“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” (TMQ Ali Imran: 126)
Saudariku, mari bersama kita memahami dan merenungkan firman Allah Swt. di atas. Ibnu ‘Abbas, Anas, Sa’id bin Musayyab, dan beberapa sahabat yang lain menyatakan bahawa ayat tersebut diturunkan berhubungan dengan peristiwa Suhaib bin Sinan Ar-Rumi. Suhaib yang akan mengikuti Rasulullah ﷺ hijrah ke Madinah, oleh pihak Quraisy, dia dilarang hijrah dengan membawa kekayaannya.
Kemudian Suhaib tidak mengindahkan larangan Quraisy, bahkan dengan senang hati dan penuh keikhlasan menyerahkan semua kekayaannya agar dia dibolehkan hijrah ke Madinah. Turunlah ayat tersebut. Lalu Umar bin Al-Khattab bersama beberapa orang sahabat pergi menemui Suhaib dan berkata, “Daganganmu benar-benar menguntungkan.”
Suhaib berkata, “Semoga dagangan saudara-saudara tidak rugi. Untuk apa kedatangan saudara-saudara ini?” Umar ra. lalu memberitahukan bahawa Allah Swt. telah menurunkan ayat tersebut, berhubungan dengan peristiwa yang dialami Suhaib.
Suhaib merupakan seorang yang mukhlis, antara ucapan dan perbuatannya selalu sama. Kata-katanya sesuai dengan apa yang ada di dalam hatinya. Bukan lain di mulut lain pula di hati. Tidak juga bermuka dua, dia dengan penuh ikhlas mahu “menjual” diri, mengorbankan semua yang ada pada dirinya demi meraih redha Allah Taala.
Hendaknya kita belajar dari Suhaib. Setiap muslim yang saat ini berjuang di jalan Allah mestilah berani mengorbankan apa yang ada padanya. Baik tenaga, harta kekayaan, atau kedua-keduanya sesuai kemampuan demi kejayaan perjuangan. Hal ini adalah cerminan dari keimanan dan ketakwaan yang ada pada seorang muslim.
Dengan demikian, mereka yang berjuang di jalan Allah akan meraih kemenangan besar. Sebagaimana firman Allah Taala, “Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil, dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan demikian itulah kemenangan yang agung.” (TMQ At-Taubah: 111)
Saudariku, mari kita juga bercermin pada Ibunda Khadijah ra.. Saat Rasul ﷺ bertanya kepada Ummul mukminin Khadijah ra., “Adakah engkau menyesal bersuamikan aku, Muhammad? Dahulu engkau wanita bangsawan, mulia, hartawan, tetapi hari ini engkau telah dihina orang. Semua orang telah menjauh darimu. Seluruh harta kekayaanmu habis. Adakah engkau menyesal wahai Khadijah bersuamikan aku, Muhammad?”
Ibunda Khadijah ra. menjawab, “Wahai suamiku, wahai Nabi Allah! Bukan itu yang aku tangiskan. Dahulu aku memiliki kemuliaan, kemuliaan itu aku serahkan untuk Allah dan Rasul-Nya. Dahulu aku punya kebangsawanan, aku serahkan itu untuk Allah dan Rasul-Nya. Dahulu aku memiliki harta kekayaan, seluruh harta itu pun telah aku serahkan untuk Allah dan Rasul-Nya. Wahai Rasulullah, sekarang aku tidak punya apa-apa lagi.
Namun, engkau masih terus memperjuangkan agama ini. Wahai Rasulullah, sekiranya aku telah mati, sedangkan perjuanganmu itu belum selesai. Sekiranya engkau hendak menyeberangi lautan. Sekiranya engkau hendak menyeberangi sungai, dan engkau tidak menjumpai jambatan atau pun rakit. Maka galilah kuburku, engkau ambil tulang-belulangku. Jadikanlah rakit untuk menyeberangi sungai itu agar engkau dapat bertemu dengan manusia. Ingatkan mereka tentang dosa dan Allah. Ingatkan mereka kepada yang hak. Ajaklah mereka kepada Islam, wahai Rasulullah.”
Cuba kita bayangkan sejenak. Seorang Rasul yang agung dan seorang isteri yang mulia. Keduanya berpelukan sambil menangis memikirkan agama ini, Islam dan kaum muslim. Begitu besar perjuangan Ibunda Khadijah ra., rela berkorban segalanya untuk membantu perjuangan suami tercinta. Berkorban untuk umat manusia kerana-Nya.