Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Pemikiran Islam telah mengubah bangsa Arab dari suatu kondisi kepada kondisi yang lebih baik daripada sebelumnya. Pemikiran Islam juga telah melahirkan revolusi radikal dalam kehidupan mereka secara keseluruhan. Sebelumnya ini, mereka menyembah patung–dengan anggapan bahawa hal itu dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah, kemudian beralih kepada menyembah Allah sahaja.
Begitu juga, sebelum ini ikatan kesukuan (ar-rabithah al-qabiliyyah) menjadi pengikat antara satu sama lain. Kemudian ikatan itu berubah iaitu dengan menjadikan akidah Islam sebagai pengikat yang kuat antara mereka.
Demikian juga, sebelum ini, kepentingan peribadi dan suku menjadi tolok ukur dalam kehidupan mereka. Kemudian tolok ukur itu berubah, iaitu dengan menjadikan halal dan haram sebagai satu-satunya tolok ukur bagi mereka.
Pemikiran Islam telah memberikan mereka akhlak yang terpuji, seperti jujur dalam bercakap, menyambung silaturrahmi, dan berbuat baik kepada jiran.
Perubahan ini terbukti dalam perbincangan yang berlaku antara orang Islam yang telah berhijrah ke Habasyah dan Najasy apabila orang Quraisy mengutus Abdullah bin Abi Rabi’ah dan Amru bin al ‘Ash untuk menghantar pulang orang Islam (yang telah berhijrah). Ketika itu Najasy berkata kepada kaum muslimin yang berhijrah, “Apakah sebenarnya agama ini, yang telah memecah belah kaummu, sedangkan kamu juga tidak masuk ke dalam agamaku atau salah satu agama di antara ajaran yang ada (millah)?”
Maka Ja’far bin Abi Talib berkata, “Wahai Paduka, sesungguhnya kami dahulu adalah kaum yang penuh dengan kejahilan (jahiliah) dengan menyembah patung, memakan bangkai, berzina, memutuskan hubungan kerabat, berbuat jahat kepada jiran, menindas yang lemah. Begitulah kami. Hingga Allah mendatangkan kepada kami seorang Rasul dari kalangan kami yang kami ketahui nasabnya, jujur, amanah, dan kesuciannya (‘iffah).
“Dia datang menyeru kami untuk mengesakan Allah dan menyembah-Nya. Kemudian kami mencampakkan apa yang kami dan nenek moyang kami sembah selain Allah berupa batu dan berhala. Dia memerintahkan kami untuk berlaku jujur dalam berkata-kata, menunaikan amanah, menyambung tali persaudaraan, berbuat baik kepada jiran tetangga kami, menjauhi perkara yang dilarang, dan tidak menumpahkan darah sesama sendiri.”
“Dia juga melarang kami melakukan perbuatan keji (al-fawaahisy) dan perkataan keji (qawl uz zuur), memakan harta anak yatim, dan menuduh wanita yang baik berzina. Dia juga memerintahkan kami supaya menyembah Allah semata-mata dengan tidak menyekutukan sesuatu, solat, puasa, menunaikan zakat (sebuah riwayat menyebutkan hingga mencapai bilangan perkara yang diperintahkan Islam).
“Kemudian kami membenarkan dan beriman kepadanya, dan mengikuti apa yang baginda bawa dari Allah. Sehingga kami hanya menyembah Allah, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Kami mengharamkan apa yang diharamkan atas kami dan menghalalkan yang dihalalkan bagi kami.”
“Tetapi kaum kami memusuhi kami dan menyiksa kami, menimpakan ujian (fitnah) kepada kami agar kami menjauhi agama kami untuk memesongkan kami kepada penyembahan berhala setelah kami menyembah Allah. Dan supaya kami kembali menghalalkan apa yang dahulu pernah kami halalkan iaitu berupa barang-barang yang najis (al-khabaits).
“Apabila mereka memaksa kami dan menganiaya kami dan menyempitkan ruang kami, meletakkan sempadan antara kami dan agama kami, lalu kami keluar ke negeri tuanku. Tuankulah yang kami pilih di antara banyak yang ada. Kami amat berharap agar kami dapat berada di sisi tuanku dengan harapan kami tidak akan dizalimi sekiranya berada di sisi tuanku.”
Serta merta Najasy menyela, “Adakah kamu membawa sesuatu yang datang dari Allah?” Ja’far menjawab, “Benar.” Najasy melanjutkan, “Perdengarkan kepadaku!” Maka Ja’far pun membacakan surat, “Kaaf haa yaa ‘ayn shaad.” Demi Allah, ketika mereka mendengar, Najasy pun menangis hingga (air mata) membasahi janggutnya disertai cucuran air mata para agamawan yang membasahi mushaf yang ada di pangkuan mereka.
Kemudian Najasy berkata kepada mereka, “Sesungguhnya perkara ini (Islam–peny.) dan apa yang dibawa oleh Isa AS benar-benar keluar dari satu misykat (cahaya/sumber–peny.) yang sama. Maka pergilah kalian berdua. Sekali-kali tidak, demi Allah, aku tidak akan menyerahkan mereka (umat Islam) kepada kalian berdua, dan tidak akan membuat mereka terperdaya.” Demikian ucap Najasy kepada dua orang utusan Quraisy.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam