[Fikrul Islam] Memahami Syariat dan Sumber-Sumber Hukumnya
Penulis: Ahmad Mahmud
Setelah kita mampu memahami realiti apa adanya dengan perantaraan akal, kita juga perlu memahami penyelesaian syariat terhadap realiti yang dihadapi. Penyelesaian tersebut mesti digali dari dalil-dalil syariat. Dalam menyelesaikan realiti tersebut, kita tidak boleh memposisikan akal sebagai pemutus atau sebagai sumber hukum. Tugas akal hanya memahami penyelesaian yang terkandung di dalam dalil-dalil syariat.
Pemahaman terhadap syariat memerlukan pengetahuan berkenaan sejumlah sumber hukum yang menjadi sandaran bagi jemaah dalam menggali hukum syarak. Di samping itu, jemaah atau parti dakwah mesti mengetahui berbagai aturan usul yang akan menjadi sandaran pemahamannya terhadap hukum-hukum syariat, kerana dengan hukum-hukum syariatlah jemaah atau parti dakwah boleh melakukan perubahan terhadap realiti buruk yang sedang dihadapi.
Kemudian, jemaah atau parti dakwah perlu memberikan penjelasan yang benar, berdasarkan pandangannya berkenaan realiti yang hendak dituju dan dijadikan sasaran untuk mentransformasikan masyarakat ke arah realiti tersebut. Jemaah atau parti dakwah juga perlu memahami kaedah yang hendak ditempuhnya dalam proses ijtihad iaitu kaedah istidlal (penarikan dalil).
Tidak ada satu hukum pun yang tidak memiliki sumber hukum. Kita wajib mengambil terlebih dahulu sumber-sumber hukum sebelum melakukan penelusuran hukum dan meyakini hukum yang tegas atau pasti. Sebagaimana yang telah disepakati tanpa ada pertikaian pendapat, sumber utama bagi sistem hukum Islam adalah Al-Quran dan as-Sunnah.
Selain dari kedua-dua sumber tersebut, seperti ijmak, qiyas, istihsan, mazhab sahabat dan syariat umat-umat terdahulu sebelum kita (syar’u man qablana), memang masih terdapat perbezaan pendapat. Dalam hal ini, adanya usaha jemaah atau parti dakwah untuk mencari penerangan mengenai apa yang paling layak untuk dijadikan dalil syariat akan memberikan gambaran tentang perspektif jemaah di dalam mengambil hukum-hukum syariat.
Pengambilan sumber-sumber hukum selain Al-Quran dan as-Sunnah wajib bersandarkan pada dalil-dalil yang tegas atau pasti (qathie). Dengan kata lain, perlu adanya ketetapan secara tegas atau pasti di dalam Al-Quran dan Sunnah bahawa sumber-sumber hukum yang lain tersebut merupakan dalil-dalil syariat yang boleh dijadikan sebagai sumber hukum. Maksudnya, terdapat petunjuk atau ke’boleh’an yang meyakinkan dari Al-Quran dan as-Sunnah – sebagai dua sumber hukum Islam yang utama – untuk mengambil sumber hukum lain.
Pengambilan sumber-sumber syariat tidak cukup dengan sikap taklid. Alasannya, sumber-sumber ini merupakan permasalahan asas (kulliyat) yang pengambilannya perlu bersifat pasti, sedangkan sikap sasaran itu tidak mencapai darjat qathie.
Jika sumber-sumber syariat itu kita batasi, kita akan mengetahui dari sumber-sumber “mata air” mana jemaah/parti dakwah boleh minum dan dari sumber “mata air” mana yang tidak boleh diminum. Penentuan sumber-sumber syariat ini adalah sangat penting. Kerana, jika terdapat kesalahan dalam penentuan salah satu sumber hukum tersebut, tentunya hal itu akan mengakibatkan kesalahan dalam setiap hukum yang berkaitan dengan sumber tersebut. Penentuan sumber-sumber hukum wajib dilakukan sebelum menetapkan hukum-hukum syariat yang berkaitan dengan aktiviti jemaah atau parti dakwah.
Dengan demikian, tidak dapat diterima jika sampai ada jemaah atau parti dakwah yang mengemban risalah Islam tanpa disertai usaha untuk mengambil sumber-sumber syariat. Juga tidak dapat diterima jika ada jemaah/parti dakwah yanh mengambil semua sumber selain Al-Quran dan Sunnah termasuklah istihsan, mursalah, syar’u man qablana dan lain-lain dengan anggapan bahawa perkara itu akan membawa kebaikan yang banyak.
Sedangkan, yang terjadi adalah sebaliknya, pengambilan sumber-sumber hukum seperti itu justeru merupakan sebuah racun, tindakan pemalsuan dan kecelaruan. Tindakan ini akan mengakibatkan ketundukan hukum-hukum syariay terhadap realiti, akal, hawa nafsu, perasaan atau kemaslahatan. Dalam keadaan seperti ini, syariat menjadi “pelayan” bagi semua hal di atas dan bukan sebaliknya.
Jadi, pada dasarnya, sebuah jemaah atau parti dakwah perlu menentukan sumber-sumber hukumnya sebelum memberikan pendapatnya mengenai perubahan realiti yang ada. Jemaah atau parti dakwah juga perlu mengelak dari terpengaruh dengan realiti yang ada. Ia hanya boleh dipengaruhi oleh syariat semata dan juga penunjukan dalil yang pasti atau tegas dalam menetapkan atau menolak sumber-sumber hukum syariat.
Kemudian, sumber-sumber yang telah ditetapkan oleh jemaah atau parti dakwah menjadi aturan-aturan usul untuk dirinya. Dalam hal ini, pihak lain tidak semestinya perlu terikat dengan apa yang telah dia tetapkan untuk dirinya.
Yang perlu ada adalah berdialog dengan disertai hujah yang kuat serta meyakinkan terutamanya berkenaan apa yang memang merupakan sesuatu yang dipandang qathie menurut pandangannya dengan pihak lain mengenai aturan-aturan yang telah dia tetapkan. Tujuannya adalah dalam rangka untuk mengajak pihak lain agar mahu mengikuti langkahnya. Jika jemaah atau parti dakwah tidak melakukan perkara seperti ini, bererti dia telah mempersempitkan dirinya sendiri dan pihak-pihak lain.
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam
#FikrulIslam