tidak akan tampak kecuali jika umat Islam mengamalkan Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam seluruh aspek kehidupan. Inilah yang Allah SWT perintahkan secara tegas dalam al-Quran,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [TMQ Al- Baqarah (2): 208]
Mengenai kata kaffah dalam ayat di atas ada dua pendapat. Pertama, Kata kaffah berfungsi sebagai benda (penjelasan keadaan) dari dhamir (kata ganti) pada frasa udkhulu (masuklah kalian). Maknanya jami’an (menyeluruh/semua orang Mukmin). Maksudnya, ayat ini ditujukan untuk semua orang Mukmin (Lihat: An-Nasafi, Madarik at-Tanzil, I/112).
Kedua, kata kaffah berfungsi sebagai benda (penjelasan keadaan) dari kata as-silmi (Islam) (Tafsir al-Qurthubi, III/18). Maksudnya, melalui ayat ini Allah SWT menuntut orang-orang yang masuk Islam untuk masuk ke dalam Islam secara keseluruhan). Mereka tidak boleh memilih mahupun memilah sebahagian hukum Islam untuk tidak diamalkan. Dalam ayat ini orang Mukmin diseru untuk menolak segala perkara yang bukan dari hukum Islam. Mereka wajib melaksanakan seluruh syariat Islam. Mereka mesti menjauhkan diri dari usaha-usaha untuk melenyapkan sesuatu yang menjadi sebahagian daripada hukum-hukum Islam. (Tafsir ath-Thabari, II/337)
Tegasnya, Allah SWT menyeru kepada hamba-Nya yang beriman kepada-Nya dan membenarkan Rasul-Nya untuk mengambil seluruh ajaran dan syariat Islam; melaksanakan seluruh perintah-Nya serta meninggalkan semua larangan-Nya (Ibn Katsir, Tafsir Al-Qur’an al-‘Azhim, 1/335)
Oleh itu, umat Islam diperintahkan untuk melaksanakan segala syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Tidak wajar umat Islam mengamalkan peraturan lain yang bersumber dari Barat yang diajarkan oleh Motesquie, Thomas Hobbes, John Locke, dll yang melahirkan sistem politik demokrasi; atau yang diajarkan oleh John Maynard Keynes, David Ricardo, dll yang melahirkan sistem ekonomi kapitalisme.
Dengan demikian, haram bagi umat Islam untuk mengingkari atau mencampakkan sebahagian syariat Islam dari realiti kehidupan dengan menerapkan sekularisme. Inilah yang sedang diamalkan oleh negara ketika ini. Allah SWT dengan tegas mengecam sikap seperti ini,
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiada balasan bagi orang yang berbuat demikian daripada kamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lalai atas apa sahaja yang kalian kerjakan.” [TMQ Al- Baqarah (2): 85]
Dalam ayat ini, mengingkari atau menolak sebahagian wahyu Allah SWT dalam Kitab-Nya cukup menjadikan pelakunya diazab (menjadi ahli neraka).
Natijahnya, berdasarkan ayat di atas, sesiapa sahaja, juga ahli dari jemaah atau organisasi mana pun, termasuk yang membawa fahaman “Islam Nusantara”, “Islam Moderat”, “Islam Jalan Tengah”, “Islam Rahmatan lil ‘Alamin, dll. Jika menolak sebahagian syariat-Nya maka bukan golongan ahli syurga. Sebaliknya, mereka termasuk ke dalam barisan ahli neraka. Wallahualam.
Sumber: Buletin Kaffah, No. 047