[Fikrul Islam] Mukjizat
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Allah SWT mengutus Nabi Musa as kepada kaumnya dan kepada pemimpin mereka iaitu Firaun yang mendakwa dirinya sebagai tuhan. Di sekeliling Firaun terdapat ahli-ahli sihir yang selalu diminta bantuan oleh Firaun demi menegaskan keberadaannya sebagai Tuhan.
Mereka (ahli sihir) menipu manusia dengan sihir mereka, bahawa mereka mampu untuk mengubah tali dan tongkat menjadi ular. Oleh itu, Allah memberi mukjizat berupa tongkat kepada Nabi Musa as yang akhirnya mampu mengalahkan sihir mereka. Selanjutnya, para penyihir tersebut justeru menjadi orang-orang yang pertama beriman kepada Allah SWT dan kenabian Musa as.
Ini kerana sebenarnya mereka telah menyedari hakikat dari apa yang mereka lakukan selama ini (sebagai penyihir, penerj.). Selain itu, mereka akhirnya dapat membezakan antara sihir dengan hakikat dari suatu mukjizat. Dalam hal lain, mukjizat nabi Isa as, adalah kemampuan menghidupkan orang yang telah mati pada ketika ilmu kedoktoran masih belum maju.
Mengenai Nabi Muhamad saw, Allah SWT telah mengutus beliau kepada kaum yang memiliki ‘pasar-pasar’, yang di dalamnya mereka saling menonjolkan kefasihan (fashaahah) dan kejelasan (balaaghah) syair-syair mereka. Syair yang menang akan ditulis dengan tinta emas dan digantungkan pada Kaabah (sebagai markaz atau pusat kediaman tuhan-tuhan mereka sekaligus tempat paling suci bagi mereka).
Syair yang menang akan selalu menjadi bahan perbincangan dan kabilah yang menang akan berbangga-bangga dengan pujian. Namun, kemudian Allah SWT memberikan mukjizat kepada Nabi saw, dalam bentuk ungkapan bahasa Arab serupa dengan syair-syair yang dibanggakan oleh orang Arab. Malah, mukjizat itu menggunakan huruf dan lafaz-lafaz yang juga digunakan dalam syair-syair orang Arab. Mukjizat tersebut adalah al-Quran, kalam Allah yang sangat menakjubkan.
Apa Itu Mukjizat?
Mukjizat adalah pembuktian akan kelemahan (itsbaat ul ‘ajzi), iaitu perbuatan menyimpang dari adat kebiasaan dan menyalahi sunatullah (anzhimat ul wujuud) yang telah difahami oleh manusia. Contohnya, menghidupkan orang mati, menghilangkan khasiat dari suatu benda, seperti hilangnya khasiat api yang boleh membakar dalam kisah Nabi Ibrahim as dan mengeluarkan air yang boleh menenggelamkan orang-orang yang beriman kepada Nabi Musa as.
Tujuan Mukjizat
Tujuan mukjizat adalah agar manusia menyaksikan bahawa orang yang diberi mukjizat adalah Rasul Allah dan meyakinkan manusia bahawa apa yang dikatakan oleh Rasul adalah wahyu Allah.
Mukjizat Al-Quran
Al-Quran telah mencabar bangsa Arab dan seluruh manusia untuk mencipta sesuatu seperti al-Quran. Firman Allah SWT,
اَمْ يَقُوْلُوْنَ افْتَرٰىهُ ۗ قُلْ فَأْتُوْا بِسُوْرَةٍ مِّثْلِهٖ وَادْعُوْا مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِّنْ دُوْنِ اللّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِيْنَ
“Atau mereka berkata, ‘Dia (Muhammad) yang mengada-adakannya.’ Katakanlah, ‘Datangkanlah satu surat yang serupa dengannya dan panggillah orang yang sanggup (membantumu) selain Allah, jika memang Kami orang-orang yang benar.’ [TMQ Yunus(10): 38]
قُلْ لَّىِٕنِ اجْتَمَعَتِ الْاِنْسُ وَالْجِنُّ عَلٰٓى اَنْ يَّأْتُوْا بِمِثْلِ هٰذَا الْقُرْاٰنِ لَا يَأْتُوْنَ بِمِثْلِهٖ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيْرًا
“Katakanlah, ‘Jika sekiranya berkumpul manusia dan jin untuk mendatangkan yang serupa dengan al-Quran ini, mereka tidak akan sanggup mendatangkan yang serupa dengannya walaupun sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain saling tolong- menolong.” [TMQ Al-Israa(17): 88]
Demikianlah, mukjizat al-Quran ditujukan untuk semua manusia dan berlaku pada setiap masa.
#FikrulIslam
#Mukjizat
#WahyuAllah
#alQuran