[Fikrul Islam] Penyelewengan Pemikiran “Sirah Rasulullah Tidak Relevan untuk Diterapkan” (Bahagian 2)
Penulis: Ahmad Mahmud
Jemaah atau gerakan Islam mesti berhadapan dengan berbagai pemikiran yang salah dan pemahaman yang campur aduk. Jemaah atau gerakan Islam juga wajib menyerang berbagai tradisi dan kebiasaan yang bertentangan dari Islam dalam realitinya. Lebih dari itu, jemaah atau gerakan Islam juga wajib berhadapan dengan penguasa dan membongkar persekongkolan mereka; menjelaskan pemikiran Islam dan hukum-hukumnya; serta mengajak umat untuk menerapkan berbagai pemikiran dan hukum Islam tersebut, serta beraktiviti bersama-sama menegakkan Islam dalam kehidupan mereka.
Sebagaimana kita ketahui, Rasulullah saw. telah berjuang, sedangkan beliau tidak bersenjata, tidak ada kekuatan. Beliau tidak pernah pilih kasih, tidak mahu berjalan bersama dan tidak kompromi dengan orang-orang kafir, menolak segala rayuan dan janji-janji, menolak segala ancaman, sentiasa bersabar, dan tidak pernah menyimpang dari perintah Tuhannya. Al-Quran telah menceritakan kepada kita semua hal ini. Oleh kerana itu, perkara ini semestinya menjadi petunjuk bagi jemaah atau gerakan Islam di dalam menjalankan aktivitinya.
Allah telah menurunkan perintahnya kepada Rasulullah saw.,
فَٱصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ ٱلْمُشْرِكِينَ
“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik.” [TMQ Al-Hijr (15): 94]
Di dalam ayat tersebut, sesungguhnya terdapat isyarat dalalah bahawa sebelum turunnya ayat tersebut, Rasulullah saw. belum berdakwah secara terang-terangan, tetapi melakukannya secara rahsia dan sembunyi-sembunyi. Itulah yang dilakukan oleh beliau sebelum fasa dakwah secara terang-terangan.
وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ قُرْءَانًا عَرَبِيًّا لِّتُنذِرَ أُمَّ ٱلْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا
“Demikianlah Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya kamu memberi peringatan kepada ummulqura (penduduk Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) sekelilingnya.” [TMQ Asy-Syura (42): 7]
Ayat di atas mengandungi perintah kepada Rasulullah saw. untuk melakukan aktiviti dakwah di luar Mekah. Penyebutan Al-Quran tentang kaum Muhajirin dan Ansar merupakan dalil adanya hijrah dan pertolongan.
Dengan demikian, Al-Quran adalah petunjuk utama, selain itu, kitab-kitab hadis banyak sekali menceritakan berbagai berita tentang umat Islam pada masa Mekah. Imam Al Bukhari, misalnya, telah menyebutkannya di dalam bab, “Apa yang ditemui Nabi saw. dan para sahabat dari orang-orang musyrik di Mekah.”
Imam Al-Bukhari menyebut hadis Khabbab bin al-Arats. Di dalamnya disebutkan bahawa Al-Arats datang kepada Rasulullah saw. untuk meminta beliau berdoa agar Allah menolong umat Islam. Disebutkan juga doa Rasulullah atas para tokoh Quraisy serta gangguan yang paling keras yang diterima Rasulullah saw. dari kaumnya ketika pergi ke Thaif. Demikian juga di dalam beberapa kitab sirah yang lain.
Dengan demikian, kita tidaklah berada di hadapan suatu perbuatan yang dituntut untuk dilaksanakan oleh kita, sedangkan kita tidak memiliki nas-nasnya.
Perlu diketahui di sini bahawa para penulis sirah adalah para imam yang terpercaya, orang-orang yang adil, dan terkenal. Di antara mereka adalah sebagai berikut:
Ibnu Ishaq (85H-152H). Ia menulis buku Al-Maghazi. Buku ini dikomentari oleh Az-Zuhri dengan pernyataan, “Siapa saja yang ingin mempelajari peperangan yang dilakukan oleh Rasulullah saw. hendaklah membaca buku Ibnu Ishaq.” Tentang Ibnu Ishaq, Asy-Syafie juga berkomentar, “Siapa saja yang ingin mendalami peperangan yang dilakukan oleh Rasulullah saw., maka dia hendaklah menjadi sebahagian daripada keluarga Ibnu Ishaq.” Imam Al-Bukhari juga menyebut Ibnu Ishaq dalam Tarikh-nya.
Ibnu Sa’ad (168H-230H). Beliau menulis Ath-Thabaqat. Tentang Ibnu Sa’ad, Al-Khatib al-Baghdhadi berkomentar, “Muhammad Ibnu Sa’ad, menurut kami, adalah orang yang adil dan pembicaraannya menunjukkan kejujurannya. Sesungguhnya, beliau meneliti sebahagian besar periwayatan yang ditulisnya.” Ibnu Khillikan juga menyatakan, “Beliau adalah orang yang jujur dan terpercaya.” Ibnu Hajar juga berkomentar tentang Ibnu Sa’ad demikian, “Beliau adalah salah seorang penghafal (hafiz) yang hebat dan terpercaya serta peneliti.“
Ath-Thabari (224H-310H). Beliau menulis buku, Tarikh ar-Rusul wa al-Muluk, yang menggunakan metod sanad. Tentang Ath-Thabari, Al-Khatib al-Baghdadi berkomentar, “Beliau mengetahui banyak sunnah hadis dan jalur periwayatan sanadnya; mengetahui mana yang sahih dan mana yang dhaif, serta mengetahui sejarah manusia dan berbagai beritanya.” Umumnya, pembicaraan tentang Ath-Thabari menyebutkan bahawa dia telah menulis buku sejarahnya dengan metod para ahli hadis. Dia juga menulis buku Hadis yang berjudul, Tahdzib al-Atsar wa Tafshil ats-Tsabit ‘an ar-Rasulullah saw. min al-Akhbar. Tentang buku ini Ibnu ‘Asakir berkomentar demikian, “Sesungguhnya buku ini adalah salah satu buku yang mencengangkan. Ia membicarakan sejumlah hadis dari Rasulullah saw..“
Ibnu Katsir dan Adz-Dzahabi. Keduanya memiliki pengaruh yang besar dalam bidang hadis. [MNews/Rgl]
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam
#fikrulislam #pemikiran #dakwahislam #metoddakwah