“Maimunah adalah wanita yang paling bertakwa dan paling kuat menjaga silaturahmi di antara kami.” (Aisyah ra.)
Garis Keturunan yang Dihormati
Sebelum menelusuri riwayat perjalanan hidupnya yang harum semerbak, mari kita berhenti sejenak untuk mengetahui latar belakang keluarganya yang sekelilingnya dihiasi dengan kemuliaan dan kehormatan. Suami Maimunah adalah manusia paling agung sepanjang zaman yang diutus oleh Allah SWT sebagai perwujudan kasih sayang kepada seluruh alam semesta, Muhammad bin Abdullah saw. Statusnya sebagai isteri beliau sudah cukup untuk menunjukkan keagungannya.
Saudara perempuannya ialah Ummul Fadhl binti Al-Harits, isteri Al-‘Abbas, bapa saudara Nabi saw, yang terkenal suka membantu jiran tetangga, menyantuni orang lemah, mudah berkorban harta, memberi pakaian kepada orang miskin dan memberi makan orang yang kelaparan.
Dengan demikian, Maimunah adalah ibu saudara (dari sebelah ibu) Abdullah Ibnu Abbas ra, ahli tafsir al-Quran yang mengisi dunia dengan ilmu dan pemahaman mendalam terhadap agama. Dia juga merupakan ibu saudara (dari sebelah ibu) Pedang Allah, Khalid bin Walid ra, yang menorehkan tinta emas dalam lembaran sejarah dan tidak dapat dilupakan oleh dunia sepanjang zaman.
Rasulullah saw pernah menyatakan, “Khalid bin Walid adalah pedang Allah yang dihunus oleh Allah untuk menghancurkan orang-orang musyrik.”
Berbesan dengan Orang-Orang Terbaik
Ada yang mengatakan bahawa Maimunah adalah wanita paling beruntung kerana mempunyai ikatan besan dengan orang yang terbaik. Dia sendiri adalah isteri Nabi saw Al’Abbas berkahwin dengan adik perempuannya yang bernama Lubabah. Hamzah berkahwin dengan seorang lagi adik perempuannya yang lain bernama Salma.
Jaafar bin Abu Thalib berkahwin dengan adik perempuannya yang lain iaitu Asma. Setelah Jaafar meninggal dunia, Asma berkahwin dengan Abu Bakar As-Siddiq, kemudian berkahwin dengan Ali bin Abu Thalib setelah Abu Bakar meninggal.
Tanah yang Subur
Ibunda kita, Maimunah ra, dibesarkan di tengah ladang yang sangat subur dan dalam keluarga yang penuh dengan keberkatan. Cahaya keimanan menyinari seluruh ceruk hatinya dan sendi-sendi tubuhnya. Dia tidak pernah bermimpi untuk tinggal di dalam salah satu istana paling megah di dunia ataupun dalam penuh kenikmatan kerana dia mengetahui dengan benar bahawa bagi Allah, dunia dan segala isinya tidak bermakna apa-apa walaupun hanya sebesar sayap lalat.
Dia yakin bahawa tempat sebesar pijakan tapak kaki orang mukmin di syurga jauh lebih baik daripada dunia dan segala isinya. Berdasarkan itu, wajar jika beliau termasuk wanita yang pertama kali memeluk agama Allah ‘azza wa jalla dan mendapat kesaksian dari Rasulullah saw sebagai orang yang beriman.
Cita-cita yang Tinggi
Sebelum memeluk Islam, Maimunah berkahwin dengan Mas’ud bin ‘Amr ats-Tsaqafi yang kemudian menceraikannya. Setelah itu, dia berkahwin dengan Abu Ruhm bin Abdul ‘Uzza tetapi kemudian dia meninggal dunia.
Selepas kematian suami keduanya, Maimunah ra mendapat firasat bahawa Allah ‘azza wa jalla akan mengurniakannya seorang suami yang akan menarik kedua tangannya untuk berjalan bersama menuju ke syurga dunia dan akhirat. Tetapi, siapakah suami yang penuh berkah itu?
Maimunah ra sama sekali tidak pernah terfikir bahawa dia akan menjadi salah seorang Ummul Mukminin sekaligus isteri dari manusia paling agung sepanjang zaman, namun catatan takdir terus mendekatkan dirinya sedikit demi sedikit kepada bayangan harapan tertinggi setiap wanita mukmin di seluruh alam semesta.
Ketika Rasulullah saw dan para sahabatnya datang ke Mekah untuk melaksanakan umrah pengganti (‘umratul qadhaa‘), terjadilah perkahwinan yang penuh berkah itu. Rasulullah saw mengahwini wanita yang penuh berkah Maimunah binti Al-Harits setelah selesai menunaikan ibadah umrah dan dalam perjalanan pulang ke Madinah.
Meriwayatkan Hadis Nabi saw, Imam Adz-Dzahabi berkata, “Maimunah termasuk tokoh wanita yang meriwayatkan sejumlah hadis. Beberapa orang yang meriwayatkan hadis daripadanya termasuklah Ibnu Abbas dan seorang anak lelaki dari saudara perempuannya yang lain, Abdullah bin Syaddad bin al-Haad, Ubaidullah bin As-Sabbaq, Abdurrahman bin As-Sa’ib al-Hilali dan Yazid bin Al-Asham serta seorang pembantu Ibnu Abbas yang bernama Kuraib. Begitu juga pembantu Maimunah sendiri yang bernama Sulaiman bin Yasar dan saudaranya, ‘Atha’ bin Yasar. Masih ada beberapa orang lagi yang meriwayatkan hadis daripadanya.”
Bagaimana beliau tidak mencapai darjat yang tinggi ini, sedangkan dia menghabiskan hari-harinya di bawah naungan Nabi saw dan mengambil ilmu terus dari sumbernya yang jelas tanpa perantaraan sesiapa pun. Beliau mendapat begitu banyak kebaikan daripada sumber tersebut.
Sudah Tiba Masanya untuk Berpisah
Selepas kewafatan Rasulullah saw, Maimunah tetap memegang teguh komitmennya sebagai ahli ibadah, selalu melakukan solat malam, berpuasa dan membaca al-Quran. Dia sangat rindu untuk segera bertemu dengan Allah ‘azza wa jalla, kerana yakin bahawa sesiapa yang merindukan pertemuan dengan Allah maka Allah akan rindu untuk bertemu dengannya.
Masanya telah tiba bagi Maimunah untuk meninggalkan dunia dan segala isinya yang fana untuk menghadap Tuhannya. Maimunah mengembuskan nafas terakhir setelah melalui zaman pemerintahan Khulafaur Rasyidin. Beliau sangat dihormati oleh khulafa dan ulama sepanjang hidupnya sehingga zaman pemerintahan Muawiyah ra.
Sebelum kematiannya, Maimunah ra teringat akan pesanan yang disampaikan oleh Rasulullah saw. Yazid bin Al-Asham ra berkata, “Maimunah, isteri Nabi merasakan sakitnya semakin memburuk ketika berada di Mekah. Ketika itu, tidak ada seorang pun dari anak-anak saudara lelakinya yang hadir. Dia berkata, ‘Bawalah aku keluar dari Mekah kerana Rasulullah saw pernah memberitahu kepadaku bahawa aku tidak akan meninggal di Mekah.’ Dia pun dibawa ke daerah Saraf, berhampiran sebatang pokok yang menjadi saksi malam pertamanya bersama Rasulullah saw kerana beliau membina khemah di bawahnya. Di situlah Maimunah mengehmbuskan nafas terakhirnya. Ketika kami meletakkan jasadnya di dalam liang kubur, aku melepaskan kain atasku lalu meletakkannya di bawah pipi Maimunah. Melihat perkara itu, Ibnu Abbas terus merampasnya dari tanganku dan membuangnya.”
Dalam riwayat lain, Yazid bin Al-Asham berkata, “Kami menguburkan jenazah Maimunah di Saraf, tepat di bawah pohon tempat dia melewati malam pertama bersama Rasulullah saw. Dia berada di sana kerana sedang melaksanakan ibadah haji. Akulah yang turun ke dalam kuburnya bersama Ibnu Abbas.” Atha’ berkata, “Maimunah meninggal di Saraf. Aku menemuinya bersama Ibnu Abbas, Ibnu Abbas berkata, “Jika kalian telah mengangkat kerandanya maka jangan biarkan tubuhnya bergoyang.”
Maimunah ra, meninggal dunia pada 51 Hijriah. Setelah dia meninggal, ‘Aisyah ra pernah menyanjungnya dengan sebuah kalimat peringatan yang tidak akan dilupakan oleh sejarah, “Demi Allah, Maimunah telah tiada.. Dia adalah orang yang paling bertakwa dan paling kuat menjaga silaturahmi di antara kami.”
Ibunda kita, Maimunah ra telah meninggalkan kita selama-lamanya untuk menyusul kekasih, suami sekaligus nabinya, Muhammad saw, di taman-taman indah yang dibelah oleh sungai, di tempat yang menyenangkan di sisi Allah yang Maha Kuasa.
Semoga Allah meredhainya dan membuatnya redha serta menjadikan syurga Firdaus sebagai tempat persinggahan terakhirnya. Wallahualam. [MNews/Has]
Sumber: Mahmud Al-Mishri. 2006. 35 Sirah Shahabiyah (35 Sahabat Wanita Rasulullah saw.). Jakarta: Al-I’tishom.