Penulis: Nabila Ummu Anas
Khalifah Abdul Malik bin Marwan bukan sahaja menunjukkan keberanian, kebolehan dan kepintaran dalam menumpaskan lawan politiknya, malah beliau juga sangat mahir dalam mengurus dan mentadbir negara. Beliau memilih orang yang berwibawa dalam bidang masing-masing untuk mengisi jawatan penting dalam menguruskan pentadbiran dan dasar politik negara. Namun, jika didapati ada kesalahan atau ketidaktepatan yang dilakukan oleh pegawainya dalam menjalankan tugas, Khalifah Abdul Malik akan bertindak tegas terhadap mereka.
Melantik Pegawai yang Berwibawa
Al-Hajjaj bin Yusuf ats-Tsaqofi adalah antara orang yang mendapat kepercayaan penuh dalam mengendalikan pemerintahan di Iraq dan bahagian timur negara. Baik sangka dan kepercayaan Abdul Malik kepadanya, Al-Hajjaj dengan ikhlas mencurahkan segala potensi dan kebolehannya dalam menjalankan tugas memperkukuh asas negara.
Selain Al Hajjaj, Abdul Malik bin Marwan juga mempercayakan tugas-tugas penting negara kepada Abdul Aziz, Muhammad Bisyr, dan lain-lain. Khalifah akan sentiasa menyokong mereka sehingga para pegawai ini termotivasi untuk menjalankan amanah mereka dengan sebaik-baiknya.
Bersikap Tegas terhadap Pegawai yang Lalai atau Melakukan
Kesalahan
Dalam menjalankan pelbagai tugas negara, Khalifah Abdul Malik mengawasi dan mengawal segala permasalahan rakyat dan negara secara langsung. Dia sentiasa melakukan pengawasan terhadap semua pegawainya. Abdul Malik bin Marwan tidak teragak-agak menjatuhkan hukuman terhadap mereka, tanpa mengira jawatan mereka.
Al-Hajjaj sendiri yang mempunyai kedudukan sangat penting juga tidak terlepas dari teguran dan hukuman daripada khalifah. Abdul Malik tidak dapat menerima sikap sewenang-wenang yang dilakukan oleh pegawainya sendiri terhadap orang-orang yang soleh.
Anas bin Malik pernah mengadukan Al-Hajjaj bin Yusuf ats-Tsaqofi kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Anas menghantar surat kepada khalifah yang kandungannya sangat menyentuh perasaan khalifah.
Al ‘Amasy berkata, “Muhammad bin Az-Zubair memberitahu kepadaku bahawa Anas bin Malik mengirim surat kepada Abdul Malik bin Marwan yang mengadu tentang Al-Hajjaj.”
Isi surat Anas bin Malik adalah, “Seandainya seseorang pernah menjadi pembantu Isa bin Maryam atau melihatnya atau menemaninya, kemudian orang-orang Kristian mengenalinya atau mengetahui kedudukannya, nescaya raja-raja mereka bersedia bergerak untuk mendekatinya dan pastinya dia mempunyai kedudukan yang mulia dalam hati mereka.”
Seandainya, seseorang pernah menjadi pembantu Musa atau melihatnya atau menemaninya, kemudian orang-orang Yahudi mengenalinya, tentulah mereka memperlakukannya dengan baik, penuh cinta, dan sebagainya sesuai mengikut kemampuan mereka.
Aku ini adalah pembantu Rasulullah saw sekaligus sahabatnya. Aku pernah melihat beliau dan makan bersama beliau. Aku masuk ke dalam dan keluar dari rumahnya, serta berjuang bersamanya melawan musuh-musuhnya. Namun, Al-Hajjaj telah merugikanku dan melakukan ini dan itu.”
Seterusnya, Muhammad bin Az-Zubair menceritakan, “Orang yang menyaksikan memberitahuku bahawa Abdul Malik membaca surat tersebut sambil menangis. Khalifah sangat marah dan menghantar surat mengandungi teguran keras terhadap Al-Hajjaj.
Setibanya surat itu, Al-Hajjaj segera membacanya dan wajahnya menjadi pucat. Kepada si pembawa surat, Al-Hajjaj berkata, “Marilah ikut bersama kami untuk menemui Anas dan membuatnya bahagia.”
Menjaga Kebersihan para Pegawai
Selain itu, Abdul Malik bin Marwan sangat sedar dan serius dalam memastikan kebersihan para pegawainya daripada melakukan rasuah, meluruskan tingkah laku dan menjauhkan mereka daripada segala syubhat.
Khalifah Abdul Malik sentiasa berusaha menjadi orang pertama yang mengetahui berita para pegawainya, membongkar segala penyelewengan dan menilai pelakunya.
Al-Mas’udi meriwayatkan bahawa Abdul Malik mendapat maklumat bahawa salah seorang pegawainya menerima hadiah. Dia pun segera memanggilnya untuk menjelaskan.
“Adakah engkau menerima hadiah sejak pelantikanmu?”
Jawab pengawai itu, “ Wahai Amirul Mukminin, negerimu makmur, hartanya melimpah, dan rakyatmu dalam keadaan yang paling baik,” Abdul Malik memotong, “Jawablah pertanyaanku tadi! Adakah engkau menerima suatu hadiah sejak pelantikanmu?”
“Ya,” pegawai itu mengaku.
Abdul malik berkata, “Jika engkau menerimanya tanpa memberikan pampasan (ganti) apa-apa, itu bermakna engkau berakhlak rendah. Jika engkau memberi kepada pemberi hadiah sesuatu yang bukan hartamu sendiri, atau engkau memberinya sesuatu yang nilainya tidak sepadan, bererti engkau mengkhianati dan berlaku zalim. Engkau diberi jawatan apapun pasti itu tidak bebas dari keburukan moral, pengkhianatan, atau kebodohanmu yang dibuat-buat.”
Kemudian Abdul Malik memecat pegawai tersebut.
Abdul Malik bin Marwan tidak membiarkan sesiapa pun menjilatnya, memberi muka di hadapannya dan bersikap munafik. Abdul Malik pernah berkata kepada seseorang, “Waspadalah tiga hal dalam kata-katamu, jangan sampai engkau memperdayaku kerana aku lebih mengenal diriku daripada engkau. Ataupun membohongiku kerana pembohong tidak berhak memberi pendapat. Atau berusaha mempengaruhiku untuk menghukum seorang rakyat kerana mereka lebih dekat dengan keadilan dan kemaafanku daripada dengan kesewenang-wenangan dan kezalimanku.”
Sumber: Prof. Dr. Abdusysyafi Muhammad Abdul Lathif. Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Umayyah. Pustaka Al-Kautsar