[Soal Jawab] Makna Al-Qawâ`id min an-Nisâ’
Oleh: Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
Soalan:
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Soalan, syaikhuna al-fâdhil, semoga Allah melimpahkan keberkatan kepada saudara dan menambah keluasan ilmu dan kesihatan tubuh saudara. Saya ingin bertanya tentang tafsiran firman Allah SWT dalam surah an-Nur, wa ba’du. Aku berlindung kepada Allah dari godaan syaitan yang terkutuk.
وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاء اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَن يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ
“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tidak ingin berkahwin (lagi), tidak ada dosa atas mereka untuk menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan…” [TMQ an-Nur (24): 60]
Siapakah sebenarnya al-qawâ’id dari kalangan wanita? Apakah hukum-hukum yang khas untuk mereka? Adakah “mereka tidak mahu berkahwin” bermaksud faktor usia? Kemudian jika ya, apakah standard usianya? Atau adakah ia berkaitan dengan perubahan fisiologi yang berlaku pada wanita dan dikenali sebagai usia menopause dan ini tidak tertentu (usianya)? Semoga Allah memberi saudara balasan yang lebih baik dan memberi pertolongan kepada saudara.
Jawapan:
Wa’alaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuh.
Mengenai soalan saudara tentang وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاءِ dalam ayat yang mulia, maka bagi saudara jawapannya seperti berikut:
Seperti yang saudara ketahui, kaedah tafsir adalah merujuk kepada hakikat syar’iyyah terlebih dahulu. Maka kita cari jika ada tafsiran yang dinyatakan dalam nas-nas syar’ie. Jika kita temui, maka kita ambil. Jika kita tidak menemuinya, maka kita beralih kepada bahasa, kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab.
وَإِنَّهُ لَتَنْزِيلُ رَبِّ الْعَالَمِينَ * نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ * عَلَى قَلْبِكَ لِتَكُونَ مِنَ الْمُنْذِرِينَ * بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُبِينٍ
“Dan sesungguhnya al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta alam (192) ia dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril), (193) ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan, (194) dengan bahasa Arab yang jelas.” [TMQ as-Syu’ara (26): 192-194].
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
“Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al-Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya” [TMQ Yusuf (12): 2].
Seperti yang saya ketahui, tiada nas syar’ie yang menyatakan tafsiran “al-qawâ’id min an-nisa` ”. Oleh itu kita merujuk kepada makna bahasa dalam menafsirkan perkataan al-qawâ’id.
Menurut bahasa, perkataan al-qawâ’id digunakan untuk wanita, bentuk jamak dari perkataan qâ’idun. Maka, kita katakan imra’atun qâ’idun dan nisâ`un qawâ’idun. Maksudnya ialah “qu’ûd –duduk/terputus-“kerana usia tua, iaitu disebabkan oleh usia tua. Jadi, imra`atun qâ’idun bermaksud dia menjadi lesu kerana usianya yang sudah tua.
Adapun jika kita maksudkan dia wanita yang sedang duduk, maka kita katakan dalam bahasa “imra’atun qâ’idatun” dan tidak kita katakan “qâ’idun”. Oleh itu, makna al-qawâ’idu min an-nisâ` ialah wanita yang menjadi lesu kerana usia tuanya.
Dengan kata lain wanita tua yang duduk dari perhiasan kehidupan berupa haid, melahirkan dan perkahwinan, dengan maksud tidak mahu berkahwin dan tidak diinginkan untuk dikahwini, dengan syarat dia sudah tidak datang haid dan tidak melahirkan. Maknanya, dia bukanlah seorang wanita muda yang tidak mahu berkahwin, dan bukan juga wanita pada usia menopaus seperti yang mereka katakan, iaitu tidak lagi datang haid dan tidak melahirkan, tetapi dia masih mahu berkahwin dan diinginkan untuk dikahwini.
Tidak begitu, kerana menopaus kadang-kadang bermula selepas umur empat puluh atau lima puluh tahun, sedangkan dia masih mahu berkahwin dan diinginkan untuk dikahwini. Maka maksud wa al-qawâ’idu min an-nisâ` dalam ayat yang mulia itu ialah:
Wanita tua yang “duduk” (terputus) haid dan nifas, yang tidak ingin berkahwin, sehingga salah seorang dari mereka tidak mahu berkahwin dan tidak diinginkan untuk dikahwini. Wanita-wanita itulah al-qawâ’idu.
Untuk penjelasan makna al-qawâ’idu secara bahasa dan tafsirnya, saya sebutkan seperti berikut:
Pertama, makna al-qawâ’idu dalam bahasa apabila dikaitkan dengan wanita:
Dinyatakan dalam Lisân al-‘Arab:
“wa qa’adat al-mar`atu ‘an al-haydh wa al-waladi taq’udu qu’ûdan wa hiya qâ’idun: terputus daripadanya, dan bentuk jamaknya adalah qawâ’idun. Dan dalam at-Tanzîl (al-Quran): “wa al-qawâ’idu min an-nisâ` ”, az-Zujaj berkata dalam menafsir ayat tersebut: mereka adalah wanita yang qa’adna (duduk/terputus) daripada perkahwinan. Ibnu as-Sikit: imra`atun qâ’idun jika dia terputus haid. Dan jika engkau inginkan al-qu’ûd (duduk), engkau katakan: qâ’idatun. Abu al-Haytham berkata, “al-qawâ’idu termasuk sifat wanita, tidak dikatakan rijâlun qawâ’idun. Al-Qawâ’idu: bentuk jamak bagi qâ’idun iaitu wanita yang sudah tua. Begitulah dikatakan tanpa huruf al-hâ`, ertinya dia qu’ûd (terputus). Adapun qâ’idatun maka ia adalah bentuk fâ’ilatun dari qa’adat qu’ûdan, dan dibentuk sebagai jamak qawâ’idun juga”, selesai.
Dalam Tâj al-‘Arûs (9/49) dinyatakan:
(wa) termasuk majaz: al-qâ’idu min an-nisâ` (yang duduk –terputus- dari melahirkan dan (‘an) haid dan (‘an) perkahwinan. Bentuk jamaknya adalah qawâ’idu. Ibnu al-Athir berkata: “al-qawâ’idu: jamak daripada qâ’idu iaitu wanita tua. Begitulah yang dikatakan tanpa huruf al-hâ`, iaitu dia ada qu’ûdun (keterputusan). Adapun qâ’idatun maka ia adalah bentuk fâ’ilatun daripada ucapanmu (qad qa’adat qu’ûdan) dan juga dibentuk jamaknya qawâ’idu), selesai.
Kedua: makna al-qawâ’idu dalam pelbagai tafsir:
Dalam Tafsîr al-Qurthubiy dinyatakan:
Surah An-Nur (24) ayat 60.
Firman Allah SWT, “wa al-qawâ’idu min an-nisâ’“, al-qawâ’idu bentuk tunggalnya ialah qâ’idatun, tanpa huruf al-hâ`, sehingga penyembunyian itu menunjukkan dia duduk kerana usia tua… al-qawâ’idu: wanita yang lemah yang duduk dari melakukan tasharruf kerana usia, dan duduk (terputus) dari nifas dan haid. Ini adalah pendapat jumhur ulama.
Dinyatakan dalam Tafsîr an-Nasafi:
Madâriku at-Tanzîl wa Haqâ`iqu at-Ta`wîl (2/519).
(wa al-qawâ’idu) jamak daripada qâ’idun kerana termasuk sifat khas bagi wanita seperti ath-thâliqu dan haid, iaitu wanita yang duduk (terputus) haid dan melahirkan kerana usia tua mereka (min an-nisâ`) ialah hâl (keterangan) al-lâtî lâ yarjûna nikâhan –yang mereka tidak mahu berkahwin- iaitu berkeinginan di dalamnya.
Ketiga: secara ringkasnya al-qawâ’idu min an-nisâ` adalah wanita tua yang kerana usianya tuanya dia duduk (terputus) dari haid dan kelahiran sehingga dia tidak hamil dan tidak melahirkan. Begitu juga dia qa’adat (duduk/terputus) dari perkahwinan sehingga dia tidak mahu berkahwin, iaitu dia tidak menginginkan perkahwinan dan tidak diinginkan untuk dikahwini. Ini bermakna dia qa’adat (duduk/terputus) dari semua perkara ini.
Saya harap masalah tersebut telah menjadi jelas. Semoga Allah bersama saudara.