[Tokoh Inspirasi] Halimah as-Saadiah ra, dari Air Susunya Tumbuh Manusia Paling Suci di Dunia
Pada tahun gajah, tepatnya malam Isnin menjelang Subuh pada bulan Rabiulawal, terdengar tangisan bayi yang baru lahir dari sebuah rumah di kampung Bani Hasyim di Mekah, tepatnya pada 12 Rabiulawal 571 M. Bayi itu lahir dari rahim Aminah dan terus digendong oleh seorang bidan bernama Syifa’, ibu kepada sahabat Abdurrahman bin Auf. Bayi itu lelaki. Aminah tersenyum lega. Namun, seketika dia teringat arwah suaminya, Abdullah bin Abdul Muthalib, yang telah meninggal dunia enam bulan sebelumnya di Yathrib (Madinah). Bayi lelaki itu diberi nama Muhammad (Yang Terpuji) oleh datuknya.
Kelahiran seorang anak yatim yang kelak menjadi Rasul terakhir itu diceritakan dalam al-Quran, ”Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu?” [TMQ Adh-Dhuha (93): 6]
Aminah, janda beranak satu, hidup dalam kemiskinan. Suaminya hanya meninggalkan sebuah rumah dan seorang hamba, Barakah al-Habsyiyah (Ummu Aiman). Sementara itu, sudah menjadi kebiasaan bangsawan Arab ketika itu, bayi yang baru lahir akan disusukan kepada wanita lain. Wanita yang dipilih biasanya adalah wanita kampung. Alasannya supaya anak dapat hidup dalam persekitaran yang bersih dan mempelajari bahasa Arab baku. Menunggu khidmat wanita yang menyusu, Aminah menyusukan sendiri Muhammad kecil selama tiga hari. Kemudian diteruskan oleh Tsuwaibah, hamba Abu Lahab, bapa saudara Nabi Muhammad. Kemudian Muhammad dan bayi-bayi di kalangan bangsawan Arab akan disusukan oleh murdi’at (wanita yang menyusukan bayi).
Muhammad ditawarkan kepada murdi’at dari Bani Sa’ad yang sengaja datang ke Mekah untuk mencari bayi-bayi yang masih menyusu dengan harapan mendapat bayaran dan hadiah. Namun, mereka menolak kerana Muhammad adalah anak yatim. Namun, di antara mereka ada Halimah as-Saadiah yang belum mendapat seorang bayi untuk disusukan. Oleh itu, dia mengambil Muhammad sebagai anak susuannya.
Membawa Berkat
Halimah dan suaminya berasal dari suku Hawazin. Halimah as-Saadiah memiliki beberapa nama, iaitu Halimah binti Abdullah dan Halimah binti Abi Dhuayb. Halimah (yang bererti lemah lembut) lalu membawa Muhammad ke kampungnya. Kewujudan Muhammad kecil memberi rahmat kepada keluarga Halimah, bahkan kepada kabilahnya. Pada mulanya, Halimah hidup dalam serba kekurangan. Namun, semenjak mengasuh Rasulullah, kehidupan rumah tangga Halimah berubah sama sekali. Keluarga tersebut kini menjalani kehidupan yang penuh dengan kedamaian, kegembiraan dan kecukupan.
Dua tahun kemudian, Halimah membawa Muhammad kecil mengunjungi ibunya. Halimah memohon agar Muhammad diizinkan kembali untuk tinggal bersama Bani Sa’ad. Aminah turut bersetuju. Selama empat tahun Muhammad bersama mereka lagi, kampung itu bertambah berkat. Biri-biri yang dipelihara oleh Halimah menjadi gemuk dan banyak mengeluarkan air susu walaupun rumput di kawasan mereka masih tandus. Disebabkan itu, penduduk menyuruh anak-anak menggembalakan biri-biri mereka berhampiran dengan biri-biri milik Halimah. Harapannya agar biri-biri mereka boleh menjadi gemuk dan mengeluarkan susu yang banyak.
Selain itu, ketika mengambil Muhammad sebagai anak susuan, susu Halimah bertambah banyak. Dia hairan. Ini kerana selama ini susunya bukan tidak ada, tetapi tidak begitu banyak. Namun, semenjak mengasuh anak Aminah, air susunya melimpah ruah. Anehnya lagi, ketika selesai menyusu di susu sebelah dan hendak diberikan sebelah satu lagi, Muhammad menutup mulutnya rapat-rapat. Halimah difahamkan Muhammad mahu sebelah lagi susu itu adalah untuk saudara susuannya, Damrah. Sejak kecil Allah SWT sesungguhnya sudah memasukkan jiwa keadilan dalam diri Muhammad kecil, dia tidak mahu mengambil bahagian yang bukan miliknya. Muhammad juga tidak pernah menangis, tidak seperti kanak-kanak lain yang kebiasaannya akan menangis .
Muhammad kecil itu hanya dikembalikan ke Mekah selepas peristiwa belah dada berlaku. Suatu hari, dua malaikat datang menghampirinya dengan membawa bejana emas yang berisi ais. Mereka membelah dada Muhammad dan mengeluarkan hatinya. Hati dibedah dan gumpalan darah yang berwarna hitam dikeluarkan kemudian dicuci dengan ais. Setelah itu, ia dikembalikan seperti sebelumnya. Mendengar hal itu, Halimah bimbang tentang keselamatan Muhammad kecil. Dia dan suaminya bersetuju untuk mengembalikannya kepada ibunya. Selepas diserahkan, Halimah tidak lagi mengetahui berita tentang Muhammad kerana untuk mendapat maklumat pada zaman itu amat sukar.
Hanya ketika Muhammad berusia 40 tahun, Halimah mendengar berita, rupanya-rupanya anak susuannya menjadi Rasul Allah. Namun, dia sukar untuk menemui Rasulullah saw. Halimah memeluk Islam dari orang lain dan bukan dari Rasulullah saw. Hingga suatu hari akhirnya Halimah dapat bertemu kembali dengan Rasulullah saw, Halimah merasakan kebahagiaan yang luar biasa. Selepas itu Halimah meninggal dunia. Itulah kali terakhir dia bertemu dengan Rasulullah saw, anak susuannya.
Sumber: MuslimahNews.com
#KisahInspirasi
#IbuSusuanNabisaw
#HalimahSaadiahra
#WanitaTerpilih
#MembawaKeberkatan