“Dunia Malam” para Kekasih Allah SWT
Menghidupkan malam dengan solat tahajjud, tilawah Al-Quran, berzikir, bermuhasabah dan amal ibadah lainnya, sesungguhnya merupakan “tradisi” yang hidup di kalangan salafus soleh. Sebagaimana ramainya di antara mereka melakukan amal kebajikan pada siang hari, “dunia malam” mereka juga tidak pernah sunyi dengan kegiatan ibadah dan amal soleh. Solat tahajjud adalah salah satu “kesibukan” mereka pada malam hari selain zikir, tilawah Al-Quran dan lain-lain. Ini kerana, solat malam diperintahkan langsung oleh Allah SWT di dalam Al-Quran kepada Rasulullah SAW [TMQ Al-Israa'(17): 79]
Bahkan, antara ayat-ayat yang pertama kali diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah perintah agar bangun malam untuk menunaikan solat malam, “Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.” [TMQ Al-Muzammil (73): 1-4]
Mengapa Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW untuk bangun dan menunaikan solat malam? Allah SWT menjawab pertanyaan ini dengan ayat berikutnya, “(Seyogialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).” [TMQ Al-Muzammil (73): 5]
Kerana itu, tidak hairanlah jika Sulaiman al-Halbi mengerjakan solat malam sebulan penuh di Masjid al-Azhar sebelum membunuh Cliber. Ketika mengerjakan solat, beliau berdoa kepada Allah SWT dengan penuh khusyuk agar diberi kemudahan dalam membunuh musuh Allah itu. Ketika itu, Sulaiman al-Halbi hanya memiliki satu pisau, tidak lebih. Benar saja, Allah SWT mengabulkan doanya. Sulaiman al-Halbi berjaya membunuh Cliber, Komander Perang Perancis terkenal yang kedudukannya di bawah Napoleon.
Kerana pemahamannya yang mendalam tentang Islam, Salahuddin Al-Ayyubi juga menyedari bahawa solat malam adalah salah satu kunci kemenangan kaum muslim atas musuh mereka. Kerana itu, beliau sering mengawal khemah anak buahnya setiap malam. Jika beliau melihat walau ada seorang yang tidak melakukan solat malam, beliau akan segera membangunkannya seraya berkata, “Saya khuatir jika kita diserang musuh malam ini, dari khemah ini!”
Begitulah Salahuddin Al-Ayyubi. Beliau menganggap bahawa tiadanya solat malam sebagai celah-celah yang lebih berbahaya daripada celahan yang ada pada benteng sehingga puak musuh boleh menyerang dari celah-celah tersebut.
Sejak permulaan jihad sehinggalah waktunya berjumpa dengan Sang Pencipta, Khalid bin Walid ra. dan kawan-kawannya sudah terbiasa mengerjakan solat malam berjam-jam dan membaca ayat-ayat Al-Quran. Beliau juga sering menangis sehingga para sahabatnya turut menangis. Siapa pun yang melihat mereka ketika itu akan berkata, “Khalid dan rakan-rakannya ibarat para malaikat dalam wujud manusia.” Barangkali inilah, selain sebab-sebab lain, faktor kejayaan jihad Khalid bin Walid ra. dalam setiap medan peperangan di jalan Allah SWT.
Kejayaan dalam menuntut ilmu juga akan lebih mudah diraih dengan mengerjakan solat malam. Kerana itulah Imam Ahmad bin Hanbal pernah memarahi salah seorang muridnya yang tidak terbiasa bangun dan mengerjakan solat malam. Beliau tidak mahu lagi mengajar muridnya itu.(Abul al-‘Ala al-Mihsri. Munthaliqat Thalib al-‘Ilmi, I/176)
Begitulah gambaran “dunia malam” para kekasih Allah. Semua ini kerana mereka menyedari tentang keutamaan dan keistimewaan solat malam. Kerana itu, benarlah kata-kata Khalifah Umar bin al-Khattab, “Jika aku banyak tidur pada malam hari, bererti aku telah mensia-siakan diriku. Jika aku tidur pada siang hari, bermaksud aku telah membiarkan rakyatku.”
Khalifah Umar bin al-Khattab memang dikenali sebagai salah seorang yang rajin mengerjakan solat malam. Sedangkan sebagai pemimpin negara, kesibukannya pasti sangat luar biasa. Begitu besarnya perhatian beliau terhadap solat malam sehingga ramai sahabat yang cuba mencontohi beliau.
Penerusnya, Khalifah Uthman bin Affan ra. juga tidak kurang hebatnya. Beliau juga sudah terbiasa melakukan solat malam. Bahkan, sempat mengkhatamkan Al-Quran hanya dalam satu malam. Kisah ini banyak diceritakan dalam hadis sahih.
Demikian juga dengan generasi para tabi’in, tabi’ at-tabi’in dan generasi salafus soleh setelah mereka. Tentu saja kisah-kisah berkenaan “dunia malam” mereka sangat penting untuk diceritakan pada generasi umat Islam masa kini agar menjadi inspirasi buat mereka semua. Kisah para salafus soleh ini banyak diceritakan dalam riwayat sahid dalam lintasan sejarah Islam. (Lebih jelas lihat: Ahmad Musthafa Qasim ath-Thahthawi, Layl ash-Shalihin wa Qashash al-‘Abidin, t.t. Kairo: Darul Fadhilah).
Jika kita melazimi malam-malam kita dengan amal ibadah, ini bermaksud kita telah menghidupkan salah satu tradisi yang dilakukan oleh generasi salafus soleh. Dengan itu, insya Allah kita juga boleh meraih apa yang telah diraih oleh generasi salafus soleh itu iaitu kedudukan terpuji di sisi-Nya baik di dunia mahupun di akhirat.
#Nafsiyah