Pelbagai Tipu Daya pada Zaman Fitnah
Allah menuntut kita untuk memahami keadaan ini. Ada beberapa indikator yang boleh kita ketahui berkenaan zaman fitnah yang sedang dihadapi sekarang.
Pertama, terjadi kekeliruan antara yang hak dan batil. Firman Allah Taala, “Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (umat Islam) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan berlaku kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” [TMQ Al-Anfal(8): 73]
Umat Islam benar-benar sukar untuk mengetahui suatu kebenaran. Bahkan Rasul mengatakan, “Bersegeralah melakukan amalan soleh sebelum datang fitnah (musibah) seperti potongan malam yang gelap. Iaitu seseorang pada waktu pagi dalam keadaan beriman dan pada petang hari dalam keadaan kafir. Ada juga yang waktu petang dalam keadaan beriman dan waktu pagi dalam keadaan kafir. Dia menjual agamanya dengan sedikit keuntungan dunia.” (HR Muslim no. 118)
Abdullah bin Mas’ud juga pernah berkata, “Kamu akan menjumpai banyak kelompok pada suatu zaman nanti. Mereka semua akan mengatakan satu sama lain, ini kitabullah dan ini sunnah. Padahal mereka sebenarnya telah membuang kitabullah dan sunnah di belakang punggung mereka.
Kedua, terdapat banyak kesyirikan dan kekufuran di mana-mana. Firman Allah Taala, “Dan perangilah mereka itu sampai tidak ada lagi fitnah dan agama hanya bagi Allah semata-mata. Jika mereka berhenti maka tidak ada lagi permusuhan kecuali terhadap orang-orang zalim.” [TMQ Al-Baqarah(2): 193]
Ketika ini umat Islam dikelilingi dengan pelbagai idea kufur dan kesyirikan. Idea kufur yang meliputi umat Islam datang dari sistem demokrasi kapitalistik yang menyuburkan pelbagai isme sesat. Sekularisme, pluralisme, liberalisme, hedonisme, sinkretisme, dll. Malah semua isme tersebut disuarakan oleh pemimpin negara Islam.
Sesungguhnya, idea-idea ini sangat berbahaya bagi akidah umat Islam. Apabila umat Islam “bodoh” tentang akidah, maka mudah sekali bagi umat dibodohi secara sistematik.
Ketiga, umat sukar bersatu dan suka berselisih pendapat sesama mereka. Allah berfirman dalam surah At-Taubah ayat 47, “Jika (mereka berangkat bersamamu), nescaya mereka tidak akan menambah kekuatanmu, malah hanya akan membuat kekacauan dan mereka tentu bergegas maju ke depan di celah-celah barisanmu untuk mengadakan kekacauan di barisanmu, sedang di antara kamu ada orang-orang yang sangat suka mendengar perkataan mereka.”
Umat Islam mudah berselisih kerana berbeza guru atau ustaz yang mengajar mereka. Akhirnya, mereka saling memusuhi dan menyesatkan kelompok lain. Taklid buta berlaku kepada sesiapa sahaja. Padahal berbeza pendapat merupakan hal yang wajar asalkan bukan perkara hukum syarak.
Jangan terus menuduh sesama Islam yang mengakibatkan permusuhan. Seperti yang dilakukan oleh orang Khawarij, mereka memerangi umat Islam, tetapi membiarkan orang kafir dan musyrik menyebarkan kesesatan mereka di mana-mana.
Keempat, zaman fitnah yang penuh cabaran dan ujian yang berat. Firman Allah Taala, “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ dan mereka tidak diuji? Tidak, malah setiap orang beriman mesti diuji lebih dahulu, supaya dapat diketahui sejauh mana mereka bersabar dan bertahan menerima ujian tersebut.” [TMQ Al-Ankabut(29): 2]
Menegakkan kebenaran mempunyai akibat yang serius. Salah satunya yang pernah dialami oleh Ibnu Taimiyah ketika dipenjarakan oleh rejim yang memusuhi ulama yang menyuarakan kebenaran Islam. Dia pernah berkata, “Apa yang akan dilakukan oleh musuh-musuh kepadaku? Jika aku dipenjara, maka penjara adalah tempat untuk berkhalwat (beribadah kepada Allah). Jika diasingkan, maka pengasingan adalah tempat bersiar-siar. Jika aku dibunuh, maka kematian adalah jalanku menuju syahid.”
Kata-kata beliau menunjukkan kesungguhan dan keteguhan dalam menyampaikan serta menegakkan kebenaran. Menegakkan kebenaran bukan perkara mudah, tidak semudah membalikkan tapak tangan. Namun, hal ini tidak seharusnya menghalang kita untuk terus menyampaikan kebenaran.
Menyampaikan kebenaran merupakan kewajipan yang datang dari Allah Taala. Jika kita mengingkarinya, sudah tentu akan mendapat dosa dan dibalas dengan seksa-Nya. Menyampaikan kebenaran merupakan salah satu prasyarat menuju umat terbaik. Sebagaimana firman Allah, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.” [TMQ Ali Imran(3): 110]
Satu-satunya cara untuk menjaga dan membentengi akidah serta pemikiran umat dari pelbagai kekufuran ialah dengan aktif mendakwahkan Islam. Turut serta berjuang menegakkan kembali institusi Islam iaitu Khilafah. Kerana, satu-satunya institusi yang mampu menjadi perisai umat dari pelbagai idea kufur dan makar jahat yang digencarkan oleh musuh-musuh Islam.
Semoga Allah melindungi kita dari pelbagai tipu daya pada zaman fitnah ini. Teruskan istiqamah dalam menyuarakan kebenaran kerana kebatilan terus meruntuhkan dan mendangkalkan akidah umat. Sudah menjadi tanggungjawab bersama sebagai umat Islam untuk menolong agama-Nya.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2022/09/02/10830
#Nafsiyah
#TipuDayaZamanFitnah
#UmatIslamKeliru
#SukarTahuKebenaran
#IdeaSyirikdanKufur
#TaklidButa
#DakwahkanIslam
#IstiqamahSampaikanKebenaran