Ada ungkapan yang sangat masyhur di kalangan penduduk Madinah, “Sesiapa yang ingin mati syahid, maka berkahwinlah dengan Atikah binti Zaid.” Pada awalnya, Atikah berkahwin dengan Abdullah bin Abu Bakar yang kemudian gugur di medan perang. Lalu, dia berkahwin dengan Umar bin Khathab yang kemudian meninggal kerana dibunuh. Akhirnya, dia berkahwin dengan Zubair bin Al Awwam yang juga meninggal kerana dibunuh.
Atikah adalah seorang sahabat wanita mulia yang mempunyai banyak kemuliaan dan keistimewaan yang tidak mungkin dapat kita nyatakan dalam tulisan ini. Bagaimana tidak, dia adalah saudara kandung kepada Sa’id bin Zaid, salah seorang daripada 10 sahabat yang dijamin masuk syurga. Ibunya adalah Ummu Kuraiz binti Al-Hadhrami dan bapa saudaranya dari belah ibunya adalah Al-‘Ala’ bin Al-Hadhrami, seorang sahabat Rasulullah SAW yang sangat terkenal.
Mengenai Al-‘Ala’ ini, Abu Hurairah pernah berkata, “Aku menyaksikan tiga hal dari Al-‘Ala’, sehingga aku sangat mencintainya sepanjang hidupku. Dia pernah menyeberangi sungai besar dengan terus menunggang kuda dalam peristiwa perang Darain. Ketika sampai di Bahrain, dia berdoa kepada Allah, maka tiba-tiba air memancar dengan deras sehingga semua orang dapat minum sehingga puas. Pada ketika itu, ada seseorang yang terlupa dengan barangnya sehingga dia mencarinya terlebih dulu, tetapi ketika kembali, air telah habis.
Ketika dia meninggal dunia, kami tidak mempunyai air sedikit pun. Tiba-tiba Allah mengirimkan awan, lalu hujan lebat pun turun membasahi kami, sehingga kami dapat menggali lubang kuburnya dengan pedang-pedang kami. Kemudian, kami menguburkan jasadnya di dalam kubur yang dibuat tanpa liang lahad.”
Ibu saudaranya dari sebelah ibunya bernama Ash-Sha’bah binti Al – Hadhrami. Dia adalah ibu kepada Thalhah bin ‘Ubaidillah, salah seorang daripada 10 sahabat yang dijamin masuk syurga. Suami pertama Atikah adalah Abdullah bin Abu Bakar, anak sahabat Rasulullah SAW paling terkenal dan orang pertama daripada 10 sahabat yang dijamin masuk syurga. Setelah Abdullah syahid, dia berkahwin dengan Umar bin Khathab, salah seorang daripada 10 sahabat yang dijamin masuk syurga. Setelah Umar meninggal dunia, suami ketiga Atikah adalah Zubair bin Al-‘Awwam, salah seorang daripada 10 sahabat yang dijamin masuk syurga. Di kalangan orang Quraisy, Atikah dikenali kerana sangat fasih dalam berbahasa, menguasai ilmu sastera, pintar dan cantik.
Berkahwin dengan Abdullah bin Abu Bakar ra.
Abu Nu’aim meriwayatkan dari Aisyah ra bahawa Atikah adalah isteri Abdullah bin Abu Bakar As- Siddiq ra. Abu Umar menambahkan, “Atikah termasuk wanita-wanita yang berhijrah. Abdullah bin Abu Bakar As-Siddiq menikahinya. Dia adalah seorang wanita yang mempunyai rupa paras yang cantik sehingga Abdullah sangat mencintainya dan membuatkan Abdullah menjadi malas untuk terjun ke medan perang. Melihat keadaan ini, ayah Abdullah iaitu Abu Bakar, menyuruhnya agar menceraikan isterinya yang cantik itu. Maka, Abdullah berkata,
“Mereka menyuruhku menceraikan Atikah dan membiarkan aku terbawa-bawa dalam bayangan mimpi. Sesungguhnya menceraikan seorang isteri idaman, apatah lagi memiliki segalanya-galanya adalah musibah paling besar.”
Keluhannya ini tidak dihiraukan oleh ayahnya. Bahkan, Abu Bakar dengan tegas perintahkan agar anaknya segera menceraikan isterinya itu.
Dengan terpaksa, Abdullah menceraikannya tetapi dia tidak dapat menutupi kerinduan dan kecintaannya. Suatu hari, Abu Bakar mendengar anaknya melantunkan puisi,
“Aku tidak pernah melihat orang sebodoh diriku.
Yang sanggup menceraikan wanita seperti dirinya.
Aku juga tidak pernah melihat wanita sepertinya.
Yang diceraikan tanpa kesalahan atau dosa.”
Mendengar ungkapan yang sangat menyentuh hati itu, Abu Bakar pun merasa sedih sehingga dia mengizinkan anaknya rujuk kembali dengan Atikah. Dalam perkembangan berikutnya, ketika pasukan muslim mengepung kota Tha’if, Abdullah terkena anak panah yang membuatnya cedera parah dan akhirnya meninggal di Madinah.
Ketika itulah, giliran Atikah yang menangisi pemergian suami tercinta dengan melantunkan bait-bait puisi yang menyayat hati,
“Hari ini aku menangisi pemergian manusia terbaik.
Setelah Nabi dan Abu Bakar yang tidak pernah berhenti mencintai.
Aku bersumpah, air mataku tidak akan pernah berhenti.
Dan biarlah kulitku berselimut debu sepanjang masa.
Selama burung Atikah tetap menyanyi pilu.
Selama malam dan siang silih berganti.
Hanya Allah yang tahu.
Bahawa tidak ada pemuda yang setanding dengannya.
Selalu tampil gagah berani
Tidak pernah mengenal takut mati di medan jihad.
Jika kilatan pedang telah berkecamuk hebat
Dia menyambut kematian hingga tombak berubah merah kerana bersimbah darah.”
Perkahwinannya yang Penuh Berkat dengan Umar bin Khathab ra.
Setelah Abdullah bin Abu Bakar gugur sebagai syahid dan masa iddahnya telah berakhir, Umar bin Khathab melamar dan menikahinya. Dia mendapat kedudukan yang sangat dihormati di sisi sahabat agung ini dan banyak belajar dari kedalaman ilmu, kezuhudan dan kesederhanaan.
Yahya bin Abdurrahman bin Hathib mengatakan, “Atikah sangat mencintai Abdullah bin Abu Bakar dan begitu pula sebaliknya, sehingga Abdullah memberinya harta khusus dengan syarat Atikah tidak akan berkahwin lagi, jika dia meninggal dunia terlebih dahulu. Setelah Abdullah meninggal dunia, Umar mengutus seseorang kepada Atikah untuk menyampaikan pesanan, ‘Engkau telah mengharamkan sesuatu yang dihalalkan oleh Allah. Kembalikanlah harta yang engkau terima dari Abdullah kepada keluarganya.’ Atikah menuruti saranan Umar, lalu Umar melamar dan menikahinya.”
Abu Umar menyatakan dalam kitab At-Tamhiid, “Ketika Umar melamarnya, Atikah menerima dengan syarat Umar tidak boleh memukulnya, tidak melarangnya melakukan perkara yang benar, dan tidak menghalangnya jika ingin solat di Masjid Nabawi.”
Musa bin Uqbah meriwayatkan dari Salim bahawa ketika Atikah binti Zaid menjadi isteri Umar, dia selalu pergi ke Masjid Nabawi. Sebenarnya, Umar kurang setuju dengan kebiasaannya itu. Seseorang pernah mengingatkan Atikah tentang sikap Umar tersebut, akan tetapi Atikah menjawab, “Aku tidak akan meninggalkan kebiasaan ini kecuali jika Umar melarangku secara langsung.”
Kelihatannya, Umar juga merasa keberatan untuk melarangnya secara langsung. Setelah Umar meninggal dunia, Atikah berkahwin dengan seseorang yang melarangnya melakukan kebiasaannya itu. Aku bertanya kepada Salim, “Siapakah orang itu?” Salim menjawab, “Zubair bin Al– ‘Awwam.”
Perpisahan yang Menyayat hati
Dalam peristiwa Hajjatul Wada’ (Haji Perpisahan), Nabi SAW menyampaikan ucapan yang sangat penting di hadapan semua sahabatnya. Nampaknya, setelah melalui masa perjuangan yang begitu panjang dalam menyampaikan risalah Islam, Rasulullah SAW ingin menyampaikan nasihat-nasihat terakhir kepada para sahabat. Beliau merasakan bahawa tidak lama lagi, kelompok ini akan meneruskan perjalanan melintasi sahara kehidupan tanpa kehadirannya.
Oleh itu, beliau menyampaikan pesanan penting kepada umatnya seperti pesanan seorang ayah kepada anaknya yang akan pergi.
Beliau memberi nasihat agar mereka tetap berpegang teguh dengan kebenaran dan menyampaikan hal-hal yang berguna bagi mereka kelak. Itu adalah kebiasaan Nabi yang baik hati ini, setiap kali merasa khuatir syaitan akan meniupkan bisikan-bisikan jahat kepada manusia, beliau akan segera memberikan peringatan tajam dan nasihat yang menyentuh hati yang paling dalam.
Dalam kesempatan tersebut, beliau menyampaikan petunjuk dan ilmu, membatalkan perkara-perkara yang tidak memiliki dasar yang kuat dan meminta kesaksian dari semua sahabatnya bahawa mereka telah mendengar apa yang telah disampaikan.
Sudah 23 tahun Rasulullah SAW menghubungkan langit dengan bumi dan membacakan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada seluruh manusia, baik yang hidup bersamanya mahupun yang tinggal di pelosok negeri.
Beliau membersihkan noda-noda jahiliah yang telah merosakkan semua aspek kehidupan manusia dan mendidik generasi baru dari kalangan masyarakat Arab yang sangat memahami nilai-nilai kebenaran dan memahami batasannya.
Tidak lama setelah menunaikan Haji Wada, beliau jatuh sakit. Dan, hanya dalam beberapa hari, beliau menghadap Allah Azza wa Jalla. Berita sedih tersebut segera tersebar ke seluruh pelosok Madinah. Setiap orang tidak tahan mendengarnya dan hati mereka tidak dapat menanggung kesedihan. Semua umat Islam merasakan bahawa langit Madinah telah ditutupi dengan kegelapan yang sangat tebal, sehingga mereka kelihatan sangat bingung dan tidak mengerti apa yang harus dilakukan.
Ketika mendengar berita sedih tersebut, Umar bin Khathab berdiri (dia seperti kehilangan kesedaran) seraya berkata, “Sesungguhnya sekelompok orang munafik telah menyebarkan berita bahawa Rasulullah SAW telah wafat. Ketahuilah, sesungguhnya Rasulullah SAW tidak wafat, melainkan sedang menemui Tuhannya, seperti pernah dilakukan oleh Musa bin Imran. Dia meninggalkan kaumnya selama 40 hari, kemudian kembali lagi setelah kaumnya mengira dia telah mati. Demi Allah, Rasulullah SAW juga akan kembali lagi, lalu beliau akan memotong tangan dan kaki orang-orang yang menganggapnya telah meninggal dunia!”
Atikah sangat sedih dengan kewafatan Rasulullah SAW, sehingga hatinya pedih seperti dihiris sembilu. Dia mengungkapkan kesedihannya dalam beberapa bait puisi yang menyayat hati,
“Petang itu semua tunggangannya terasa kehilangan.
Kerana selama ini mereka dinaiki
oleh tuan yang paling baik hati.
Petang itu semuanya menangisi sang tuan.
Air mata meluncur deras tanpa henti.
Petang itu isteri-isterimu belum dapat menguasai diri.
Kerana kepiluan hati atas musibah terbesar agama ini.
Petang itu semua wajah kelihatan pucat lesi.
Seperti warna pedang yang tidak terpakai lagi.
Mereka merasakan kepedihan yang tidak terperi.
Hanya lubuk hati yang dapat mengukur bila akan berhenti.
Beliau adalah manusia utama dan junjungan pilihan.
Pembawa ajaran yang menghimpun segala kebenaran.
Apalah erti hidupku setelah Rasul pergi.
Pemergiaannya seakan telah menggiring kematianku sendiri.”
Sumber:
https://m.facebook.com/MuslimahNewsCom/posts/2239120392932430/