Al-Quran Adalah Peringatan (Tafsir Surah Al-Muddassir (74): 55-56)
فَمَن شَآءَ ذَكَرَهُۥ ٥٥ وَمَا يَذۡكُرُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُۚ هُوَ أَهۡلُ ٱلتَّقۡوَىٰ وَأَهۡلُ ٱلۡمَغۡفِرَةِ ٥٦
“Sesiapa sahaja yang mahu, sudah tentu dia mengambil pengajaran daripadanya. Mereka tidak akan mengambil pengajaran dari al-Quran kecuali jika Allah menghendakinya. Dialah Tuhan yang wajib (kita) bertakwa kepada Dia dan Yang berhak memberi keampunan.” [TMQ Al-Muddassir (74): 55-56]
Tafsiran Ayat
Allah berfirman,
فَمَن شَآءَ ذَكَرَهُۥ ٥٥
“Sesiapa sahaja yang mahu, sudah tentu mengambil pengajaran daripadanya.”
Ayat ini dihubungkan dengan ayat sebelumnya dengan huruf al-fâ‘ yang merupakan harf ‘athf. Kemudian dilanjutkan dengan kata مَنْ (sesiapa sahaja), iaitu ism syarth yang boleh digunakan untuk yang berakal sama ada lelaki mahupun perempuan.
Kata شَاءَ (mahu, ingin) menjadi kata syaratnya. Kata tersebut termasuk muta’addiy (kata kerja transitif, yang memerlukan objek). Namun, dalam ayat ini maf’ûl atau objeknya tidak disebutkan. Dianggarkan objek yang dihilangkan itu adalah أَنْ يَذْكُرَهُ (mengingatnya).[1] Maksudnya, sesiapa sahaja yang mahu untuk menjadikan al-Quran sebagai peringatan.
Kemudian disebutkan: ذَكَرَهُ (tentu dia mengambil pengajaran daripadanya). Ini merupakan jawapan kepada syarat yang disebutkan sebelumnya. Sebagaimana dhamîr al-hâ‘ pada ayat sebelumnya: إِنَّهُ (sesungguhnya dia) merujuk kepada al-Quran.[2] Ertinya, nescaya dia akan mengingatnya. Menurut al-Qurthubi, al-Khazin dan lain-lain, maksudnya ialah: menjadikannya sebagai pengajaran.[3] Ertinya, dia akan mengambil al-Quran sebagai nasihat, lalu mengamalkan semua yang ada di dalamnya, baik perintah mahupun larangan-Nya.[4]
Dengan demikian ayat ini bermaksud: “Sesiapa sahaja yang menjadikan al-Quran sebagai pegajaran, maka kebaikannya akan kembali kepada dirinya.” [5]
Menurut Ibnu ‘Asyur, ayat ini menerangkan bahawa mengingati al-Quran berlaku apabila mereka ingin menjadikan al-Quran sebagai peringatan. Kehendak ini memerlukan adanya harapan yang melepaskan mereka daripada hukuman kerana adanya pelanggaran. Dalam hal ini, mereka tidak memiliki alasan untuk melalaikan atau mengabaikannya.[6]
Kemudian Allah SWT juga berfirman,
وَمَا يَذۡكُرُونَ إِلَّآ أَن يَشَآءَ ٱللَّهُۚ ٥٦
“Mereka tidak akan mengambil pengajaran daripadanya (al-Quran) kecuali (jika) Allah menghendakinya.”
Kata مَا merupakan nâfiyyah. Kemudian diiringi dengan kata إِلَّا merupakan harf istitsnâ‘. Frasa ini untuk menunjukkan pengecualian dari perkara umum yang disebutkan sebelumnya.[7] Susunan nafiyy yang disertai dengan istitsnâ‘ memberikan makna al-hasyr atau qashr (pembatasan). Justeru, ayat ini memberitahukan bahawa mereka sama sekali tidak boleh mengingati al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai pengajaran kecuali Allah SWT menghendakinya.
Al-Qurthubi berkata, “Ertinya, tidak ada seorang pun yang mampu menjadikan al-Quran sebagai nasihat dan peringatan kecuali dengan kehendak Allah SWT yang menghendaki mereka.”[8]
Menurut Ibnu Jarir ath-Thabari, maksudnya: “Mereka tidak mengingati al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai nasihat serta mengamalkan isinya kecuali dikehendaki Allah SWT untuk mengingatinya. Ini kerana tidak ada seorang pun memiliki kemampuan terhadap sesuatu kecuali dengan kehendak Allah SWT yang berkuasa atasnya dan memberikan kemampuan kepadanya.”[9]
Secara umumnya para qurrâ‘, seperti Abu Ja’far, Al-A’masy, Thalhah, Isa dan Al-A’raj membaca ayat ini dengan al-yâ: يَذْكُرُونَ (mereka mengingat). Adapun Nafi’, Salam, Ya’qub dan Abu Hatim membacanya dengan tâ‘ al-khithâb: تَذْكُرُونَ (kalian mengingat).[10]
Ayat ini mengingatkan bahawa tidak ada satu pun yang terjadi di alam semesta ini kecuali berada dalam kekuasaan Allah SWT. Oleh itu, mereka tidak dapat mengingati al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai pengajaran kecuali kerana kehendak Allah SWT.[11]
Kemudian diakhiri dengan firman-Nya,
هُوَ أَهۡلُ ٱلتَّقۡوَىٰ وَأَهۡلُ ٱلۡمَغۡفِرَةِ ٥٦
“Dialah Tuhan yang wajib (kita) bertakwa kepada-Nya dan yang berhak memberi keampunan.”
Dhamîr al-ghâib هُوَ kembali kepada Allah SWT.[12] Disebutkan dalam ayat ini bahawa Allah adalah أَهْلُ التَّقْوَى. Kata أَهْلُ, pada asalnya bererti مُلَازِمُ الشَّيْءِ (yang menyertai sesuatu) baik kerana kekhususannya, kerabatnya dan isterinya (Lihat: QS Hud [11]: 81).
Adapun kata التَّقْوَى merupakan bentuk mashdar yang bermaksud al-mabni al-maf’ûl.[13] Maknanya, yang menjadi objek takwa, iaitu yang ditakuti atau Zat Yang selayaknya manusia bertakwa kepada-Nya. Makna itu juga yang terkandung dalam ayat ini.
Ibnu Jarir al-Thabari berkata, “Allah SWT berhak ditakuti seksa-Nya disebabkan maksiat yang mereka lakukan sehingga mereka meninggalkan maksiat kepada-Nya dan bersegera taat (kepada-Nya).”[14]
Al-Harari juga berkata, “Dialah sebenarnya orang-orang muttaqin yang mesti bertakwa kepada-Nya dengan meninggalkan kemaksiatan kepada-Nya dan mengerjakan ketaatan kepada-Nya.” Dengan kata lain, “Dialah yang berhak ditakuti seksa-Nya, diimani dan ditaati.”[15]
Penjelasan yang sama dengan pelbagai redaksi yang berbeza-beza juga dikemukakan oleh para mufassir lain seperti Ibnu Katsir, Al-Alusi, Al-Khazin, Al-Zuhaili, Ash-Shabuni, dan lain-lain.[16]
Lalu disebutkan bahawa Allah SWT juga أَهْلُ الْمَغْفِرَ. Makna kata أَهْلُ di sini tak berbeza dengan sebelumnya, iaitu mustahiqq (yang berhak). Kata الْمَغْفِرَة merupakan bentuk mashdar yang bermakna al-mabni al-fâ’il.[17] Ertinya, yang mengampuni dosa.
Ibnu Jarir al-Thabari berkata, “Dia mengampuni dosa mereka jika mereka mengerjakannya. Tidak menghukum mereka atas dosa-dosa tersebut apabila mereka bertaubat daripadanya.” [18]
Asy-Syaukani berkata, “Ertinya, Dialah sebenarnya yang berhak mengampuni orang-orang yang beriman dari dosa-dosa yang terlanjur mereka lakukan, dan Dialah sebenarnya yang berhak menerima taubat dari pelaku maksiat orang-orang yang bertaubat kepada-Nya dan mengampuni dosa-dosa mereka.”[19]
Abdurahma as-Sa’di juga berkata, “Dia berhak untuk memberikan keampunan kepada sesiapa sahaja yang bertakwa kepada-Nya dan mencari redha-Nya.”[20]
Penjelasan yang sama juga dikemukakan oleh para mufassir yang lain seperti Ibnu Katsir, Al-Alusi, Al-Khazin, Az-Zuhaili, Al-Harari, Ash-Shabuni, dan lain-lain.[21]
Pentafsiran tersebut dikuatkan dengan hadis dan dari Anas bin Malik bahawa Nabi Muhammad saw bersabda,
قَالَ الله عَزَّ وَجَلَّ أنَا أَهْلٌ أَنْ أُتَّقَى فَمَنِ اتَّقَانىِ فَلَم يَجْعَلْ مَعِى إِلهَاً فَأَنَا أَهْلٌ أَنْ أَغْفِرَ لَهُ
Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, “Aku adalah Zat Yang harus ditakuti (dijadikan objek takwa). Sesiapa sahaja yang takut untuk menjadikan tuhan lain bersama-Ku maka Aku akan mengampuni dia.” (Ahmad, al-Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Nasa’i).[22]
Menurut Ibnu ‘Asyur, ayat tersebut juga dapat difahami sebagai ungkapan untuk mendorong orang-orang musyrik agar meninggalkan kekufuran. Kerana, Allah SWT akan mengampuni mereka atas apa yang mereka kerjakan pada masa lalu (QS Al-Anfal [8]: 38). Juga mendorong pelaku maksiat untuk meninggalkan perbuatan dosa mereka (QS Al-Anfal [39]: 53).[23]
Beberapa Pengajaran Penting
Dalam ayat-ayat ini terdapat banyak pengajaran penting. Antaranya, pertama, kehendak Allah SWT meliputi segala sesuatu. Seperti yang dijelaskan sebelumnya, ayat ini memastikan bahawa tidak ada yang terjadi di alam semesta kecuali dengan izin dan kehendak-Nya. Perkara yang sama juga diberitakan dalam firman Allah yang lain (QS Al-Insan [76]: 30).24
Antara kehendak Allah SWT adalah memberikan kemudahan dan pertolongan-Nya bagi orang yang mahu mengingati al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai nasihat dan pengajaran. Mereka yang bersikap demikian akan diberi taufik untuk mengingati dan mengamalkan kandungannya (QS Al-An’am [6]: 125), iaitu memudahkan jalan bagi dirinya untuk memeluk Islam, memberinya semangat dan melancarkannya untuk memeluknya. Hal ini merupakan alamat kebaikan bagi orang yang berkenaan.
Perkara yang sama dengan maksud yang terkandung dalam ayat lain (QS Az-Zumar [39]: 22; QS Al-Hujurat [49]: 7).[25]
Kedua, hanya Allah SWT yang layak ditaati dan ditakuti. Allah SWT adalah Tuhan satu-satunya yang berhak disembah. Dialah Yang menciptakan dan menghidupkan manusia. Dia juga Yang memberikan semua kenikmatan yang ada pada manusia. Hanya kepada Allah SWT manusia akan dikembalikan setelah kematian mereka. Allah SWT juga memiliki syurga dan neraka. Sudah semestinya manusia hanya perlu bertakwa kepada Allah SWT, tunduk, dan patuh kepada syariat-Nya secara kaffah.
Selain ayat ini, hal ini juga dijelaskan oleh banyak ayat lain (Lihat, misalnya: QS Al-Baqarah [2]: 41; QS An-Nahl [16]: 2).
Dia juga yang berhak memberikan keampunan kepada hamba-Nya yang terlanjur melakukan dosa. Allah SWT yang berhak membuat undang-undang dan peraturan, memberikan pahala kepada yang mentaati hukum-Nya dan memberikan dosa kepada yang melanggarnya. Dia juga Yang berhak mengampuni sesiapa pun yang terlanjur melakukan dosa dan maksiat kepada-Nya. Tidak ada yang lain (Lihat: QS Ali Imran [3]: 135).
Ini bermakna, tidak ada seorang pun yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Allah. Ini sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dari Al-Aswad ibnu Sari’,
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتي بِأَسِيرٍ، فَقَال: اللَّهْمُ إِنِيّ أَتُوبُ إِلَيْكَ وَلاَ أَتُوبُ إِلَى مُحَمَّدٍ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَرَفَ الْحَقَّ لِأَهْلِهِ
Seorang tawanan pernah dihadapkan kepada Nabi saw, lalu tawanan itu berkata, “Ya Allah, sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan tidak akan bertaubat kepada Muhammad.” Maka Nabi saw bersabda, “Dia telah mengetahui hak itu kepada pemiliknya (iaitu Allah).”[26]
Allah juga memerintahkan manusia untuk memohon ampun dan bertaubat kepada-Nya (QS Hud [11]: 3). Dia juga menjanjikan akan mengampuni semua dosa hamba-Nya (lihat QS Hud [11]: 3).
Dengan demikian, tidak ada alasan bagi manusia untuk segera memohon ampun atas dosa-dosanya kepada Allah dan segera bertaubat kepada-Nya. Ini kerana hanya Dia yang boleh dan berhak mengampuni dosa-dosa manusia. Wallahualam bissawab.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2022/08/30/10694/
#TafsirAlQuran
#alQuranSebagaiPeringatan
#PengajaranKepadaManusia
#SebagaiNasihat
#Bertaubat
#SegeraTaat