Status Transaksi Anak Kecil
Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman
Akad, baik jual beli ataupun yang lain, mempunyai kesan akan terjadinya pemilikan, samada yang terkait dengan barang mahupun perkhidmatan. Oleh itu, orang yang melakukan akad disyaratkan mestilah berakal. Sumbernya adalah hadis Nabi SAW, “Diangkat pena dari tiga golongan: dari orang yang tidur hingga dia bangun, dari anak kecil hingga dia bermimpi keluar sperma (baligh), dan dari orang gila hingga dia waras akalnya.”[HR Abu Daud].
Oleh kerana itu, ketiga-tiga orang di atas, iaitu orang yang tidur, anak kecil, dan orang gila, dibatalkan ucapan dan semua tindakannya kerana ucapan dan tindakan mereka tidak mempunyai status hukum sebagaimana mafhum yang boleh ditarik dari sabda Nabi SAW di atas, “Diangkat pena dari tiga golongan.” [HR Abu Daud]
Selain itu, muamalah juga mempunyai prinsip, “al-Ashlu fi al-Mu’amalah qath’u al-munaza’ah” (hukum asal muamalah ialah untuk menghilangkan perselisihan). Jika hukum asal dilakukannya muamalah ialah untuk menghilangkan perselisihan, maka hilangnya perselisihan tersebut tidak mungkin boleh disandarkan pada ketiga-tiga orang tersebut. Justeru sebaliknya, jika ucapan dan tindakan ketiga-tiganya mengikat, maka potensi perselisihan justeru terbuka luas.
Dalam konteks jual beli, Allah menyatakan bahawa jual beli mesti dilakukan dengan sukarela antara penjual dan pembeli. Bagaimana mungkin terjadi kerelaan dari ketiga-tiga orang yang disebutkan tadi? Jelas tidak mungkin berlaku. Hanya saja untuk anak-anak, syarat baligh dalam akad, khususnya jual beli, tidak mutlak. Oleh kerana itu, anak-anak pada usia rusyd, iaitu usia bilamana anak-anak tersebut sudah boleh memilih dan membezakan yang baik dan buruk, yang benar dan salah, maka mereka boleh melakukan akad.
Ini kerana, dalam al-Quran, Allah menyatakan, “Dan ujilah anak yatim itu sampai cukup umur untuk kahwin. Kemudian jika menurut pendapatmu, mereka telah mengerti (usia rusyd), maka serahkanlah harta-hartanya kepada mereka.” [TMQ an-Nisa (4): 6].
Syarat usia rusyd agar harta boleh diserahkan kepada mereka agar mereka boleh mengurus dan hilangnya status perwalian dari mereka menunjukkan bahawa anak-anak yang belum baligh boleh melakukan akad.
Kerana itu, akad yang dilakukan oleh anak-anak yang sudah mumayyiz (boleh memilih dan membezakan) hukumnya sah. Sumbernya dari TMQ an-Nisa (4): 6 di atas. Perintah Allah “Ujilah mereka” dilakukan dengan melakukan jual beli agar boleh diketahui adakah mereka sudah boleh dilepaskan atau belum.
Dalam konteks ini, Ibnu Qudamah al-Maqdisi, menjelaskan, “Maksudnya ujilah mereka supaya kamu boleh mengetahui kecerdasan mereka. Menguji mereka boleh direalisasikan dengan mendelegasikan kepada mereka untuk melakukan tindakan terkait hukum-hukum, termasuk jual beli, supaya boleh diketahui adakah dia tertipu atau tidak, kerana dia berakal, bukan orang yang dihalangi melakukan tindakan hukum. Oleh kerana itu, tindakannya sah. Tetapi, agar sah mestilah mendapat izin walinya.” [Ibnu Qudamah, al-Mughni, Juz IV/168]
Kerana itu, status akad anak kecil yang sudah mumayyiz tetap sah dengan izin walinya, jika walinya mengizinkan tindakannya. Ini menurut mazhab Hanbali, Maliki, dan Hanafi. Berbeza dengan mazhab Syafie, dan dalam salah satu riwayat menurut mazhab Hanbali. Imam al-Kharasyi, dalam syarah Mukhtashar Khalil, mazhab Maliki, “Makna bahawa syarat sahnya akad bagi orang yang melakukan akad jual beli, iaitu penjual dan pembeli, adalah tamyiz (boleh memilih dan membezakan). Ketika diberitahu tentang sesuatu yang merupakan maksud orang-orang yang berakal dia faham, kemudian boleh memberikan jawapan (respons) yang sempurna. Maka, akad tidak terjadi dari anak yang belum tamyiz, kerana kecil, gila, atau tidak sedar, atau salah satunya, menurut Ibnu Syas, penulis, dan Ibnu Rusyd.” – selesai
Menurut al-Hatthab dalam Mawahid al-Jalil, Syarah Mukhtashar Khalil, bahawa, “Maka, disyaratkan orang yang melakukan akad jual beli agar akadnya mengikat mestilah mukalaf sehingga kalau anak kecil yang sudah mumayyiz melakukan jual beli, maka jual belinya sah. Akan tetapi, akad itu tidak mengikatnya. Bagi walinya boleh menilai, untuk melanjutkan atau membatalkannya, iaitu mana yang dia pandang lebih baik bagi anak kecil tersebut.” – selesai.
Dengan demikian, dari keempat-empat mazhab, hanya Imam Syafie yang tidak membolehkan akad anak-anak. Ketiga-tiga mazhab yang ada, baik Hanafi, Maliki, mahupun Hanbali, semuanya membolehkan akad yang dilakukan oleh anak-anak yang belum baligh, dengan syarat kanak-kanak tersebut mestilah mumayyiz. Wallahualam.
https://muslimahnews.net/2022/08/11/9899/