Penulis: Ustaz Arief B. Iskandar
Imam Ali Zainal Abidin atau nama asalnya Ali bin al-Husain bin Ali bin Abi Thalib. Beliau adalah cicit Nabi Muhammad saw.. Neneknya adalah Fatimah az-Zahra binti Rasulullah saw.. Beliau kadang disebut sebagai Abu Husain atau Abu Muhammad (Muhammad Uwaydhah, Fashl al-Khithâb fi az-Zuhd wa ar-Raqâiq wa al-Adâb, 1/702).
Ali bin Al-Husain dilahirkan di Madinah pada 38 H/658-659 M menurut kebanyakan riwayat yang ada. Riwayat lain menyatakan beliau dilahirkan pada 15 Jamadilawal 36 H. Terkait ibunya, salah satu riwayat masyhur menyebutkan bahawa ibunya bernama Syahrbanu, puteri Yazdigird, kaisar terakhir Sasaniyah, Persia. Oleh kerana itu Ali Zainal Abidin dijuluki pula “Ibn al-Khiyaratayn”, iaitu “Anak dari Dua Orang Pilihan”, iaitu Quraisy di antara orang Arab dan Persia di antara orang non-Arab.
Ali bin Al-Husain dikenal dengan julukan “Zayn al-Abidîn” (Hiasan para Ahli Ibadah) kerana kemuliaan peribadi dan ketakwaannya. Beliau juga digelar dengan gelaran “As-Sajjâd” kerana begitu banyaknya beliau beribadah dan bersujud kepada Allah Swt., baik siang mahupun malam (Muhammad Uwaydhah, Fashl al-Khithâb, 1/702). Terkait ibadahnya, diriwayatkan bahawa sering setiap kali hendak menunaikan solat, wajahnya pucat dan badannya gementar. Saat ditanya, “Mengapa demikian?” Beliau menjawab, “Tidakkah engkau tahu, di hadapan siapa aku berdiri solat dan kepada siapa aku bermunajat?!” (Asy-Syarani, Thabaqât al-Kubrâ, 1/27).
Namun demikian, Ali Zainal Abidin juga pernah bertutur, “Ibadah orang merdeka itu tidak lain didorong oleh rasa syukur, bukan kerana takut dan harap.” (Asy-Syarani, Thabaqât al-Kubrâ, 1/27). Kerana itu sebagai bentuk rasa syukurnya, Ali bin Husain banyak beribadah setiap hari. Beliau juga tidak pernah meninggalkan solat malam, baik saat muqim ataupun dalam keadaan safar (Asy-Syarani, Thabaqât al-Kubrâ, 1/27).
Agung Akhlaknya
Imam Ali Zainal Abidin juga terkenal dengan keagungan akhlaknya. Sejak kecil Ali Zainal Abidin telah menghiasi dirinya dengan sifat-sifat terpuji. Keutamaan adab, ilmu dan ketakwaan telah menyatu dalam dirinya.
Di dalam Hilyah al-Awliyâ, Abu Nuaim menuturkan bahawa Sayyid Al-Musayib pernah ditanya oleh seseorang?” Menurut Anda siapa orang yang paling warak?” Sayyid Al-Musayyib balik bertanya, “Tahukah Anda Ali bin al-Husain?” Sungguh tidak ada yang lebih warak dari dirinya.” (Muhammad Uwaydhah, Fashl al-Khithâb, 1/702).
Terkait dengan keagungan akhlaknya, jika seseorang menjelek-jelekkan dirinya, misalnya, beliau tidak akan marah. Beliau akan segera mendatangi orang itu di rumahnya. Lalu dia akan berkata dengan baik, “Saudaraku, jika memang yang engkau katakan tentang aku itu benar, semoga Allah mengampuni diriku. Namun, jika apa yang engkau katakan tentang diriku batil, semoga Allah mengampunimu.” (Asy-Syarani, Thabaqât al-Kubrâ, 1/27). Dalam kisah lain disebutkan, suatu hari, ketika keluar dari masjid, seorang lelaki mencaci Imam Ali Zainal Abidin. Spontan orang-orang di sekitarnya berusaha memukul lelaki tersebut, tetapi Imam Ali Zainal Abidin mencegah mereka.
Lalu dia berkata kepada orang itu, “Apa yang engkau belum ketahui tentang diriku? Adakah engkau memerlukan sesuatu?” Mendengar ucapan lemah-lembut itu, orang itu merasa malu. Apalagi Imam Ali Zainal Abidin kemudian memberi dia wang 1000 dirham (sekitar RM1200). Seketika lelaki itu berkata, “Saya bersaksi, engkau benar-benar cicit Rasulullah saw.” (Asy-Syarani, Thabaqât al-Kubrâ, 1/28).
Meski Imam Ali Zainal Abidin didakwa sebagai salah seorang imam oleh kalangan Syiah, penghormatannya terhadap para sahabat Rasulullah saw. seperti Abu Bakar ash-Shiddiq, Umar bin Al-Khattab, dan yang lainnya luar biasa. Sikapnya ini tentu bertolak belakang dengan sebahagian kalangan Syiah yang amat anti dan bahkan membenci para sahabat Nabi saw. yang mulia, khususnya Abu Bakar dan Umar.
Terkait ini, diriwayatkan bahawa suatu saat dia menerima beberapa orang tetamu dari Irak. Mereka lalu membicarakan keburukan Abu Bakar, Umar, dan Uthman. Setelah mereka selesai bicara, Imam Ali Zainal Abidin bertanya,”Adakah kalian termasuk kaum Muhajirin yang di dalam Al-Quran surah Al-Hasyr ayat 8 dinyatakan: ‘Mereka yang diusir dari kampung halaman dan dipaksa meninggalkan harta benda mereka, hanya kerana mereka ingin memperoleh kurnia Allah dan keredhaan-Nya?’”
Mereka menjawab,”Bukan.” Dia bertanya lagi, “Adakah kalian termasuk kaum Ansar yang dinyatakan dalam Al-Quran surah Al-Hasyr ayat 97: ‘Mereka yang tinggal di Madinah dan telah mengimani Allah sebelum kedatangan kaum Muhajirin. Mereka itu mencintai dan bersikap kasih sayang kepada orang-orang yang datang berhijrah kepada mereka. Mereka juga tidak mementingkan diri sendiri dalam memberikan bantuan kepada kaum Muhajirin. Bahkan mereka lebih mengutamakan orang-orang yang hijrah daripada diri mereka sendiri, walaupun mereka berada dalam kesusahan?’”
Mereka menjawab,”Bukan.” Imam Ali Zainal Abidin lalu berkata, “Kalau begitu bererti kalian tidak termasuk ke dalam salah satu dari kedua golongan tersebut.” Selanjutnya Imam Ali Zainal Abidin berkata, “Aku bersaksi bahawa kalian bukanlah orang yang dimaksud dalam firman Allah: ‘Duhai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman.’ [TMQ Al-Hasyr (59): 10]. Oleh itu, keluarlah kalian dari rumahku, Allah murka kepada kalian.” (Muhammad Uwaydhah, Fashl al-Khithâb, 1/705).
Imam Ali Zainal Abidin dikenali sebagai orang yang amat ikhlas dalam beramal. Beliau sering menyembunyikan amal kebaikannya, misalnya, sering memikul tepung dan roti untuk diagihkan kepada keluarga-keluarga miskin di Madinah. Menurut Adz-Dzahabi dalam Siyar al-Alam an-Nubalâ, dia lakukan hal itu secara sembunyi-sembunyi pada malam hari, bahkan tanpa diketahui oleh mereka yang diberi.
Orang-orang miskin itu tidak pernah tahu siapa yang selama ini telah menghidupi mereka. Mereka baru tahu setelah tidak ada lagi yang mengirim gandum dan roti hampir setiap malam ke rumah-rumah mereka sejak Imam Ali Zainal Abidin wafat. Mengapa dia melakukan itu? Tidak lain kerana dia yakin dengan kata-katanya sendiri, “Sedekah di kegelapan malam dapat menghapuskan murka Allah Swt.” (Muhammad Uwaydhah, Fashl al-Khithâb, 1/711).
Ali Zainal Abidin juga termasuk ulama yang gemar melakukan amar makruf nahi mungkar. Terkait ini, dia pernah berkata, “Siapa saja yang meninggalkan amar makruf nahi mungkar, dia seperti melemparkan Al-Quran ke belakang badannya.” (Muhammad Uwaydhah, Fashl al-Khithâb, 1/709). Imam Ali Zainal Abidin wafat di Madinah pada 25 Muharram 95 H/713 M (dalam usia 57 tahun); ada pula yang menyatakan beliau wafat pada 25 Muharram 95 H. Beliau disemayamkan di Pekuburan Baqi’. Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh.