[Fikrul Islam] Pengumpulan dan Penginstitusian Al-Quran pada Masa Khalifah Uthman bin Affan ra.
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Imam Bukhari di dalam sahihnya telah meriwayatkan bahawa:
Pada saat pasukan Syam bersama pasukan Irak berperang membela dakwah agama Islam di Armenia dan Azerbaijan, Hudzaifah al-Yaman datang menghadap Khalifah Uthman bin Affan. Hudzaifah menyatakan kekhuatirannya tentang perbezaan bacaan Al-Quran di kalangan kaum muslim.
Kepada Uthman, Hudzaifah al-Yaman berkata, “Ya Amirul mukminin, persatukanlah segera umat ini sebelum mereka berselisih mengenai Kitabullah, sebagaimana yang terjadi di kalangan Yahudi dan Nasrani.”
Khalifah Uthman kemudian mengirim sepucuk surat kepada Hafshah dan di dalamnya menyatakan, “Kirimkanlah kepada kami mushaf agar kami dapat menyalinnya ke dalam mushaf, setelah itu akan kami kembalikan lagi kepadamu.”
Hafshah pun mengirimkan mushaf yang disimpannya kepada Uthman. Beliau ra. kemudian menugaskan Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Zubair, Sa’id bin Al-‘Ash, dan Abdurrahman bin Al-Harits bin Hisyam untuk menyalin mushaf yang dipinjam dari Hafshah menjadi beberapa naskah.
Uthman berpesan kepada ketiga orang Quraisy itu, “Apabila kalian berbeza pendapat mengenai sesuatu tentang Al-Quran, maka tulislah menurut dialek orang Quraisy, sebab Al-Quran itu diturunkan dengan dialek mereka.”
Mereka pun melaksanakan tugas itu dengan segera hingga berjaya menyalin mushaf menjadi beberapa naskah. Kemudian Uthman mengembalikan mushaf yang asli kepada Hafshah, sedangkan mushaf yang telah mereka salin dikirimkan ke seluruh wilayah. Kemudian khalifah memerintahkan untuk membakar setiap lembaran-lembaran atau mushaf lama yang berisi Al-Quran (lihat Sahih Al-Bukhari, Bab “Fadhail Al-Quran”).
Sebahagian besar ulama mengatakan bahawa tatkala Uthman menyalin mushaf, beliau membuatnya menjadi empat naskah kemudian dikirimkan ke tiap penjuru satu salinan, yakni Kuffah, Bashrah, dan Syam. Sedangkan satu naskah lagi dibiarkan berada di Madinah.
Namun, ada juga yang mengatakan bahawa beliau menyalinnya menjadi tujuh naskah lalu masing-masing dikirimkan ke Mekah, Yaman, dan Bahrain. Pendapat pertama adalah pendapat yang paling kuat.
Adapun mushaf Hafshah, telah dibakar oleh Marwan bin Al-Hakam setelah kematian Hafshah. Saat itu, mushaf Uthmani masih belum memiliki syakal dan titik. Perbaikan penulisan al-Quran sendiri tidaklah sempurna sekaligus, melainkan berlangsung secara bertahap dari satu generasi ke generasi hingga sampai pada puncaknya pada akhir abad ke-13 hijriah.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam
#fikrulislam #alquran #pengumpulanalquran