Definisi Taubat Nasuha
Istilah at-tawbah an-nashûha terbentuk daripada kata at-tawbah dan an-nashûha. Kata tawbah merupakan mashdar daripada kata: tâba–yatûbu–tawban wa tawbat[an] wa matâban.
Dari segi bahasa, definisi asalnya ialah ar-rujû’ atau ’âda (kembali). Al-Jauhari dalam Ash-Shihah fî al-Lughah mendefinisikan tawbah (taubat) sebagai ar-rujû’ min adz-dzanb (kembali daripada dosa). Dalam Al-Qâmûs al-Muhîth, al-Fairuz Abadi menyatakan bahawa tawbah adalah ar-rujû’ ’an al-ma’shiyah (kembali daripada kemaksiatan).
Selain itu, Ibnu Sayidih dalam Al-Mukhashish, menyebutkan asal kata tawbah ialah an-nadam (menyesal). Kata an-nashûha pula berasal daripada kata: nashaha–yanshahu–nushhan wa nashâhat[an]; yang maksudnya secara bahasa adalah nasihat, khalusa (murni/tulus).
Ibnu Kathir telah menyebutkan dalam tafsirnya; “Taubat nasuha ialah taubat yang benar dan tegas, yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan lalu, meleraikan kekusutan, seterusnya menghimpunkan dan menyucikan kotoran-kotoran dosa yang telah ia lakukan”. Malah, Umar RA, Ibnu Masud RA, Ubai Ibn Ka’ab RA menjelaskan bahawa, “Taubat nasuha bererti bertaubat daripada sesuatu dosa, serta tidak akan sekali-kali kembali melakukannya sepertimana tidak kembalinya susu ke dalam kantungnya!” Menurut Ibn Abbas dan al-Kalbi, taubat nasuha ialah menyesal dengan hati, istighfar dengan lisan, meninggalkan kemaksiatan dengan badan dan tekad untuk tidak mengulanginya.
Kewajipan Bertaubat
Firman Allah SWT, “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya. Mudah-mudahan Tuhan kalian menghapus kesalahan-kesalahan kalian dan memasukkan kalian ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai” [TMQ at-Tahrim (66): 8].
“Siapa saja yang tidak bertaubat, mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ al-Hujurat (49): 11].
Ayat – ayat di atas menunjukkan qarinah (indikasi) yang jelas dan ketegasan perintah untuk bertaubat. Antara qarînah itu adalah adanya perintah dalam ayat 8, Surah At-Tahrim, iaitu orang yang bertaubat akan dihapuskan kesalahannya dan dimasukkan ke dalam syurga. Sebaliknya pula, orang-orang yang tidak bertaubat dianggap sebagai orang yang zalim. Ini secara jelas menunjukkan bahawa perintah bertaubat kepada Allah adalah bersifat tegas sehingga hukumnya adalah wajib. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Aisyah RA,
“Hai Aisyah, jika engkau melakukan dosa maka mohon ampunlah kepada Allah, kerana sesungguhnya taubat daripada dosa adalah menyesal atasnya dan memohon ampunan” [HR Ahmad].
Syarat Taubat Nasuha
Saidina Ali bin Abi Thalib RA meriwayatkan bahawa taubat nasuha perlu menghimpunkan enam perkara: 1) menyesal atas dosa yang telah lalu; 2) kembali melaksanakan kewajipan; 3) menolak atau mengembalikan kezaliman (mengembalikan hak kepada yang berhak); 4) menyelesaikan persengketaan; 5) berazam tidak akan mengulangi; 6) menggiatkan diri dalam ketaatan. Imam an-Nawawi menjelaskan taubat nasuha mestilah memenuhi tiga rukun: meninggalkan kemaksiatan; menyesal telah melakukannya dan bertekad tidak akan mengulanginya.
Al-Asfahani menjelaskan kata al-tawb bererti meninggalkan dosa dengan bersungguh-sungguh. Secara syar’i, kata tersebut mengandungi empat perkara, yang merupakan syarat-syarat taubah iaitu: meninggalkan dosa kerana keburukannya, menyesali kelalaian yang telah dilakukan, bertekad untuk tidak mengulangi dosa lagi dan memperbaiki dengan amal.
Menurut para ulama juga, termasuk taubat nasuha adalah dengan mengajukan diri untuk dikenakan hukuman syar’i atas diri, baik hudûd, jinâyât ataupun ta’zîr. Hal itu seperti yang dilakukan Maiz al-Aslami dan al-Ghamidiyah. Rasul dalam riwayat yang ada menyatakan bahawa tindakan itu sebagai bentuk taubat nasuha daripada kedua-duanya.
Taubat Dan Kesannya
Berdasarkan definisi syara’ dan syarat-syarat taubat nasuha di atas, jelas bagi kita bahawa taubat nasuha bukanlah sekadar lafaz di bibir, tetapi ia adalah kesedaran yang mendalam dalam diri orang-orang yang bertaubat sehingga mereka akan bersungguh-sungguh memohon ampun, menyesali dosa-dosa yang mereka lakukan, malah membenci dan meninggalkan jauh-jauh kemaksiatan tersebut. Tidak dikatakan seseorang itu bertaubat hanya dengan mengatakan, “aku menyesali perbuatanku”, tetapi masih terus hidup bergelumang dengan kemaksiatan. Malah, sekiranya beliau melakukan pelbagai amal kebajikan lain untuk menebus dosa-dosanya, tetapi masih tidak meninggalkan perbuatan dosa yang diketahuinya, maka itu belum disebut sebagai taubat nasuha.
“Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah daripada orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan: “Sesungguhnya saya bertaubat sekarang”. Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan seksa yang pedih” [TMQ An-Nisa` (4): 17-18].
Imam Al-Ghazali, dalam kitab Ihya Ulumuddin menyebutkan bahawa taubat nasuha perlu disertakan dengan ilmu, hati dan amal. Ilmu berkenaan syariatullah, sehingga mereka mengetahui kezaliman dan kemaksiatan yang mereka lakukan sebagai dosa dan bakal menerima pembalasan di hari akhirat kelak. Hati yang menyedari tentang hubungannya sebagai hamba kepada Al-Khaliq (idrak sillah billah), sehingga muncul rasa ketakutan dan kehambaaan, rasa takut tetapi tetap berharap akan keampunan Rabbnya. Amal, yang membuktikan kesan daripada taubat nasuhanya iaitu meninggalkan kemaksiatan yang telah diketahui olehnya. Allah SWT berfirman,
“Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amal soleh, maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya” [TMQ al-Furqan (25): 70-71].
Rujukan:
Tafsîr al-Qurthubî
Min Muqawwimat Nafsiyah Islamiyah