Penulis: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
Ikhtilat bermaksud pertemuan lelaki dan perempuan (yang bukan mahram) di tempat yang bercampur dan berlaku interaksi antara lelaki dan perempuan (contohnya bercakap, menyentuh, bersesak-sesak dan sebagainya). [Berkata al-Qahthani, Al-Ikhtilat, hlm. 7].
Contoh ikhtilat, penumpang lelaki dan perempuan yang berada dalam gerabak kereta api yang sama bersesak-sesak. Jika ada yang pernah menaiki KRL Jabotabek ke Jakarta-Bogor pada waktu puncak (waktu bekerja atau pulang dari kerja), kemungkinan besar dia terperangkap dalam ikhtilat. Ini kerana di dalam tren Jabotabek, penumpang lelaki dan wanita berada dalam gerabak yang sama dan saling bersesak-sesak.
Satu lagi contoh ikhtilat ialah penumpang lelaki dan perempuan dalam bas Trans Jakarta. Pada waktu puncak, penumpang pasti akan bersesak-sesak. Keadaan seperti itu disebut ikhtilat.
Contoh lain, andaikan di sebuah restoran, di sebuah meja terdapat lelaki dan perempuan yang bukan mahram, mereka makan dan bersembang bersama. Ini juga satu bentuk ikhtilat.
Hukum Ikhtilat
Ikhtilat adalah haram hukumnya dan merupakan dosa menurut syariat (hukum syarak), walaupun malangnya ramai umat Islam melakukannya. Mungkin kerana kejahilan mereka tentang syariat Islam, atau mungkin kerana terpengaruh dengan gaya hidup kaum kafir dari Barat yang serba boleh yang tidak mengambil tahu mana halal/haram.
Selain haram, ikhtilat juga berbahaya kerana mudah menjadi jalan kepada kemaksiatan lain yang merosakkan akhlak seperti memandang aurat, berlakunya gangguan seksual, perzinaan, dan sebagainya.
Terdapat banyak kitab-kitab ulama yang secara khusus menerangkan tentang bahaya ikhtilat, seperti (1) kitab Khuthurah Al-Ikhtilath (Bahaya Ikhtilat) oleh Syeikh Nada Abu Ahmad; (2) kitab Al-Ikhtilat Ashlus Syarr fi Dimaar al-Umam wal Usar (Ringkasan Sumber Kejahatan Kehancuran Pelbagai Umat dan Keluarga) oleh Syeikh Abu Nasr al-Imam; dan (3) kitab Al-Ikhtilath wa Khatruhu ‘Alal Fardi wal Mujtama’ (Ikhtilat: Bahaya Bagi Individu dan Masyarakat) oleh Syeikh Nasr Ahmad as-Suhaji; dan lain-lain.
Kriteria Ikhtilat dan Keharamannya
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, maksud “ikhtilat” ialah pertemuan antara lelaki dan perempuan di satu tempat yang bercampur dan berlaku interaksi antara lelaki dan perempuan.
Berdasarkan kefahaman tersebut, pertemuan antara lelaki dan perempuan disebut ikhtilat jika memenuhi dua kriteria secara serentak iaitu:
(1) Pertama, berlaku pertemuan (ijtimak) antara lelaki dan perempuan di tempat yang sama. Contohnya, dalam kereta atau tren yang sama, dalam bilik yang sama, dalam bas yang sama, dalam rumah yang sama, dan sebagainya.
(2) Kedua, berlaku interaksi (ittishal, khilthah) antara lelaki dan perempuan, contohnya bercakap, bersentuhan, menyentuh hati, bersesak-sesak dan sebagainya.
Jika wanita dan lelaki duduk bersebelahan dalam bas pengangkutan awam, tetapi tiada interaksi berlaku, keadaan itu tidak disebut ikhtilat (hukumnya tidak mengapa). Namun jika berlaku interaksi antara mereka seperti percakapan, perkenalan, dan sebagainya, maka ia dinamakan ikhtilat (haram).
Sebaliknya jika berlaku pergaulan antara lelaki dan perempuan, misalnya bercakap tetapi melalui telefon, maka ia tidak dinamakan ikhtilat kerana tidak berada di tempat yang sama atau tiada pertemuan (ijtimak) antara keduanya.
Jadi, yang disebut ikhtilat harus memenuhi 2 (dua) kriteria secara serentak, iaitu (1) terjadi pertemuan antara lelaki dan perempuan (yang bukan mahram) di suatu tempat, dan (2) adanya interaksi antara lelaki dan perempuan. .
Mengapa Ikhtilat Diharamkan?
Sebabnya adalah kerana melanggar perintah syariat untuk melaksanakan infishal iaitu pemisahan antara masyarakat lelaki dan perempuan.
Dalam kehidupan Islam yang dicontohkan dan diperintahkan oleh Rasulullah SAW di Madinah dahulu, masyarakat lelaki dan wanita mesti dipisahkan dalam kehidupan, tidak dibenarkan bergaul.
Contohnya, dalam solat berjemaah di masjid, saf lelaki dan perempuan disusun secara terpisah iaitu saf lelaki di hadapan dekat imam, manakala saf perempuan di belakang saf lelaki. Begitu juga selepas solat berjemaah di masjid, Rasulullah SAW aturkan jemaah perempuan keluar dari masjid dahulu, kemudian jemaah lelaki.
Pada zaman Rasulullah SAW menyampaikan ajaran Islam di masjid, lelaki dan perempuan juga dipisahkan. Ada kalanya jemaah dipisahkan oleh masa (hari mengajinya berbeza), adakalanya dipisahkan tempat iaitu jemaah perempuan di belakang jemaah lelaki, atau ada kalanya jemaah perempuan disusun bersebelahan dengan Jemaah lelak. [Taqiyuddin an-Nabhani, An-Nizhamul Ijtimai fil Islam, hlm. 35-36].
Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian.
Dalam kehidupan bermasyarakat, seperti di pasar, hospital, masjid, sekolah, jalan raya, padang, kebun binatang, dan sebagainya, lelaki dan perempuan dibolehkan melakukan ikhtilat dengan 2 (dua) syarat iaitu:
(1) Pertama, pertemuan yang terjadi antara lelaki dan perempuan tersebut ialah untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang dibolehkan oleh syarak, seperti jual beli, belajar mengajar, merawat orang sakit, mengikuti pengajian di masjid, menunaikan ibadah haji, dan sebagainya.
(2) Kedua, aktiviti yang dijalankan memerlukan pertemuan antara lelaki dan perempuan. Jika tidak memerlukan pertemuan antara lelaki dan perempuan, hukumnya tetap tidak dibolehkan.
Sebagai contoh, ikhtilat yang dibolehkan ialah jual beli. Sebagai contoh, penjual adalah perempuan dan pembeli adalah lelaki. Di dalam keadaan ini, boleh berlaku ikhtilat antara pihak perempuan dan pihak lelaki agar terjadi akad jual beli antara penjual dan pembeli.
Ini berbeza dengan aktiviti yang tidak memerlukan pertemuan lelaki dan perempuan. Contohnya, makan di restoran. Makan di restoran boleh dilakukan secara bersendirian oleh seorang lelaki atau seorang wanita. Tidak ada keharusan untuk pertemuan antara lelaki dan perempuan untuk boleh makan di restoran.
Oleh itu, hukumnya tetap haram lelaki dan perempuan berjanji untuk bertemu dan makan bersama di restoran. [Taqiyuddin an-Nabhani, An-Nizhamul Ijtimai fil Islam, hlm. 37].
Perlu diingatkan juga, selain dua syarat di atas, sudah tentu lelaki dan wanita wajib mematuhi hukum-hukum syariat lain dalam kehidupan bermasyarakat, contohnya kewajipan menundukkan pandangan (ghaddhul bashar), yang tidak untuk melihat aurat [lihat TMQ an-Nur: 30 —31]; bagi wanita wajib memakai pakaian muslimah iaitu bertudung [Surah an-Nur: 31]dan berjibab/jubah [lihat TMQ al-Ahzab: 59]; haram berkhalwat (berdua-duaan dengan jantina lain) [lihat HR Ahmad]; dan lain-lain.
Bahaya-Bahaya Ikhtilat
Sesungguhnya ikhtilat ialah jalan yang memudahkan berlakunya pelbagai kemaksiatan. Diantara lainnya:
(1) Terjadinya khalwat, iaitu lelaki yang berdua-duaan dengan perempuan yang bukan mahramnya.
Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah sekali-kali seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan kerana yang ketiganya ialah syaitan.” [HR Ahmad];
(2) Terjadinya gangguan seksual, seperti sentuhan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, dan sebagainya.
Rasulullah SAW bersabda, “Kedu-duaa mata zinanya ialah memandang (yang haram), kedua-du telinga zinanya ialah mendengar (yang haram), lidah zinanya ialah bercakap (yang haram), tangan zinanya ialah menyentuh (yang haram), dan kaki zinanya ialah melangkah (kepada yang haram).” [HR Muslim]
Rasulullah SAW juga melarang lelaki dan perempuan daripada bersesak-sesak. Oleh itu, pada zaman Rasulullah SAW, kaum wanita keluar dari masjid terlebih dahulu selepas solat, kemudian kaum lelaki. [lihat HR Bukhari no. 866 & 870];
(3) Berlakunya zina yang dimulakan dengan ikhtilat.
Imam Ibn al-Qayyim pernah berkata dalam kitabnya, At-Thuruqul Hukmiyyah, “Ikhtilat antara lelaki dan perempuan ialah punca banyaknya perbuatan keji (katsratul fawahisy) dan berleluasanya zina (intisyar az zina).
Lebih dahsyat lagi, jika perzinaan berleluasa dalam sesebuah negara, akan berlaku kerosakan atau malapetaka umum kepada sesebuah negara.
Rasulullah SAW bersabda, “Perbuatan zina tidak berleluasa pada suatu kaum melainkan kematian akan bermaharajalela di antara kaum itu”. [HR Ahmad dari ‘Aisyah RA]
Oleh itu, jelaslah bahawa ikhtilat merupakan perbuatan buruk yang wajib kita jauhi. Jika tidak, pelbagai kemaksiatan akan berlaku dan bahaya kematian juga akan berleluasa dalam kalangan umat Islam. Na’uzubillahi minzalik!