Nasakh Ijmak dan Qiyas
Oleh: Ustaz Yahya Abdurrahman
نسَْخُ الإﺟِْﻤَاعِ وَالْقِيَاسِ
Nasakh Ijmak (Naskhu al-Ijmā‘) ialah pembatalan hukum yang difahami daripada ijmak. Yang dimaksudkan dengan ijmak di sini ialah Ijmak Sahabat. Ertinya, Nasakh Ijmak ialah seruan Asy-Syāri‘ (Pembuat hukum, iaitu Allah SWT) yang menghalang keberlangsungan hukum yang telah ditetapkan melalui Ijmak Sahabat.
Adapun Nasakh Qiyas (Naskhu al-Qiyās) ialah pembatalan hukum yang ditetapkan berdasarkan qiyas syar‘i. Ertinya, Nasakh Qiyas ialah seruan Asy-Syāri‘ yang menghalang keberlangsungan hukum yang telah ditetapkan melalui qiyas syar‘i.
Nasakh Ijmak
Imam al-Amidi (w. 631 H) menyatakan di dalam Al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm, bahawa para ulama ushul berbeza pendapat tentang kebolehan nasakh hukum yang ditetapkan dengan Ijmak. Majoriti menafikan kebolehannya. Sebahagian kecil menetapkan kebolehannya, yang terpilih adalah mazhab jumhur. Ertinya, Nasakh Ijmak adalah tidak boleh.
Menurut Imam asy-Syiraziy (w. 476 H) di dalam Al-Luma’ fî Ushûl al-Fiqhi dan Al-Khathib al-Baghdadi (w.) di dalam Al-Faqîh wa al-Mutafaqih, hal itu tidak boleh kerana Ijmak tidak ada kecuali setelah Rasulullah SAW wafat, sedangkan nasakh tidak boleh ada setelah beliau wafat.
Syeikh Atha‘ bin Khalil Abu ar-Rasytah di dalam Taysîr al-Qushûl ilâ al-Ushûl menjelaskan, “Tidak boleh nasakh hukum yang ditetapkan dengan Ijmak. Sebabnya, hukum yang ditetapkan dengan Ijmak bererti tidak adanya hadis yang diriwayatkan dalam masalah tersebut. Hanya sahaja, para Sahabat mengetahui hadis tersebut, tetapi mereka tidak meriwayatkan. Jadi, mereka menyebutkan hukum tanpa mereka riwayatkan hadis tersebut. Tidak ada nas berupa al Kitab atau as Sunnah setelah wahyu terputus (Rasulullah SAW wafat). Seterusnya, tidak ada Qiyas dan tidak ada Ijmak. Atas dasar itulah, maka tidak ada tempat untuk dinyatakan bahawa ada nas baru yang menasakh hukum yang ditetapkan dengan Ijmak.”
Imam Fakhruddin ar-Razi (w. 606 H) di dalam Al-Mahshûl, Imam al-Isnawi (w. 772 H) di dalam Nihâyah as-Sûl Syarhu Minhâj al-Wushûl dan Al-‘Allamah Taqiyuddin an-Nabhani di dalam Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah Jilid 3 menyatakan bahawa hukum yang ditetapkan dengan Ijmak tidak boleh dinasakh. Ini kerana Ijmak itu terjadi setelah Rasulullah SAW. Penasakhannya tidak lain dengan nas al Quran, as Sunnah, Ijmak atau al Qiyas. Penasakhan Ijmak dengan semua itu adalah batil.
Imam al-Amidi (w. 631 H) di dalam Al-Ihkâm fî Ushûl al-Ahkâm menjelaskan bahawa tidak boleh Nasakh Ijmak dengan nas (al Quran atau as Sunnah). Ini kerana nas (yang menjadi dasar Ijmak) tersebut ada pada zaman Nabi SAW dan mendahului Ijmak itu kerana mustahil ada nas setelah Rasulullah SAW wafat, sementara Ijmak terjadi setelah zaman Nabi SAW. Jika nas itu lebih dahulu ada atas Ijmak, nescaya Ijmak mereka yang menyalahi nas itu adalah salah. Ini tidak mungkin terjadi.
Imam al-Isnawi di dalam Nihâyah as-Sûl dan Al-‘Allamah Taqiyuddin an-Nabhani di dalam Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah Jilid 3 juga menjelaskan bahawa nas al Kitab atau as Sunnah itu lebih dulu ada sebelum Ijmak. Ini kerana semua nas itu diterima dari Nabi SAW, sementara Ijmak tidak terjadi pada zaman Nabi SAW. Ini disebabkan oleh, jika beliau tidak menyetujui, maka Ijmak tidak terjadi. Jika Nabi SAW menyetujui, maka sabda Nabi SAW atau persetujuan beliaulah yang merupakan hujah kerana bebasnya dalam memberikan faedah hukum. Jadi nas lebih dahulu atas Ijmak dan ketika itu maka mustahil nas (al-Kitab atau as-Sunnah) menjadi yang menasakh Ijmak.
Ijmak Sahabat tidak boleh dinasakh dengan Ijmak Sahabat lain. Imam al-Isnawi dan Al-‘Allamah Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan bahawa hal itu kerana mustahil terjadi Ijmak Sahabat menyalahi ijmak yang lain. Ini disebabkan oleh , seandainya itu terjadi, nescaya salah satu dari Ijmak Sahabat itu adalah salah. Sekiranya, Ijmak yang pertama, jika tidak bersumber dari dalil, maka jelas salah, kerana Ijmak Sahabat itu menyingkap adanya dalil. Sebaliknya, jika Ijmak yang pertama itu berasal dari dalil, maka Ijmak yang kedua adalah salah. Ini kerana Ijmak yang kedua itu tidak dinilai sebagai ijmak kerana terjadi dengan menyalahi dalil.
Imam asy-Syaukani (w. 1250 H) di dalam Irsyâd al-Fuhûl menjelaskan bahawa tidak mungkin Ijmak dinasakh oleh Ijmak lain. Ini kerana Ijmak kedua (yang menasakh), jika berdasarkan dalil, maka salah. Sebaliknya, jika tidak berdasarkan dalil, maka hal itu menescayakan Ijmak yang pertama adalah salah. Padahal Ijmak itu tidak salah. Dengan ini mustahil Ijmak itu me-nasakh Ijmak lainnya.
Adapun bahwa Ijmak tidak dinasakh dengan Qiyas, hal itu kerana Qiyas itu tidak boleh menyalahi Ijmak. Demikian sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Isnawi di dalam Nihâyah as-Sûl, Imam asy-Syaikani di dalam Irsyâd al-Fuhûl dan Al-‘Allamah Taqiyuddin an-Nabhabi di dalam Asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah Jilid 3. Ini kerana Qiyas adalah cabang untuk pokok. Jika datang dalil berupa al Kitab, as Sunnah atau Ijmak Sahabat yang menyalahi Qiyas, maka Qiyas ditinggalkan dan nas tersebut yang dikedepankan. Selama Qiyas tidak boleh menyalahi Ijmak, maka Ijmak tidak boleh dinasakh dengan Qiyas.
Al-Khathib al-Baghdadi (w. 463 H) di dalam Al-Faqîh wa al-Mutafaqqih menyatakan, tidak boleh Nasakh Ijmak dengan Qiyas. Ini kerana Qiyas sah jika tidak ditentang oleh nas. Sebaliknya, jika di situ ada nas yang menyalahi Qiyas, maka Qiyas itu tidak memiliki hukum sehingga tidak boleh ada nasakh dengan Qiyas.
Imam Fakhruddin ar-Razi (w. 606 H) di dalam Al-Mahshûl menjelaskan bahawa Nasakh Ijmak dengan Qiyas itu tidak boleh, kerana syarat kesahihan Qiyas adalah tidak ada Ijmak. Jika ada Ijmak, maka Qiyas itu tidak sah sehingga tidak boleh ada nasakh dengan Qiyas.
Selain itu, dalâlah hukum yang ditetapkan dengan Ijmak itu qath’ie. Adapun dalâlah hukum yang ditetapkan dengan Qiyas itu tidak qath’ie. Tentu sahaja, Qiyas yang dalâlah hukumnya tidak qath’ie tidak dapat menasakh Ijmak yang dalâlah hukumnya qath’ie.
Nasakh Qiyas
Hukum yang diistinbâth dengan Qiyas tidak boleh dinasakh. Hal itu kerana Qiyas, jika di-istinbâth dari hukum pokok (al ashlu), maka Qiyas itu tetap ada selama hukum pokok itu tetap ada. Jika hukum pokok itu hilang dan dinasakh, maka di situ tidak ada lagi Qiyas. Disebabkan itu , tidak terjadi Nasakh Qiyas sama sekali kerana tidak terbayang terjadi pencabutan hukum Qiyas jika hukum pokoknya masih tetap ada. Sebabnya, Qiyas yang mu’tabar adalah Qiyas yang ‘illatnya dinyatakan oleh nas berupa al Kitab atau as Sunnah, atau dinyatakan oleh Ijmak Sahabat. Jadi, pokok itu ‘illatnya telah ditetapkan dengan satu dari tiga nas tersebut (al Kitab, as Sunnah atau Ijmak Sahabat). Jika terjadi nasakh, maka kemungkinan itu terjadi pada hukum cabang dan tidak pada hukum pokok. Jika terjadi nasakh pada hukum cabang, sementara hukum pokok itu tetap ada, maka tidak terjadi nasakh atas Qiyas tersebut selama hukum pokoknya masih tetap ada. Jika nasakh itu terjadi pada hukum pokok, maka pada asasnya tidak ada Qiyas selama pokok tersebut telah dinasakh. Maka, di situ tidak ada Qiyas sehingga dikatakan bahawa itu nasakh. Apalagi nasakh , hukum pokok itu bukanlah nasakh atas hukum Qiyas tersebut, tetapi itu adalah nasakh atas hukum yang ditetapkan dengan al Kitab, as Sunnah atau Ijmak Sahabat yang menjadi pokok Qiyas itu. Ini bukan termasuk dari Qiyas tersebut. Atas dasar itu, maka tidak terjadi nasakh pada hukum Qiyas sama sekali. Hal itu seperti yang dijelaskan oleh Al-‘Allamah Taqiyuddin an-Nabhani di asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyyah Jilid 3.
Imam asy-Syiraziy (w. 476 H) di dalam Al-Luma’ fî Ushûl al-Fiqhi menjelaskan: “Demikian juga tidak boleh ada Nasakh Qiyas sebab Qiyas itu mengikuti hukum pokok. Jika hukum pokok itu ada, maka tidak boleh ada nasakh atas hukum yang mengikuti hukum pokok tersebut (iaitu cabang). Adapun jika ditetapkan hukum pada sesuatu dengan ‘illat dan atas hukumnya diqiyaskan yang lain, kemudian hukum pada sesuatu itu dinasakh, maka batallah hukum pada cabang yang diqiyaskan pada hukum tersebut.” Hal itu tidak dikatakan sebagai nasakh atas Qiyas, melainkan nasakh pada hukum pokok. Kerana hukum pokoknya dinasakh, iaitu ‘illatnya dinasakh, maka automatik Qiyas yang sebelumnya terjadi itu juga batal. Ini kerana, ‘illat yang menjadi sandaran kewujudannya dibatalkan, sementara kewujudan Qiyas itu bergantung pada kewujudan ‘illatnya.”
Syaikh Atha‘ bin Khalil Abu ar-Rasytah menjelaskan di dalam Taysîr al-Wushûl ilâ al-Ushûl bahawa tidak terjadi nasakh dalam hukum Qiyas sama sekali. Hal itu disebabkan oleh Qiyas yang mu’tabar adalah Qiyas yang ‘illatnya merupakan ‘illat syar’iyyah. Ertinya, sesuatu yang membangkitkan hukum—baik yang jelas (sharîhah), dalâlah, yang di-istinbâth (mustanbathat[an]) atau qiyâsiy[an]—maka ‘illat ini diambil dari dalil al Kitab, as Sunnah atau Ijmak Sahabat. Qiyas itu tetap ada selama dalil tersebut tetap ada. Jadi tidak terjadi nasakh pada hukum yang diistinbâth dengan Qiyas selama hukum pokoknya tetap wujud. Adapun jika terjadi nasakh atas hukum pokok tersebut, maka ketika itu tidak ada Qiyas kerana ‘illatnya telah hilang. Namun, dalam situasi ini nasakh tidak terjadi atas hukum Qiyas. Nasakh itu terjadi atas hukum yang ditetapkan dengan al Kitab, as Sunnah atau Ijmak Sahabat itu. Terhadap hal itu berlaku nasakh dari al Kitab, as Sunnah atau Ijmak Sahabat.
Dengan semua itu, jelas bahawa hukum yang ditetapkan dengan Qiyas tidak dinasakh.
Walâhu a’lam wa ahkam.
#Takrifat #Qiyas #NasakhIjmak