[Soal Jawab] Bolehkah dalam Akad Nikah, Perempuan Mensyaratkan Suaminya untuk Tidak Akan Berpoligami?
Oleh: KH. M. Shiddiq al-Jawi
Soalan:
Ustaz, bolehkah pada saat akad nikah seorang perempuan mensyaratkan bahawa suaminya tidak akan berpoligami?
Jawapan:
Terdapat khilafiah di antara ulama mengenai boleh atau tidak seorang perempuan (atau walinya) menetapkan syarat bahawa suaminya tidak akan berpoligami, yakni menikah lagi dengan perempuan lain. Dalam masalah ini terdapat 2 pendapat;
Pertama, tidak membolehkan syarat tersebut. Ini pendapat ulama Hanafiyah, Malikiyah, Syafi’ieyah, dan Zhahiriyah. Ini juga pendapat sebahagian sahabat iaitu Ali bin Abi Thalib dan Ibnu ‘Abbas, juga sebahagian tabiin seperti Sa’id bin Al-Musayyab, Ibrahim An-Nakha’i, dan Hasan Basri.
Kedua, membolehkan syarat tersebut. Ini pendapat ulama Hanabilah, juga pendapat sebahagian sahabat seperti Umar bin Khattab, Ibnu Mas’ud, Sa’ad bin Abi Waqqash, dan pendapat sebahagian tabiin seperti Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Laits bin Sa’ad, Thawus, Az-Zuhri, Al-Auza’i, dan Sa’id bin Jubair. (Ibnu Qudamah, Al Mughni, VII/71; Ibnu Hazm, Al Muhalla, IX/491; Ibnul Qayyim, I’lamul Muwaqqi’in, I/316).
Setelah mengkaji dalil-dalilnya, pendapat yang rajih (lebih kuat) menurut kami adalah pendapat yang membolehkan syarat tersebut. Dalilnya antara lain sebagai berikut:
Pertama, hadis riwayat ‘Uqbah bin ‘Amir Al Juhni ra. bahawa Nabi saw. telah bersabda, “Sesungguhnya syarat yang paling berhak untuk kamu tunaikan, adalah syarat yang dengannya dapat menghalalkan farji-farji [syarat dalam akad nikah].” (HR Bukhari No. 4856 dan Muslim No. 1418).
Hadis ini secara umum menunjukkan bahawa syarat apa pun yang disepakati dalam akad nikah, wajib hukumnya untuk dipenuhi. Termasuk di dalamnya adalah syarat yang ditetapkan perempuan bahawa suaminya tidak akan berpoligami.
Kedua, hadis riwayat Al-Miswar bin Makhramah ra. bahawa Ali bin Abi Thalib ra. pernah akan mengkhitbah anak perempuan Abu Jahal (sebagai isteri kedua setelah Fatimah ra.). Hal ini kemudian dilaporkan oleh Fatimah ra. kepada ayahnya, yakni Nabi saw..
Maka, bersabdalah Nabi saw., “Sesungguhnya Fatimah adalah bahagian dariku, maka akan menyakitiku apa saja yang menyakiti dia, dan aku tidak akan senang jika keburukan menimpanya. Sesungguhnya Bani Hasyim bin Al Mughirah telah meminta izin untuk menikahkan anak perempuan mereka dengan Ali bin Abi Thalib, maka aku tidak mengizinkan. Sesungguhnya aku tidak mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram, tetapi tidak boleh berkumpul puteri Rasulullah saw. dan puteri musuh Allah selama-lamanya, kecuali jika Ali bin Abi Thalib menceraikan terlebih dahulu puteriku.”(HR Bukhari No. 3523 & 3556; Muslim No. 2449).
Hadis di atas menunjukkan bahawa tampaknya Rasulullah saw. sebelumnya telah mensyaratkan kepada Ali bin Abi Thalib saat akad nikah dengan Fatimah untuk tidak berpoligami, sebagaimana penjelasan para ulama seperti Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, Imam Badruddin Al-‘Aini, Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah, dan lain-lain. Dengan kata lain, hadis ini menunjukkan bolehnya seorang perempuan mensyaratkan dalam akad nikah bahawa suaminya tidak akan berpoligami.
Berdasarkan dalil-dalil seperti itulah, Imam Ibnu Qudamah menyatakan, “Jika disyaratkan bahawa suami tidak akan mengeluarkan isterinya dari rumahnya atau dari negerinya, atau tidak akan melakukan perjalanan dengan isterinya, atau tidak akan menikah lagi dengan perempuan lain di samping isterinya, maka suami wajib memenuhi syarat tersebut. Jika suami melanggar syarat itu, isteri berhak mem-fasakh (membatalkan) akad nikahnya.” (Ibnu Qudamah, Al Mughni, IX/483). Wallahualam. [MNews/Rgl]
#hukumfikh #akadnikah #syaratpernikahan #keluarga #soaljawab