[Nafsiyah] Ciri Kaum Munafik, Diskriminasi terhadap Hukum Syarak
Penulis: Ustaz Rokhmat S. Labib, M.E.I.
Allah Swt. berfirman,
وَإِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ مُعْرِضُونَ (48) وَإِنْ يَكُنْ لَهُمُ الْحَقُّ يَأْتُوا إِلَيْهِ مُذْعِنِينَ (49) أَفِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ أَمِ ارْتَابُوا أَمْ يَخَافُونَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَرَسُولُهُ بَلْ أُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (50)
“Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya, agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian dari mereka menolak untuk datang. Namun jika keputusan itu untuk (kemaslahatan) mereka, mereka datang kepada rasul dengan patuh. Apakah (ketidakhadiran mereka itu kerana) dalam hati mereka ada penyakit. atau (kerana) mereka ragu-ragu, ataukah (kerana) takut kalau-kalau Allah dan rasul-Nya berlaku zalim kepada mereka? Sebenarnya, mereka itulah orang-orang yang zalim” [TMQ Al-Nur (4): 48-50]
Ayat ini memberitahukan di antara ciri orang-orang munafik. Menurut ayat ini, sikap dasar kaum munafik itu adalah menolak syariat. Ini dengan jelas dapat difahami dari ayat ini,
إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ مُعْرِضُونَ
“Dan apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya, agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, tiba-tiba sebahagian dari mereka menolak untuk datang. Ketika diajak untuk berhukum dengan hukum Allah Swt. dan rasul-Nya mereka berpaling. Mereka menolak.”
Jika suatu saat mereka terlihat bersedia tunduk terhadap keputusan syariat, bukan bererti mereka telah berubah sikap. Namun ketundukan mereka disebabkan kerana kesesuaian mereka dengan keputusan syariat. Sikap itu dijelaskan dalam ayat selanjutnya. Allah Swt. berfirman,
وَإِنْ يَكُنْ لَهُمُ الْحَقُّ يَأْتُوا إِلَيْهِ مُذْعِنِينَ
“Tetapi jika keputusan itu untuk [kemaslahatan] mereka, mereka datang kepada rasul dengan patuh.”
Kata لَهُمُ الْحَقُّ bererti hak buat mereka. Sementara kata مُذْعِنِينَ, menurut at-Thabari bererti tunduk kepada hukumnya, membenarkannya, dan tanpa paksaan. Al-Zujjaj, sebagaimana dikutip as-Syaukani, mengertikannya sebagai bersegera untuk taat.
Dengan demikian, frasa ini memberikan makna: apabila seruan kepada syariat itu menguntungkan mereka, maka mereka bersedia tunduk datang kepada Rasulullah ﷺ atau keputusan syariat.
Sebaliknya, demikian kata Ibnu Katsir, jika keputusan itu merugikan mereka, maka mereka segera berpaling dan mengajak kepada selain yang hak dan bertahkim kepada selain Rasulullah ﷺ. Hal itu disebabkan kerana ketundukan mereka tidak didasarkan kepada keyakinan bahawa keputusan syariat itu benar, namun kerana kesesuaiannya dengan hawa nafsu mereka. Sehingga jika keputusannya bertabrakan dengan hawa nafsunya, mereka menolak dan berpaling kepada yang lain.
Jelaslah bahawa menolak syariat merupakan sikap dasar kaum Munafik. Seandainya mereka mahu menerima, mereka akan diskriminasi. Ada hukum-hukum yang diterima dan ada yang ditolak. Penetapan atasnya ditentukan oleh selera hawa nafsu dan kepentingannya. Jika sesuai dengan selera hawa nafsu dan kepentingannya, mereka bersedia mengambilnya. Sebaliknya, jika bertentangan dengan selera dan kepentingannya, sudah pasti akan ditinggalkannya. Bahkan, tak menutup kemungkinan mereka mengecam dan menistakannya.
Sikap tersebut jelas berbeza dengan sikap kaum mukmin. Kaum mukmin tidak pernah menolak syariat, apa pun keputusannya. Adakah menguntungkan diri mereka atau tidak, mereka tetap tunduk dan patuh terhadapnya. Bagi mereka, ketetapan syariat pasti benar dan wajib diterima. Sikap itu digambarkan dalam firman Allah Swt.,
إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا
“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan.” “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [TMQ An-Nur (24): 51]
Hatinya Sakit, Ragu, atau Zalim
Penolakan mereka terhadap syariat itu muncul bukan tanpa sebab. Sikap itu disebabkan kerana dalam hati mereka terdapat penyakit. Allah Swt.,
أَفِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ
Adakah itu [kerana] dalam hati mereka ada penyakit?
Sebagaimana dinyatakan al-Baghawi, istifhâm atau kalimat tanya dalam ayat ini mengandungi makna celaan terhadap mereka. Ertinya, dalam hati mereka benar-benar dijangkiti penyakit.
Menurut al-Razi, penyakit di dalam hati mereka itu adalah kemunafikan. Keberadaan penyakit dalam hati kaum Munafik ini juga dikemukakan dalam beberapa ayat, seperti dalam firman Allah Swt.,
فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ
“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” [TMQ Al-Baqarah (2): 10]
Atau disebabkan oleh faktor lain:
أَمِ ارْتَابُوا
Atau [kerana] mereka ragu-ragu?
Termasuk menjadi penyebab sikap mereka adalah kerana ada keraguan dalam hati mereka. Terkait ini, juga diberitakan dalam firman Allah Swt.,
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ عَلَى حَرْفٍ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انْقَلَبَ عَلَى وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةَ ذَلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ
“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah ‘alâ harf (dengan berada di tepi); maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat.” [TMQ Al-Hajj (22): 11]
Makna frasa عَلَى حَرْفٍ (berada di tepi) dalam ayat ini menurut Mujahid adalah ‘alâ syakk (dalam keraguan).
Kemungkinan sebab lain,
أَمْ يَخَافُونَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَرَسُولُهُ
Ataukah [kerana] takut kalau-kalau Allah dan rasul-Nya berlaku zalim kepada mereka?
Ini juga menjadi penyebab perbezaan sikap mereka. Mereka amat takut jika keputusan syariat itu merugikan kepentingan mereka. Sebagai orang kafir, tentu saja banyak sekali selera mereka yang bertentangan dengan syariat.
Riba, zina, arak, rasuah, dan berbagai larangan syariat amat mungkin menjadi kegemaran mereka. Sebaliknya, solat, zakat, puasa, dakwah, jihad, dan berbagai kewajipan syariat lainnnya dirasakan mereka amat membebankan. Mereka juga menuduh semua ketetapan hukum itu menzalimi mereka; dan oleh sebab itu mereka pun menolak ketentuan itu.
Tuduhan itu jelas salah. Seluruh hukum-Nya pasti benar dan adil (lihat TMQ Al-An’am [6]: 115). Allah Swt. juga sama sekali tidak pernah menzalimi hamba-Nya (lihat TMQ Ali Imran [3]: 182, Al-Anfal [8]: 51). Jika demikian, maka sesungguhnya bukan Allah Taala dan Rasul-Nya yang zalim, namun merekalah yang justeru orang yang zalim. Allah Swt. berfirman: Bal ulâika hum al-zhâlimûn (sebenarnya, mereka itulah orang-orang yang zalim).
Sebagaimana ditegaskan dalam TMQ Al-Maidah [5]: 45, orang-orang yang tidak memutuskan perkara dengan apa yang diturunkan-Nya, adalah orang-orang zalim. Demikian juga kekafiran mereka. Sesungguhnya kemusyrikan adalah kezaliman yang amat besar (lihat TMQ Luqman [31]: 13).
Demikianlah karakter Munafik dan akibatnya. Semoga kita dijauhkan dari sifat tersebut. Wallahualam.
#nafsiyah #munafik #sikaporangmunafik